Halaman

Isnin, 8 Jun 2015

Syed Ali Beri Kata Dua Kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jangan Cari Salah PM!




KUALA LUMPUR, 8 JUN : Letak jawatan atau jangan cuba mahu menjadi hero kampung dengan meletakkan kesalahan dan kelemahan parti kepada bahu orang lain. Kata dua ini diberikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong cuba menutup kelemahan parti itu dengan mencari salah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwanya tidak melawat mangsa gempa bumi di negeri itu.

Terbaru Ahli Parlimen Kota Kinabalu antara lain membidas Datuk Seri Najib Razak kerana tidak muncul di Sabah sehingga ke hari ini sejak berlakunya gempa bumi tiga hari lalu. Menurut Jimmy Wong, Najib sepatutnya tiba terus ke Sabah pada hari kejadian dan jangan peduli dengan dialog ‘Nothing To Hide’.

Kata Syed Ali, Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu tidak sepatutnya membidas Perdana Menteri dengan sesuka hati kerana kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat mangsa gempa bumi di negeri Sabah juga merupakan wakil kepada kerajaan. Malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman turut mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan mangsa gempa bumi mendapat perhatian sewajarnya dari pihak kerajaan.

Ini bermakna kerajaan tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah lebih-lebih lagi dengan kejadian gempa bumi yang setakat ini meragut 16 nyawa berlaku di Ranau dan sekitarnya. Sejak hari pertama berlaku gempa bumi semua agensi dan kementerian berkenaan sudah digerakkan bagi membantu mangsa gempa.

“Saya mahu menasihatkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu agar cermin diri sendiri dahulu sebelum mahu mencari salah Perdana Menteri? Saya mahu tanya di sini apa peranan dan tanggungjawab Ahli Parlimen Kota Kinabalu dalam kes gempa bumi ini? Jangan cuba menjadi hero dengan meletakkan semua kesalahan di bahu Perdana Menteri. 

“Setahu saya Perdana Menteri tahu peranan dan mempunyai tanggungjawab lebih besar kepada rakyat dan negara. Malah semua agensi terbabit sudah digerakkan dalam usaha membantu mangsa gempa bumi di negeri Sabah. Kerajaan tidak pernah sesekali alpa dengan tugas dan tanggungjawabnya. Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang paling bertanggungjawab kepada rakyat. Kerajaan BN sentiasa peka dengan segala kesusahan rakyat lebih-lebih lagi mangsa gempa bumi di Sabah.

“Kerajaan tidak seperti segelintir Ahli Parlimen DAP yang ‘seperti ayam jantan suka berkokok tetapi secara realitinya ekor bergelumang dengan tahi’. Pada saya sebelum DAP mencari salah Perdana Menteri ada baiknya parti itu membelek diri sendiri apa sumbangan dan jasa baktinya kepada pengundi di negeri Sabah? Jangan hanya tuding jari mencari salah kerajaan dalam keadaan Ahli Parlimen DAP sendiri duduk goyang kaki.

“Kerja pemimpin DAP siang malam hanya menabur fitnah kepada kerajaan sehinggaalah sampai peringkat berlaku gempa bumi di Sabah pun mahu menyalahkan Perdana Menteri. Bagi saya kerja yang paling senang dan paling mudah dilakukan oleh pemimpin dan Ahli Parlimen DAP dalam kes gempa bumi di Sabah tidak lain hanyalah tunjuk kesalahan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Syed Ali, pihaknya cukup kenal pendekatan politik DAP yang suka menuding jari mencari kesalahan orang lain. Pada masa yang sama parti itu suka menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan dari kelemahan pihak lain. 

Dalam kes gempa bumi di negeri Sabah, sebelum rakyat mengenal pasti segala kelemahan dan kekurangan DAP maka Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu cuba menyorok di bawah sehelai daun dengan mencari salah Perdana Menteri.

“Saya mahu mengingatkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu bahawa ini bukan zaman Pak Kadok. Rakyat Sabah sudah masak dengan sifat perkauman DAP. Sikap cauvanis pemimpin-pemimpin parti itu boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat berbagai kaum sudah tentu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini,” katanya.

Syed Ali turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak akan terus bergegas ke Sabah sekembalinya beliau dari lawatan ke Arab Saudi untuk melawat mangsa gempa bumi di sini. Beliau datang ke Sabah bukan kerana komen Ahli Parlimen Kota Kinabalu sebaliknya kerana beliau sememangnya seorang Perdana Menteri yang amat menghayati akan kesusahan dan denyut nadi rakyat negeri ini.


1 ulasan:

  1. Dok ulas panjang lebar ni faham bahasa ke ahli parlimen tu.

    BalasPadam