Halaman

Khamis, 5 Februari 2015

Syed Ali : Anwar hanya manusia biasa, tidak kebal


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar brahim hanya manusia biasa yang boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan jika didapati bersalah oleh mahkamah termasuk dalam kes meliwat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, sebagai manusia biasa, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga tidak pernah kebal di sisi undang-undang.

Seperti orang lain katanya, Anwar juga boleh meringkuk di dalam penjara jika beliau didapati bersalah oleh mahkamah melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun jelas beliau, sebelum seseorang itu disabit bersalah ia dibuat menerusi proses perundangan bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

Oleh sebab itu katanya, tuduhan pembangkang kononnya mahkamah di Malaysia berat sebelah dalam mengadili kes liwat Anwar sebagai tidak berasas.

“Anggapan itu merupakan tuduhan jahat, hanya yang taksub kepada Anwar sahaja yang menganggap beliau kebal dan tidak boleh disabit dengan sebarang kesalahan,” tegasnya.

Beliau mendakwa Anwar sekarang ini berada dalam ketakutan menunggu 10 Februari kerana tarikh itu merupakan keputusan rayuan akhir terhadap kes beliau meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Anwar katanya, terpaksa mengadakan roadshow ‘Rakyat Hakim Negara’ ke seluruh negeri kerana menyedari jangka hayat politik beliau  bakal ditentukan pada tarikh tersebut.

Beliau berkata, roadshow yang dilakukan Anwar bertujuan mengemis simpati disamping cuba meyakinkan penyokong PKR bahawa beliau tidak bersalah dalam kes meliwat.

“Seperti biasa, Anwar akan menyalahkan pihak kerajaan khususnya UMNO dan mendakwa beliau menjadi mangsa  konspirasi politik,” tegasnya.

Katanya lagi, siri jelajah Anwar itu dilihat seolah-olah cuba menidakkan keadilan dalam sistem kehakiman dan perundangan negara ini.

“Menjelang 10 Februari ini, Anwar berada dalam ketakutan kerana mengetahui kerjaya politiknya akan berakhir jika beliau disabit bersalah,” tegasnya.

Anwar juga kata beliau, semakin bimbang jika angan-angannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.

Beliau mendakwa, ceramah politik Anwar bagaimanapun ternyata kurang mendapat sambutan orang ramai.

Syed Ali menyifatkan roadshow ‘Rakyat Hakim Negara’ dipelopori Anwar sebagai membuang masa dengan menyajikan isu peribadi.

“Ahli Parlimen Permatang Pauh dan penggerrak utama PKR itu  tidak terkecuali daripada undang-undang,” ujarnya lagi.

Beliau menyifatkan siri jelajah Anwar itu seolah-olah cuba mempengaruhi keputusun mahkamah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan