KUALA LUMPUR, 29 MAC
: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyokong ketegasan
pihak polis dalam menahan dan menangkap pemimpin parti pembangkang yang menjadi
penghasut kepada himpunan dianjurkan Kita Lawan semalam.
Kata Syed Ali,
himpunan haram Kita Lawan semalam amat memalukan dan mencemar nama baik negara
yang terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni. Himpunan Kita Lawan
semalam boleh menjejaskan keselamatan awam kalau ianya tidak diambil tindakan
oleh pihak berkuasa.
Namun tindakan pihak
polis yang disifatkan cekap dan pantas menahan beberapa pemimpin pembangkang
terbabit sebelum himpunan Kita Lawan semalam merupakan satu langkah yang harus
dipuji dalam memastikan keselamatan awam terjamin di negara ini.
“Pihak polis kena
bertegas dan jangan kompromi dengan pihak menghasut sehingga boleh
menghancurkan masa depan negara. Tindakan peserta himpunan Kita Lawan membawa
sepanduk dengan kata-kata kesat mengutuk dan menghina pemimpin negara adalah
tindakan yang biadap dan jelas terpesong dari amalan baik selama ini.
“Dan kalau dikira
kenapa himpunan itu diadakan jelas kerana memperjuangkan nasib individu bernama
Anwar Ibrahim yang dijatuhkan hukuman lima tahun penjara kerana kesalahan
meliwat. Ini bermakna motif himpunan itu tidak membawa kepada perkara-perkara
yang boleh menguntungkan rakyat selain boleh menghancurkan negara,” katanya.
Menurut Syed Ali, memandangkan
modus operandi himpunan Kita Lawan ini diadakan pada setiap hari Sabtu beliau
mahukan pihak polis mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelakkan ibu negara
yang menjadi tumpuan pelancongan dan aktiviti perniagaan terjejas.
Semalam Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar antara lain berkata; “Kita hormat kebebasan
bersuara tetapi kita tidak akan bertolak ansur terhadap kebebasan untuk
menghasut dan tidak menghormati sistem di bawah Perlembagaan Persekutuan.”
Syed Ali memuji
langkah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak pantas menahan dalang-dalang terdiri
pemimpin parti pembangkang yang membawa kepada himpunan haram Kita Lawan
semalam bagi mengelakkan kejadian lebih buruk melanda negara.
“Tindakan tegas PDRM
ini amat kena dan sesuai masanya. Ini dilakukan bagi memberikan pengajaran
kepada mana-mana pihak agar jangan mencabar undang-undang negara. Kalaupun ada
perasaan tidak puas hati kena dinyatakan mengikut salurannya.
“Cuba kita bayangkan
apa akan berlaku kalau pihak polis tidak bertindak pantas menahan dalang
terbabit menghasut rakyat berhimpun sudah tentu boleh menimbulkan suasana hura
hara dan boleh mengancam keselamatan awam.
“Dalang-dalang ini
bukannya memikirkan soal keselamatan rakyat dan keamanan negara ini sebaliknya
dilakukan kerana memperjuangkan nasib individu. Dalang yang tamak dengan kuasa
ini sanggup mempergunakan rakyat yang tidak berdosa kerana tujuan politik yang
sempit. Mereka bukan sahaja rakus mengejar kuasa malah sanggup mempertaruhkan
nyawa rakyat semata-mata memperjuangkan nasib individu,” katanya.
Kata Syed Ali lagi, sudah
tiba masanya pihak polis menggunakan kuasa yang ada seperti mana termaktub
dalam Perlembagaan Negara menahan pihak berkenaan termasuk pemimpin pembangkang
cuba menjadi penghasut boleh menggugat keamanan negara.
Golongan penghasut
ini memang tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana mereka mampu melakukan apa
sahaja demi survival politik tidak beretika mereka. Pihak tidak
bertanggungjawab ini juga langsung tidak memikirkan soal keamanan negara kerana
mesej politik mereka sudah tentu mahu membolot kuasa mengikut jalan yang haram
atau tidak mengikut saluran undang-undang.
“Saya amat berharap
pihak polis jangan teragak-agak untuk menahan dan menangkap pihak yang menjadi
penghasut ini agar menjadi pengajaran kepada pihak lain agar lebih menghormati
undang-undang negara dan jangan cuba meruntuhkan masa depan rakyat dengan misi
politik yang tidak jelas yang akhirnya boleh meranapkan tanahair yang kita
cintai ini,” katanya.
Pada masa yang sama
Syed Ali turut menyelar peserta himpunan semalam yang cuba merosakkan majlis
perkahwinan anak Perdana Menteri dengan sepanduk menghina jelas melanggar tata
susila atau adab dan tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan