Halaman

Khamis, 7 Mei 2015

Syed Ali : PAS tidak konsisten isu hudud jadi punca pergaduhan dengan PKR di Permatang Pauh

PAS tidak konsisten terhadap cadangan pelaksanaan hukum hudud menjadi punca berlaku pergaduhan antara penyokong parti itu dengan PKR di Permatang Pauh semalam, kata ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Disebabkan hudud dijadikan agenda politik oleh PAS, terbukti penyokong tegar PKR sanggup bertindak ganas menolak hukum Allah S.W.T.," tegasnya.

Ini katanya, berpunca daripada sikap PAS yang masih bermain tarik tali dengan sekutu politik mereka dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud.

"PKR awal-awal lagi menentang pelaksanaan hukum hudud tetapi PAS dilihat tidak konsisten malah masih juga berlembut dengan parti tersebut," katanya.

Beliau mendakwa, kerana mengutamakan kuasa politik menyebabkan PAS menjadi takut untuk berkeras dengan PKR termasuk DAP yang menentang hukum hudud.

"Apakah pemimpin PAS terlalu takutkan kepada Presiden PKR (Datin Seri) Wan Azizah Ismail dan Lim Kit Siang (DAP) daripada hudud," soal beliau lagi.
Menurut Syed Ali, jika PAS benar-benar ikhlas dan berpegang kepada perjuangan Islam parti itu sepatutnya sudah lama berpisah dengan PKR dan DAP.

"Cerita PKR dan DAP tolak hudud bukan perkara baru, tetapi PAS terpaksa menikus kerana bimbang kehilangan kuasa politik," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, PAS tidak perlu menunding jari kepada pihak lain ekoran pergaduhan penyokong PAS dengan PKR di persimpangan Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh semalam bersabit hukum hudud.

"PAS sepatutnya kena bertanggungjawab kerana gagal menyatakan pendirian terhadap PKR, sehingga timbul penolakan secara terbuka oleh rakan mereka dalam PR," tegasnya.

Beliau menyifatkan pemimpin PAS sebagai pengecut dan berselindung disebalik cadangan pelaksanaan hukum hudud bagi meraih sokongan orang Melayu.

"PKR dan DAP sudah sekian lama menghina PAS bersabit pelaksanaan hukum hudud, tetapi parti itu hanya membisu," tambahnya.

Beliau mengulas inisden pergaduhan antara penyokong tegar PKR dengan sekumpulan penyokong PAS yang mengadakan demontrasi secara aman bagi menyokong pelaksanaan hukum hudud.

Dalam kejadian tersebut, kumpulan ahli PAS yang mengadakan perhimpunan tersebut dibantah sekumpulan lelaki bertindak aggresif mencampakkan pembesar suara selain merampas dan membuang sepanduk yang dibawa oleh ahli PAS.

Malah ahli-ahli PAS berkenaan dikatakan turut diancam dengan senjata oleh kumpulan penyokong tegar PKR tersebut.

Menurut Syed Ali, kekecohan tersebut jelas membuktikan hubungan kedua-dua parti dalam PR itu sudah berada dikemuncak perpecahan.

"Melihat kepada inisden tersebut, ternyata PR sudah berada disaat kehancuran," tegasnya.


Dalam hubungan ini katanya, PAS tidak boleh lagi berdolak-dalik untuk terus kekal bersama PKR dan DAP dalam PR.

"Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kena tegas dan tidak bermain politik bersabit pelaksanaan hukum hudud," tegasnya.

Tambah beliau, UMNO terutama di Kelantan sepakat menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan pindaan rang undang-undang syariah bagi membolehkan hukum hudud di laksanakan.

"Ini menunjukkan UMNO ikhlas dan sanggup mengetepikan agenda politik bagi membolehkan cadangan PAS melaksanakan hukum hudud tercapai," katanya.

Oleh sebab itu kata Syed Ali, PAS sepatutnya membuktikan bahawa mereka tidak retorik ketika membuat cadangan pelaksanaan hukum hudud.

"Apa sebenarnya yang PAS mahu daripada PKR? masih lagi jadi tunggul walaupun parti itu secara terbuka menentang hudud," katanya.

Tambah beliau, PAS yang kononnya dibarisi oleh pemimpin agama dan ulama tidak sepatutnya membiarkan kepala mereka dipijak oleh PKR dan DAP yang menentang hukum hudud.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan