KUALA LUMPUR, 8 JUN : Letak jawatan atau jangan cuba mahu
menjadi hero kampung dengan meletakkan kesalahan dan kelemahan parti kepada
bahu orang lain. Kata dua ini diberikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri
Syed Ali Alhabshee kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong cuba menutup
kelemahan parti itu dengan mencari salah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak didakwanya tidak melawat mangsa gempa bumi di negeri itu.
Terbaru Ahli Parlimen Kota Kinabalu antara lain membidas
Datuk Seri Najib Razak kerana tidak muncul di Sabah sehingga ke hari ini sejak
berlakunya gempa bumi tiga hari lalu. Menurut Jimmy Wong, Najib sepatutnya tiba
terus ke Sabah pada hari kejadian dan jangan peduli dengan dialog ‘Nothing To
Hide’.
Kata Syed Ali, Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu tidak
sepatutnya membidas Perdana Menteri dengan sesuka hati kerana kehadiran
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat mangsa gempa bumi di
negeri Sabah juga merupakan wakil kepada kerajaan. Malah Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Panglima Musa Aman turut mengambil tanggungjawab bersama dalam
memastikan mangsa gempa bumi mendapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.
Ini bermakna kerajaan tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan
dan kebajikan rakyat Sabah lebih-lebih lagi dengan kejadian gempa bumi yang
setakat ini meragut 16 nyawa berlaku di Ranau dan sekitarnya. Sejak hari
pertama berlaku gempa bumi semua agensi dan kementerian berkenaan sudah
digerakkan bagi membantu mangsa gempa.
“Saya mahu menasihatkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu agar
cermin diri sendiri dahulu sebelum mahu mencari salah Perdana Menteri? Saya
mahu tanya di sini apa peranan dan tanggungjawab Ahli Parlimen Kota Kinabalu
dalam kes gempa bumi ini? Jangan cuba menjadi hero dengan meletakkan semua
kesalahan di bahu Perdana Menteri.
“Setahu saya Perdana Menteri tahu peranan dan mempunyai
tanggungjawab lebih besar kepada rakyat dan negara. Malah semua agensi terbabit
sudah digerakkan dalam usaha membantu mangsa gempa bumi di negeri Sabah.
Kerajaan tidak pernah sesekali alpa dengan tugas dan tanggungjawabnya. Kerajaan
Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang paling bertanggungjawab kepada
rakyat. Kerajaan BN sentiasa peka dengan segala kesusahan rakyat lebih-lebih
lagi mangsa gempa bumi di Sabah.
“Kerajaan tidak seperti segelintir Ahli Parlimen DAP yang ‘seperti
ayam jantan suka berkokok tetapi secara realitinya ekor bergelumang dengan
tahi’. Pada saya sebelum DAP mencari salah Perdana Menteri ada baiknya parti
itu membelek diri sendiri apa sumbangan dan jasa baktinya kepada pengundi di
negeri Sabah? Jangan hanya tuding jari mencari salah kerajaan dalam keadaan
Ahli Parlimen DAP sendiri duduk goyang kaki.
“Kerja pemimpin DAP siang malam hanya menabur fitnah kepada
kerajaan sehinggaalah sampai peringkat berlaku gempa bumi di Sabah pun mahu
menyalahkan Perdana Menteri. Bagi saya kerja yang paling senang dan paling
mudah dilakukan oleh pemimpin dan Ahli Parlimen DAP dalam kes gempa bumi di
Sabah tidak lain hanyalah tunjuk kesalahan kepada Perdana Menteri,” katanya.
Menurut Syed Ali, pihaknya cukup kenal pendekatan politik
DAP yang suka menuding jari mencari kesalahan orang lain. Pada masa yang sama
parti itu suka menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan dari
kelemahan pihak lain.
Dalam kes gempa bumi di negeri Sabah, sebelum rakyat
mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan DAP maka Ahli Parlimen Kota
Kinabalu itu cuba menyorok di bawah sehelai daun dengan mencari salah Perdana
Menteri.
“Saya mahu mengingatkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu bahawa
ini bukan zaman Pak Kadok. Rakyat Sabah sudah masak dengan sifat perkauman DAP.
Sikap cauvanis pemimpin-pemimpin parti itu boleh memecahbelahkan perpaduan
rakyat berbagai kaum sudah tentu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini,” katanya.
Syed Ali turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri
Najib Razak akan terus bergegas ke Sabah sekembalinya beliau dari lawatan ke
Arab Saudi untuk melawat mangsa gempa bumi di sini. Beliau datang ke Sabah
bukan kerana komen Ahli Parlimen Kota Kinabalu sebaliknya kerana beliau
sememangnya seorang Perdana Menteri yang amat menghayati akan kesusahan dan
denyut nadi rakyat negeri ini.

Dok ulas panjang lebar ni faham bahasa ke ahli parlimen tu.
BalasPadam