
DATUK Seri Ali Alhabshee menolak tuduhan pembangkang kononnya UMNO semakin tertekan sehingga memungkinkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersara awal daripada jawatan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai karut dan provokasi, Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan tidak ada asas yang kukuh mengapa Najib perlu berundur daripada kerajaan dan parti.
"Pembangkang terutama PAS sengaja menimbulkan cerita karut kononnya UMNO mengalami krisis, Najib menerima tekanan dan akan meletakan jawatan, itu semua serangan politik pembangkang," tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak mengalami kemelut politik sehingga di tahap membimbangkang.
Katanya, Najib merupakan pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan tidak akan mencari jalan pintas dengan mengadakan PRU secara mengejut hanya disebabkan berlakunya tekanan dalaman.
"Ini semua teori dan fitnah pembangkang bertujuan mencetuskan rasa gelisah rakyat terutama ahli-ahli UMNO," tegasnya.
Tambah beliau, sebagai sebuah parti pemerintah yang mempunyai jumlah komponen agak besar, sudah tentu sedikit-sebanyak ada masalah dalaman, tetapi bukannya krisis besar sehingga menggugat kelincinan pentadbiran kerajaan.
Bagaimanapun katanya, BN sentiasa mengutamakan semangat setiakawan dan musyawarah dalam mencari jalan penyelesaian jika berbangkit sesuatu isu atau konflik terutama menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Sebagaimana Pakatan Rakyat (PR) ujar beliau, PAS, DAP dan PKR juga turut mengalami masalah dalaman dan berlaku pertelinghahan sesama mereka malah semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.
"Contohnya sekarang, bagaimana hebatnya perang terbuka antara DAP-PAS berhubung isu Pilihan Raya PBT, bagaimanapun sengketa itu sekadar lakonan untuk menarik perhatian rakyat," tegasnya.
Sehubungan itu katanya, tuduhan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa UMNO sedang berdepan dengan kemelut politik yang amat dasyat dan memungkinkan Najib meletakkan jawatan hanya agenda politik pembangkang.
Berucap merasmikan majlis makan Malam Kutipan Dana Pilihan Raya Negeri Sarawak di Petaling Jaya baru-baru ini, Mohamad atau Mat Sabu mendakwa Najib berada dalam keadaan tertekan kerana 'dilanyak' oleh pemimpin UMNO termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mat Sabu juga menyatakan, persoalan timbul apakah Najib akan dipaksa bersara lebih awal sepertimana Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahamd Badawi di tengah jalan iaitu sebelum PRU.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata adalah tidak adil untuk Timbalan Presiden PAS itu untuk membuat perbandingan dalam situasi politik yang berbeza.
Beliau menjelaskan, teguran dan kritikan bekas pemimpin UMNO termasuk daripada Dr. Mahathir bersifat terbuka demi untuk menguatkan halatuju parti dan meningkatkan keberkesanan kerajaan yang memerintah.
"Ini menunjukkan Mat Sabu cuba mencampuri urusan UMNO, cuba menagih perhatian rakyat dengan dakwaan tidak berasas hanya untuk menjatuhkan reputasi Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan, dengan mengambilkira senario politik masa kini dan kedudukan UMNO yang semakin mantap tidak ada sebab mengapa Najib perlu berundur.
"PAS sememangnya mahukan Najib berundur tetapi mereka (pembangkang) harus ingat, ahli-ahli dan pemimpin UMNO termasuk BN masih tetap yakin dan berdiri teguh dibelakang kepimpinan Perdana Menteri," katanya.
"Pemimpin UMNO di semua peringkat akan mempertahankan Najib dan timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin," tegasnya sambil menjelaskan PAS sudah kehabisan modal politik untuk memancing sokongan.
Menurut Syed Ali lagi, PAS sepatutnya membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan UMNO kerana parti itu sendiri terpalit dengan kekotoran sejak mengadakan hubungan politik dengan DAP.
"PAS ternyata telah mengkhianati aspirasi perjuangan orang Melayu, umat Islam dan membelakangkan kepentingan negara hanya kerana ingin menjaga hati pemimpin DAP," tegasnya.
Oleh sebab itu katanya, sehingga sekarang pemimpin PAS tidak berani menegur DAP yang sentiasa mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan peranan institusi raja-raja Melayu di negara ini.
"Mat Sabu sepatutnya sudah lama muncul sebagai hero menentang DAP dan menyelematkan orang Melayu dan umat Islam yang sudah sekain lama dicurigai oleh parti rasis itu, tetapi malangnya dia juga menjadi perkakas kepada DAP" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan