KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan segera bagaimana maklumat rahsia berhubung kertas cadangan pembelian tanah milik pelaburan 1MDB oleh LembagaTabung Haji (TH) disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan.
Beliau berkata, siasatan itu tidak bermaksud untuk menutup pelaburan tersebut daripada diketahui umum tetapi bagi mengelak tujuan TH diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan.
"Saya difahamkan ianya satu kertas cadangan, tetapi bagaimana boleh bocor ke luar," katanya.
Sehubungan itu kata beliau, tidak mustahil terdapat 'orang dalam' yang sengaja membocorkan maklumat tersebut bertujuan memburukkan imej 1MDB dan TH khususnya.
"Pihak berkuasa perlu segera menyiasat perkara ini, ianya satu kes yang membabitkan kepentingan umum," tegasnya.
Syed Ali turut mempersoalkan bagaimana portal berita berkenaan boleh menyiarkan maklumat tersebut walaupun ianya sekadar kertas cadangan.
"Difahamkan, orang yang memberikan maklumat berhubung cadangan pembelian tanah 1MDFb oleh TH kepada blog berkenaan merupakan sumber yang boleh diragui," ujarnya.
Bagaimanapun jelas beliau, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan kerana pihak TH telah memberikan penjelasan secara terperinci berhubung pembelian tanah 1MDB bagi tujuan pelaburan di Tun Razak Exchange (TRX).
"Jangan dipolitikkan isu tersebut, kita serahkan kepada pihak berkuasa lakukan siasatan bersabit kebocoran maklumat tersebut," katanya.
Syed Ali berkata, isunya sekarang ialah bagaimana maklumat tersebut bocor dan bukannya pelaburan yang dibuat oleh TH yang harus dipersoalkan.
"Pengurusan TH telah menjelaskan secara jelas, saya tidak nampak ada urusniaga yang meragukan," katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan,Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mempersoal tindakan TH membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat keawangan TRX.
Penyiaran dokumen kertas cadangan tersebut telah disiarkan oleh sebuah portal berkita yang mendakwa syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB telah menggunakan dana TH untuk membantunya menyelamatkan agensi itu daripada beban hutang yang besar.
Khairuddin turut mempersoalkan kenapa TH membayar 1MDB pada kadar harga yang begitu tinggi di mana TH juga merupakan syarikat milik kerajaan sepertimana 1MDB.
Kenyataan kharuddin disiarkan oleh portal berita www.malaysiandigest.com semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, TH telah menegaskan keputusan membeli tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) bernilai RM188.5 juta dalam pusat kewangan TRX bukan tindakan menyelamat atau ‘bail out’ 1MDB tetapi telah melalui proses penilaian wajar di semua peringkat.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, dakwaan kononnya pembelian itu bagi menyelamatkan 1MDB adalah tidak benar.
“Kami tidak ‘bail out’ sesiapa. Saya tidak ditekan atau menerima panggilan telefon daripada sesiapa (dalam membuat keputusan),’’ katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tabung Haji, Khamis.
Menurutnya, para pendeposit Tabung Haji tidak perlu gusar kerana pelaburan itu merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko (risk appetite) dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.
Beliau mengulas penyiaran dokumen kertas cadangan sebuah blog yang mendakwa syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB telah menggunakan dana Tabung Haji untuk membantunya menyelamatkan agensi itu daripada beban hutang yang besar.
Johan berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana keputusan pembelian tersebut adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah Tabung Haji yang memberi tumpuan kepada sektor domestik.
“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa iaitu sebanyak RM194 juta, bersamaan dengan RM2,700 bagi satu kaki per segi dan ia telah dinilai secara terperinci oleh sebuah badan penilai bebas profesional.
“Harga asal yang ditawarkan ialah jauh lebih mahal, melebihi RM200 juta tetapi berjaya menurunkannya ke paras tersebut dengan Perjanjian Jual Beli (SPA) dimeterai pada 23 April lalu.
“Kami merancang membangunkan bangunan kediaman setinggi 40 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM828 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan unjuran pulangan hasil 27 peratus atau sembilan peratus setahun,’’ kata Johan.
Mengikut anggaran TH Properties, ujarnya, nilai pembangunan kasar (GDC) ialah kira-kira RM462 juta bagi mendirikan projek kediaman itu, menjadikan keseluruhan kos yang ditanggung termasuk pembelian tanah berjumlah RM650 juta.
“Kenapa ini menjadi isu? Ini kerana pihak yang menjual kepada kami menjadi perhatian. Tetapi apakah ia adil bagi Tabung Haji?,’’ soal beliau.
Ditanya apakah Tabung Haji bersedia menerima sebarang tawaran lagi daripada 1MDB di masa hadapan, beliau berkata: “Ia tidak menjadi masalah, sama ada syarikat itu 1MDB atau 3MDB sekali pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan