"JANGAN ikut perangai parti pembangkang bergasak sesama sendiri kerana berebutkan kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," nasihat Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Katanya, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu fokus kepada persiapan untuk menghadapi PRU ke-14 dengan matlamat meraih kemenangan lebih besar berbanding PRU-13.
Serentak itu, beliau mengingatkan pihak tertentu jangan cuba 'mengatur' nama-nama calon dengan mendahului keputusan bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Najib yang juga Pengerusi BN belum lagi buat keputusan siapa yang bakal dipilih sebagai calon, jadi tak perlu nak sebar ramalan menerusi media sosial," katanya.
Perbuatan sebegitu jelas beliau, hanya akan merosakkan perpaduan di kalangan pemimpin parti dan sedikit-sebanyak boleh mempengaruhi sikap pengundi.
"Jangan kita ikut rentak rentak sumbang pembangkang berhubung pembahagian kerusi sehingga sesama mereka bertelagah, kita (BN) harus berpegang kepada prinsip kesepakatan," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras menjelaskan, penentuan bakal calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Negeri (DUN) akan ditentukan oleh Najib yang juga Presiden UMNO.
"Serahkan kepada Najib untuk buat pilihan, jangan ada unsur-unsur desakan atau tekanan," tegasnya sambil berkata opemimpin BN sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peratusan pengundi terutama golongan muda.
Syed Ali mengingatkan, penyebaran khabar angin kononnya pemimpin tertentu akan bertanding di sesuatu kawasan tertentu hanya akan meretakkan perpaduan sedia ada.
Katanya, berita yang sengaja disebarkan bahawa pemimpin tertentu akan bertanding diluar kawasan juga dilihat tidak memberi kesan yang baik kepada parti.
"Pada hemat saya, keberangkian untuk sesetengah pihak akan berasa kecewa dan tidak puas hati akan berlaku jika perkhabaran itu mendahului keputusan bakal dibuat oleh Perdana Menteri," tegasnya.
Tambah beliau, perebutan kerusi PRU yang berlaku dalam Pakatan Harapan seharusnya dijadikan iktibar.
Mengambil contoh di Selangor, beliau menyebut sehingga sekarang Pakatan Harapan di negeri itu bergasak sesama sendiri kerana cara pengagihan kerusi yang didakwa tidak adil.
"UMNO dan BN jangan ikut perangai pemimpin pembangkang yang sememangnya tamak dan kemaruk untuk berkuasa.
Rakyat kata beliau, sedang memerhati sejauhmana keikhlasalan parti-parti politik yang bakal bertanding pada PRU akan datang memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin UMNO termasuk komponen BN memberi lebih perhatian terhadap sejauhanma kekuatan untuk berdepan dengan pihak lawan.
Pakatan Harapan kata beliau, walaupun mengalami keretakan tetapi tidak bermakna BN mengambil sikap sambil lewa.
"Memang Pakatan Harapan sekarang bercelaru, bergeseran sesama sendri, tetapi kita perlu sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU akan datang.
Tambah beliau lagi, suara akar umbi bahawa calon-calon muda daripada UMNO perlu diketengahkan pada PRU akan datang merupakan pandangan positif yang perlu diambil kira.
"Perdana Menteri sendiri mengutamakan pembangunan golongan muda untuk masa depan negara, jadi saya berpendapat kehendak itu tidak salah jika diberikan keutamaan," ujarnya.
Mengulas kenaikan pembayaran dividen KWSP yang disifatkan pembangkang sebagai umpan pilihan raya, Syed Ali menjelaskan pembangkang akan memutarbelitkan apa sahaja kebaikan dilakukan pihak kerajaan.
"Tak ada benda baik yang dilakukan kerajaan disambut dengan berlapang dada oleh pembangakng, sebaliknya ditohmoh dan difitnah dengan pelbagai dakwaan," tegasnya.
Mengulas kemungkinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen Putrajaya, beliau berkata itu hak beliau selaku Pengerusi parti BERSATU.
Katanya, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri bertanding di Putrajaya termasuk calon BEBAS jika mereka beranggapan mampu menewaskan Ahli Parlimen sekarang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
"Kita di Wilayah Persekutuan akan bekerjas keras bagi memastikan kememangan lebih besar calon-calon BN termasuk di Putrajaya," tegasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan