Halaman

Isnin, 25 Mei 2015

Bocor maklumat, kerahsian parti perbuatan khianat : Syed Ali

PERBUATAN membocorkan maklumat atau apa sahaja yang ditafsirkan sebagai kerahsian dalam  perjumpaan atau kursus kepartian yang dibuat secara tertutup boleh disifatkan sebagai perbuatan khianat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau menjelaskan, apabila maklumat yang dibocorkan itu kemudiannya disebarkan menggunakan laman sosial ia dilihat pihak yang melakukannya seperti mempunyai agenda tertentu.

“Setiap ahli parti termasuk pemimpin di peringkat bahagian sepatutnya lebih memahami pengertian sebenar maksud ‘secara tertutup’,” tegasnya.

Secara tertutup jelas beliau , bermaksud apa jua aktiviti atau maklumat termasuk berita sepanjang perjumpaaan atau mesyuarat itu dilarang dibocorkan kepada umum sama ada secara sengaja atau sebaliknya.

“Secara tertutup juga membawa maksud kerahsiaan yang perlu disimpan daripada diketahui pihak luar yang dikhuatiri akan diputarbelit oleh pihak berkepentingan,” tegasnya.

Tetapi malangnya, mungkin kerana didorong oleh agenda peribadi ada dilaporkan berlaku pembocoaran maklumat atau kerahsiaan itu dilakukan oleh para peserta.

Sama ada merujuk kepada isu pendedahan video rakaman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan memecat lembaga pengarah 1MDB, Syed Ali menjelaskan perbuatan itu menunjukkan berlaku pembocoran maklumat yang disengajakan.

“Kita bukan mengulas sama ada mengapa benda itu (video) boleh bocor, tetapi kita melihat kepada sifat kejujuran peserta kursus tersebut, “ ujarnya.

Lagipun tambah Syed Ali, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam rakaman tersebut hanya mempertahankan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri berikutan isu 1MDB.

Beliau mempersoalkan kenapa dan mengapa peserta berkenaan tidak jujur kepada parti dengan sengaja memuatnaik video berkenaan dalam  laman sosial yang menjadi tatapan umum secara terbuka.

Oleh sebab itu kata beliau, kekesalan yang diluahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia terhadap mereka yang bertanggungjawab membocorkan maklumat tersebut perlu dilihat secara positif.

"Saya sependapat dengan Zahid, perbuatan itu serius kerana dilakukan oleh pemimpin parti, sepatutnya tidak boleh berlaku seperti itu kerana ia mengundang pelbagai persepsi," ujarnya.

Seperti berniat jahat untuk lagakan pemimpin, jahanamkan parti

Zaid yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) menegaskan kelmarin bahawa beliau tidak akan memaafkan seorang pemimpin UMNO bahagian yang menyebarkan video ucapan Muhyiddin berhubung cadangan memecat lembaga pengarah 1MDB.

Justeru kata Syed Ali, isunya bukan melindungi kepentingan sesiapa, tetapi soalnya mengapa masih ada pemimpin UMNO bersifat tidak amanah kepada prinsip kerahasiaan parti dan masih jahil terhadap maksud ‘tertutup’.

“Ini satu perbuatan khianat dan tidak jujur kepada UMNO, tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi jika seseorang itu memegang jawatan penting di peringkat bahagian.

Beliau menjelaskan, ada dua maksud tersirat yang boleh dibaca menerusi perbuatan seumpama itu.

Pertamanya kata beliau, ia seperti berniat jahat untuk memporakperandakan parti dengan tujuan mencetuskan permusuhan sesama pemimpin.

Dan  keduanya pula ujar beliau, seperti sengaja melakukannya supaya menjadi pengetahuan umum agar timbul kebencian masyarakat terhadap UMNO.

Syed Ali melahirkan kebimbangan terhadap trend sekarang ini  di mana apa sahaja maklumat atau sebarang kerahsiaan parti begitu mudah diketahui oleh pihak yang tidak sepatutnya.

“Rahsia parti atau apa jua agenda sepatutnya kita rahsiakan daripada dihidu oleh pihak tertentu khususnya pembangkang, tetapi malangnya kadangkala maklumatnya awal-awal lagi sudah bocor,” tegasnya.

“Sedihnya orang UMNO sendiri yang sengaja bocorkannya, tidak tahulah apa niatnya, sama ada untuk mengaut keuntungan peribadi atau sengaja untuk menjahanamkan parti.

1 ulasan:

  1. Helo dato sri..Tanya sama pokok APA sebab goyang.jawap pokok angin yg goncang..

    BalasPadam