DATUK Seri Anwar Ibrahim bukan lagi watak penting dalam senario politik tanahair dan biarlah dia berehat secara aman di Penjara Sungai Buloh, kata Ketua UMNO Bahagian Chears, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Menurut beliau, Anwar tidak perlu diganggu lagi dengan 'nyalaan lilin' di luar penjara dan #Kita Lawan kerana penyokong PKR sendiri sudah hilang keyakinan terhadap Ketua Pembangkang itu.
Lagipun jelas beliau, nyalaan lilin bukan budaya orang Melayu dan perhimpunan itu pula satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
"Kedua-dua itu adalah budaya songsang yang cuba diterapkan oleh PKR kepada generasi muda," tegasnya.
Nama Anwar tambah beliau lagi, hanya akan tercatat dalam lipatan sejarah tanahair sebagai pemain politik yang rakus dan bergelumang dengan isu moral.
"Biarlah dia berehat di Sungai Buloh tanpa gangguan, menghabiskan baki perjuangan yang sia-sia. Lagipun penyokong PKR semakin meluat dengan cerita Anwar," katanya.
Menurut Syed Ali lagi, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail seeloknya meletakkan jawatan sebagai Presiden PKR bagi memberi perhatian sepenuhnya terhadap Anwar.
"Elok rasanya Wan Azizah beri tumpuan terhadap suaminya yang berda di Sungai Buloh, lagipun usia Anwar semakin tua meningkat memerlukan perhatian seorang siteri," katanya.
Katanya, selama memegang jawatan Presiden PKR, Wan Azziah hanya sekadar seorang boneka yang mengikut telunjuk Anwar.
"Wan Azizah selaku Presiden langsung tidak berfungsi, sekadar patung bernyawa, jadi eloklah saat ini dia letak jawatan dan berikan tumpuan kepada suami," tegasnya.
Syed Ali berkata, PKR kini sekadar parti yang sarat dengan masalah dan Anwar pula menjadi beban yang yanya menunggu masa untuk karam.
Beliau menjelaskan, perjuangan Anwar bersama PKR bukan untuk kepentingan rakyat terutama orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
PKR ujar beliau, hanya memperalatkan sokongan rakyat bagi menjayakan agenda politik peribadi Anwar yang kempunan untuk menjadi seorang Perdana Menteri.
Oleh sebab itu katanya, adalah tidak adil untuk penyokong PKR memikul beban dan masalah moral yang ditinggalkan oleh Anwar.
"Saki-baki penyokong PKR sepatutnya sedar, berapa lama mereka sanggup diperalat dan menjadi pak turut," tambahnya.
Menurut beliau, Muktamar PAS ke-61 tidak lama lagi akan menjadi penentu gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).
"Saya meramalkan PR akan hancur selepas ini jika PAS nekad keluar daripada gabungan itu," katanya.
Manakala PKR pula katanya, hanya tercatat dalam sejarah sebagai parti politik yang mempunyai pemimpin dikaitkan dengan kesalahan meliwat.
Tambah beliau lagi, perhimpunan haram #Kita Lawan di Kuala Lumpur hujung minggu lalu mendapat sambutan dingin daripada orang ramai.
"Warga kota sudah bosan dengan gelagat PKR, sebab itu perhimpunan tersebut hanya disertai sekadar lima ribu orang sahaja," ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, pihak penganjur (pembangkang) perlu bertanggungjawab di atas ketidak selesaan orang awam dan peniaga di Kuala Lumpur yang terjejas berikutan perhimpunan tersebut.
"Inilah (perhimpunan) yang menyusahkan rakyat, mereka hanya mengutamakan kepentingan politik semata-mata," tegasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan