Halaman

Khamis, 18 Jun 2015

Syed Ali tidak tolak kemungkinan DAP jadi dalang tubuh parti baru serpihan PAS


Penubuhan parti baru, serpihan daripada PAS tidak akan memberi kesan besar kepada senario politik di negara ini, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Sebaliknya kata beliau, penubuhan parti tersebut hanya akan melebarkan lagi jurang perpecahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu.

“Saya tidak nampak kewajaran parti baru ditubuhkan oleh pemimpin PAS yang kecewa dengan keputusan muktamar parti itu baru-baru ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada desa-desus bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang dilaporkan media akan menubuhkan sebuah parti baru berikutan kelahahan beliau dalam muktamar tersebut.

Syed Ali  yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan tidak menolak kemungkinan penubuhan parti baru itu didalangi DAP.

“Mungkin DAP dibelakang tabir, ini bukan mustahil kerana DAP sememangnya mahu mempergunakan parti-parti serpihan untuk kekuatan mereka,” tegasnya.

“Lagi pun kita boleh nampak apa matlamatnya (tubuh parti baru), pertamanya kerana kecewa dalam PAS, ikut telunjuk DAP dan akhirnya hanya untuk diberikan kuasa atau jawatan.

Bagaimanapun ujarnya, kewujudan parti serpihan  PAS tidak akan kekal lama dan akhirnya berkubur begitu sahaja.

Beliau menyebut contoh bagaimana parti serpihan PAS pernah ditubuhkan di Kelantan, iaitu Hamim dan Berjasa tetapi akhirnya lenyap begitu sahaja.

Tambah Syed Ali, kewujudan parti baru serpihan PAS itu dipelopori oleh golongan sekular yang tidak sehaluan dengan kumpulan ulama dalam PAS pimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Oleh sebab itu katanya, kekecohan dikalangan bekas pemimpin tertinggi PAS itu semakin ketara apabila parti itu mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan DAP.

“Apabila usul Dewan Ulama mahukan PAS putuskan hubungan DAP dan disokong oleh Majlis Syura, ianya memberi tamparan hebat kepada golongan sekular,” tegasnya.

Rabu lalu, sekumpulan 12 orang bekas pemimpin kanan PAS dikatakan telah mengadakan pertemuan di satu majlis 'Jasamu Dikenang', di markas PAS Bakri, Muar, Johor.

Selain Mat Sabu, antara yang dilaporkan hadir pada majlis tersebut ialah bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Muhd. Taib.

Tambah Syed Ali lagi,  jika beberapa bekas pemimpin kanan PAS menubuhkan parti baru yang didalangi oleh DAP ianya merupakan satu tindakan yang sedikit-sebanyak boleh memberi kesan negatif terhadap perpaduan umat Melayu.

“DAP merupakan parti rasis yang hanya mementingkan perjuangan parti politik satu kaum, bagaimana ini boleh berlaku,” katanya melihat kepada ketaksuban beberapa pemimpin PAS kepada DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan