KUALA LUMPUR, 7 APRIL : Tiada apa yang lebih
bermakna selain mengekalkan kewibawaan UMNO sebagai satu-satunya parti yang
dulu, kini dan selama-lamanya mempunyai kekuatan memperjuangkan kepentingan
rakyat semua kaum di negara ini.
Justeru track record kejayaan UMNO sebagai
sebuah parti tunggal yang berjaya memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum sejak
ditubuhkan pada 1946 kena dipertahankan oleh semua pihak termasuk pendukung dan
bekas-bekas pemimpin yang pernah menyandang jawatan dalam parti ini.
Perkara ini ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian
Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengulas siri kritikan yang dilemparkan
mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed terhadap pentadbiran Datuk Seri
Najib Razak sekarang ini semakin memuncak.
Kata Syed Ali, sebagai orang parti beliau
menunjukkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada kepimpinan YAB Datuk Seri
Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO serta Perdana Menteri. Pada masa yang
sama beliau menghormati bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sudah
banyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara ini.
Sehubungan itu, beliau mahu semua anggota parti
agar mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan
Presiden UMNO. Pada waktu yang sama beliau mengajak anggota parti menghormati
Tun Dr Mahathir Mohamed selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
Beliau tidak menafikan bahawa sedikit sebanyak kritikan yang
dilemparkan oleh Dr Mahathir terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak akan
terkena tempiasnya oleh UMNO. Ini adalah kerana Tun Dr Mahathir masih anggota
UMNO dan kritikan yang dilemparkan itu terhadap Presiden UMNO.
“Bagi pihak saya rasa terpanggil untuk mengulas
isu ini memandangkan semua pihak termasuk yang tiada kena mengena dengan UMNO mula
mengulas kritikan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib ini. Saya
melihat dalam laman sosial misalnya sudah menjadi ‘pesta’ kecam mengecam
kedua-kedua penyokong terbabit jika tidak dibendung boleh membawa perpecahan
kepada rakyat.
“Pada ketika yang sama, saya melihat rakyat akar
umbi yang tidak tahu menahu mengenai perkara ini sudah mula membuat pelbagai persepsi.
Ini membawalah kepada tindakan sesetengah pihak sama ada menyokong Tun Dr
Mahathir dan Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat ulasan atau komen-komen dalam
media sosial sama ada menyokong atau sebaliknya.
“Mutakhir ini saya melihat komen-komen yang
dilemparkan kepada Dato’ Sri Najib dan Tun Dr Mahathir sudah sampai peringkat
menghina dan menyentuh peribadi kedua-dua pemimpin terbabit. Tidak kurang yang
memberikan komen negatif terhadap Tun Dr Mahathir yang tidak sepatutnya
dilakukan kepada bekas Perdana Menteri banyak berjasa kepada negara.
“Saya juga tidak setuju komen-komen negatif dilemparkan
terhadap Dato’ Seri Najib sudah melakukan banyak kebaikan kepada rakyat dan
negara sebagai Perdana Menteri. Seharusnya kita semua menyokong dan memberikan
peluang kepada beliau melaksanakan segala program transformasinya demi faedah
rakyat dan negara,” katanya.
Untuk mengelakkan perkara ini dari berpanjangan,
Syed Ali mencadangkan agar Timbalan, Naib-Naib Presiden UMNO, pemimpin sayap
parti termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO bertemu sendiri dengan Dato’ Seri
Najib seterusnya mereka semua kena mengadakan perjumpaan tertutup dengan Tun Dr
Mahathir Mohamed bagi mencari jalan menangani perkara ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO kena mengawal dan
mempastikan agar segala kritikan Tun Dr Mahathir tidak sampai kepada peringkat
memecahbelahkan anggota parti dan rakyat. Anggota Majlis Tertinggi UMNO tidak
boleh mengambil sikap berdiam diri yang akhirnya akan memudaratkan parti.
“Saya berpendapat, Timbalan dan Naib Presiden
UMNO kena berjumpa Dato’ Seri Najib dan mereka semua kena berjumpa Tun Dr
Mahathir bagi menerangkan mengenai apa sahaja isu yang dibangkitkan itu.
Pemimpin-pemimpin kanan UMNO ini kena mencari jalan mendamaikan kedua-dua
pemimpin ini.
“Bagi saya sebelum ini pun UMNO pernah disandang
bekas-bekas Perdana Menteri pernah dilanda krisis tetapi ada jalan
penyelesaiannya. Begitu juga dengan kritikan Dr Mahathir terhadap Dato’ Seri
Najib tentu ada jalan dan kaedah terbaik bagi menanganinya.
“Saya berpendapat Timbalan dan Naib-Naib
Presiden UMNO kena bersama-sama Dato’ Seri Najib bersemuka dengan Tun Dr
Mahathir bagi menjawab segala isu yang diketengahkan itu agar tidak
dipolimikkan pihak cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.
Jelas Syed Ali, sebagai Ketua UMNO Bahagian
Cheras, beliau amat menghormati dan menganggap Tun Dr Mahathir sebagai bapanya
sendiri. Beliau berpendapat, mungkin Tun Dr Mahathir mempunyai alasan
tersendiri kenapa beliau melakukan kritikan terbuka seumpama itu.
Pada masa yang sama Syed Ali yakin dan percaya
bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan melakukan yang terbaik untuk kepentingan
Melayu dan semua kaum di negara ini.
“Bagi sesiapa yang pernah mendengar ucapan Dato’
Seri Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO dapat mendengar sendiri perakuan
ikhlas beliau untuk mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat negara
ini.
“Saya nampak Dato’ Seri Najib ikhlas dalam
segala tindak tanduknya. Bagi saya tiada mana-mana pemimpin di dunia akan
berkongsi pandangan dan misi perjuangannya dengan orang lain. Bagi saya Dato’
Seri Najib sentiasa berpanjangan jauh dalam memastikan nasib orang Melayu
terbela sampai bila-bila,” katanya.
Syed Ali menasihatkan semua pihak menghentikan
sikap jawab menjawab dengan Tun Dr Mahathir memandangkan Barisan Nasional (BN)
akan berhadapan Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin dan Permatang Pauh.
Ada baiknya semua pihak memberikan tumpuan
kepada kemenangan BN di dua kerusi Parlimen ini di samping menggiatkan segala
daya usaha mendaftar pengundi baru.
Sejujurnya, pihaknya berasa dukacita dengan
komen-komen biadap yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada
Dato’ Seri Najib dan Tun Dr Mahathir dalam laman sosial berkenaan kritikan ini.
Itu sebabnya Syed Ali mahu, Timbalan termasuk
Naib-Naib Presiden UMNO mencari jalan untuk mempertemukan Dato’ Seri Najib dan
Tun Dr Mahathir Mohamed agar segala persoalan ini dapat dirungkai demi nama
baik dan masa depan UMNO.
“Pada pandangan saya, UMNO sebagai parti yang
mendominasi Barisan Nasional (BN) kena menampakkan kewibawaan dalam menangani
isu ini. Kalau masalah kecil ini pun tidak boleh diselesaikan bagaimana kalau
berhadapan dengan masalah lebih besar?
“Cari jalan dan kaedah penyelesaian. Tun Dr
Mahathir bertanya kita kena jawab tetapi tidak semestinya kita kena jawab
secara terbuka. Ada cara dan pendekatannya. Kita mempunyai Majlis Tertinggi
UMNO kena mencari jalan bagaimana mahu mempertemukan Dato’ Seri Najib dan Tun
Dr Mahathir dalam perbincangan yang lebih berhemah demi masa depan Melayu dan
rakyat.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini
berlarutan sehingga boleh menjejaskan segala persiapan kita dalam berhadapan Pilihan
Raya Umum Ke 14 (PRU 14). Kalau dibiarkan kelak boleh memusnahkan masa depan
UMNO,” katanya.

La, kan depa dah berjumpa. YB tak tau ka? Masalah tak selesai pon.
BalasPadamKalau di pihak yang benar, jawablah. Apa nak takut?
James Ongkili kononnya baru nak 'pecah rahsia' Tun Mahathir lulus projek IC. Padahal Tun Mahathir selamba dah jawab pasal projek IC ni dari dulu lagi. Ketinggalan keretapi betul la hangpa.
Tun Dr. Mahathir bertanyakan isu itu dalam bahasa Melayu, sebab Najib orang Melayu, kemudian ada jugalah soalan dalam bahasa Inggeris sebab Najib selalu bercakap dalam bahasa Inggeris.
BalasPadamBukannya Tun Dr. Mahathir bertanyakan soalan itu dalam bahasa orang Eskimo dan mensyaratkan Najib menjawab soalan itu dalam bahasa orang Somalia pun, jadi apa yang susah sangat Najib nak perjelaskan isu yang sebenar?
Masalah ini timbul kerana Najib banyak sangat simpan bawah karpet semua masalah dan kegagalan serta salah laku hingga karpet pun dah membuncit hingga menimbulkan keraguan masyarakat.