SETIAUSAHA Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Syed Ali Alhabshee menyelar pihak yang menidakkan keupayaan Datuk Johari
Ghani selaku Ahli Parlimen Titiwangsa.
Beliau berkata, pihak tertentu yang menggunakan media sosial
mencalarkan imej dan reputusi Johari yang juga Menteri Kewangan II
sebagai tidak melakukan 'kerja rumah' terlebih dahulu.
"Mereka hanya mengutip fakta di tepi jalan tanpa asas
yang kukuh untuk menidakkan peranan dan sumbangan yang telah dilakukan oleh
wakil rakyat Titiwangsa," tegasnya.
Syed Ali berkata, sejak memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa
pada PRU 13 Johari telah melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan di kawasan
berkenaan.
Malah tegas beliau, sikap rendah diri, turun padang dan
ambil peduli permasalahan rakyat menjadikan Johari disayangi ramai.
Beliau menyangkal dakwaan artikel dalam portal
malaysiakini.com yang mendakwa Johari bukan calon sesuai di Parlimen
Titiwangsa.
Menurut Syed Ali, dakwaan tersebut amat prejudis, tidak
bertanggungjawab dan cubaan pembangkang untuk 'cah keting' Johari di
Titiwangsa.
"Saya selaku Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah
Persekutuan menyokong penuh Johari selaku Ahli Parlimen Titiwangsa," tegasnya.
Malah kata beliau, pihaknya akan bekerja keras bagi
memastikan kemenangan berganda buat Johari seandainya dia sekali lagi dicalonkan
bertanding di Titiwangsa.
"Saya yakin Johari akan terus kekal kerana pengundi
Titiwangsa masih memerlukan beliau, malah keupayaannya menumbangkan calon PAS
pada PRU lalu merupakan pencapain terbaik," katanya.
Tambah beliau, walaupun kali pertama dicalon bertanding PRU
13 tetapi Johari berjaya mengalahkan calon PAS.
"Ini membuktikan pengundi Titiwangsa mahukan Johari
sebagai Wakil Rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan, bukannya calon
pembangkang yang sentiasa beretorik," teganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan