Halaman

Isnin, 26 Januari 2015

Syed Ali Sokong Dgn Kenyataan Hishammuddin Jgn Cemuh Kerajaan


 
KUALA LUMPUR, 26 JANUARI: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee sokong dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn agar semua pihak menghentikan perbuatan mencemuh kerajaan ada sekarang adalah yang diwarisi dari pemimpin terdahulu.

Katanya, beliau menyokong kenyataan Hishammuddin dalam portal berita freemalaysiatoday tidak perlu membangkitkan pelbagai masalah. Ini adalah kerana segala dasar dan corak pentadbiran yang ada sekarang sudah tentu ditimba dari ajaran pemimpin pernah berkuasa sebelum ini.

Kenyataan Hishammuddin ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang membuat kenyataan secara terbuka menyerang Najib.

Mengulas perkara yang sama Syed Ali berkata, pihaknya menghormati segala pandangan bekas pemimpin parti termasuk Tun Dr Mahathir dan Tun Daim yang dibuat kepada kerajaan. Namun terdapat sesetengah pandangan kedua-dua bekas pemimpin termasuk proksi mereka merupakan kritikan atau komen negatif yang tidak sepatutnya dilontarkan secara terbuka.

“Kita amat menghormati pandangan kedua-dua Tun ini kalau ianya dilakukan untuk kebaikan parti dan kerajaan. Cuma yang kita tak setuju adalah pandangan yang bersifat negatif secara tidak langsung akan menguntungkan pihak parti lawan akan menangguk di air yang keruh.

“Selama ini kita diajar oleh bekas pemimpin UMNO terdahulu agar setiap masalah atau kritikan dalam parti perlu dilakukan secara tertutup. Dahulu semasa Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau sendiri sentiasa menasihatkan anggota parti agar mengkritik kepimpinan mengikut saluran yang betul jika terdapat perkara –perkara yang tidak berpuas hati.

“Tetapi sekarang kenapa bekas pemimpin terdahulu yang melanggar nasihat dan arahan mereka sebelum ini? Kalau kita fikirkan banyak dasar atau segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan ada sekarang sudah tentu berpandu kepada acuan pemimpin kanan terdahulu,” katanya.

Syed Ali turut melahirkan rasa kesal, apabila terdapat media arus perdana tertentu memberi ruang, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk menyerang semula Dr Mahathir dan Daim Zainuddin.

Katanya, tindakan media arus perdana ini bukan sahaja boleh mengeruhkan suasana politik kian kronik malah sudah sampai pada peringkat melaga-lagakan sesama pemimpin negara. Jika perkara ini tidak dibendung boleh memudaratkan kepentingan rakyat dan negara.

Tegasnya, seharusnya dalam keadaan sekarang semua pimpinan UMNO dahulu dan sekarang memberikan tumpuan kepada usaha pengukuhan parti yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita sendiri dapat melihat bagaimana kegigihan dan kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam memberikan keselesaan kepada rakyat selepas banjir besar melanda negara dan kesan kejatuhan harga minyak. Malangnya semua usaha tersebut dilihat tidak berbaloi apabila terdapat bekas pemimpin terdahulu yang berusaha meruntuhkan tahap keyakinan rakyat kepada kerajaan sedia ada,” katanya.

Justeru Syed Ali yang menganggap Dr Mahathir sebagai Negarawan Negara agar dapat bersama-sama kerajaan dan pentadbiran Najib melakukan sesuatu yang terbaik demi kepentingan agama, rakyat dan negara. Katanya pepatah ada menyebut, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan