KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, tidak wajar untuk menyalahkan mana-mana pihak jika UMNO masih lagi ditolak oleh rakyat sepertimana diterjemahkan melalui PRK Sungai Kandis.
Sebaliknya tegas beliau, UMNO perlu bermuhasabah dan mencari punca mengapa parti itu yang sebelum ini cukup sinonim dengan orang Melayu semakin tidak popular.
"Cari sebab mengapa terjadi sedemikian, secara jujur, cari jawapannya mengapa orang Melayu mula menjauhkan diri mereka daripada UMNO, bukannya sesama kita berselisih pendapat sehingga menjadi celaan orang ramai," katanya.
Katanya, tindakan untuk menyalahkan individu tertentu berhubung kegagalan UMNO memenangi PRK Sungai Kandis dilihat sebagai tidak tepat.
Menurut beliau, pelbagai telahan dan andaian yang berlaku dengan menjadikan keputusuan PRK Sungai Kandis sebagai contoh akan membuka ruang untuk kepimpinan UMNO bermuhasabah.
"Sampai bila kita asyik mendendangkan lagu perubahan, tetapi lirik dan rentaknya masih dilihat sama sehingga menjemukan rakyat," ujarnya lagi.
"Apabila pihak lawan menjadikan sesuatu isu yang juga menjadi perhatian rakyart, bermakna isu tersebut sedikit-sebanyak boleh merosakkan kekuatan UMNO, jadi apa juga penafian akan mencetuskan tanggapan berbeza," tegasnya.
Menurut beliau, pemimpin UMNO termasuk yang memegang jawatan tertinggi parti perlu bertanggungjawab dan mengambil apa juga teguran dan saranan dengan hati terbuka dan berlapang dada.
"Apabila ada riak keengganan untuk menerima teguran dan pendapat orang lain, bermakna laungan UMNO kononnya mahu berubah hanya sekadar laungan retorik, kosong," tegasnya.
Syed Ali mengingatkan, dalam keadaan sukar seperti sekarang ini, kepimpinan UMNO perlu meneropong lebih jauh mencari formula baru bagaimana untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
"Kita mahu berubah, maka perubahan itu perlu menjuruskan kepada suara rakyat, bukannya perubahan itu sekadar melingkari kepentingan puak atau individu tertentu," tegasnya.
UMNO juga tambah beliau, perlu melakukan reformasi politik sepertimana dilakukan parti kerajaan yang dulunya pembangkabng, seperti PKR mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk menjana kekuatan.
Bagaimanapun jelas Syed Ali, UMNO tidak akan mengambil masa terlalu panjang untuk bangun semula kerana kekuatannya masih ada dan jasanya sebelum ini tetap dikenang rakyat terutama oleh orang Melayu.
"Jika melihat kepada senario politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini, saya optimis ruang untuk UMNO kembali berkuasa masih terbuka.
Dalam perkembangan lain, Syed Ali mengingatkan kerajaan supaya tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba memperkecilkan syariat Islam.
Islam katanya, termaktub dalam perlembagaan negara sebagai agama rasmi dan sewajarnya semua pihak perlu menghormati institusi berkenaan dengan tidak mencampur adukkan dengan elemen atau slogan yang boleh 'membunuh' kesucian agama tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan