Halaman

Rabu, 10 Disember 2014

Syed Ali bidas Mahfuz; : Tidak perlu diperdebatkan siapa pengganti Najib


KUALA LUMPUR, 10 DIS : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata tidak perlu diperdebatkan siapakah calon yang layak menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Bukan masanya, malah tidak perlu untuk diperdebatkan siapa pengganti Najib,” tegas beliau.

Katanya, isu perdebatan itu sengaja diprovoksikan oleh pembangkang dan ahli-ahli UMNO tidak perlu terpengaruh.

Malah kata beliau, ahli-ahli UMNO menaruh keyakinan terhadap keupayaan Najib yang juga presiden parti mentadbir negara bergandingan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lagipun tegas beliau, gandingan mantap Najib dan Muhyiddin telah berjaya memperkasakan UMNO dan memacu negara ke tahap yang lebih cenmerlang.

Beliau mempersolkan mengapa isu tersebut dibangkitkan ketika ahli-ahli UMNO kejap bersatu untuk berdepan dengan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Perdebatan siapa yang layak jadi Perdana Menteri selepas Najib hanya akan memecahbelahkan parti,” ujarnya.

Beliau menyelar Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mahu mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menamakan siapakah calon berkenaan.

Katanya, PAS  cuba ‘menangguk di air keroh’ berhubung kenyataan Dr. Mahathir dalam akhbar Sinar Harian baru-baru bahawa ramai yang layak menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

“Mahfuz (PAS) tidak perlu memanipulasikan kenyataan Dr. Mahathir dan tidak ada kewajaran untuk beliau mencampuri urusan UMNO,” tegasnya.

Menurut beliau, sesiapa sahaja termasuk Dr. Mahathir boleh bercakap mengenai siapakah yang bakal mengganti Najib  kerana jawatan Perdana Menteri bukan milik individu.

Katanya, UMNO sudah melalui zaman peralihan kuasa dan menyaksikan seseorang Perdana Menteri akan berundur apabila sampai masanya untuk berbuat demikian.

“Bukan perkara pelik dan bukannya isu, pemimpin pergi silih berganti tetapi kelangsungan perjuangan UMNO dan negara tetap diteruskan,” tegasnya.

“Itu perkara lumrah dalam parti, sama juga dengan persoalan siapa pula  yang bakal menggantikan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS,”? soal beliau.

Dalam PAS tambah beliau, ramai yang berkelayakan termasuk Mahfuz untuk dipilih sebagai presiden parti menggantikan Haji Hadi.

Syed Ali menjelaskan, kenyataan Dr. Mahathir itu bersikap terbuka kerana ramai pemimpin UMNO yang berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut.

Katanya, semasa era pemerintahan Tun Hussein Onn, ramai beranggapan dan membuat andaian kononnya Tengku Razaleigh Hamzah atau Tun Ghafar Baba sebagai penggantinya.

“Tetapi akhirnya yang dipilih adalah Dr. Mahathir dan Tun Musa Hitam (timbalan) dan ahli-ahli UMNO berlapang dada menerima keputusan tersebut , malah parti menjadi bertambah kukuh,” jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan Dr. Mahathir berhubung siapa pengganti Najib hanyalah perkara biasa dan tidak perlu diperdebatkan.

“Pembangkang hanya mengambil kesempatan  mencetuskan kegelisahan dan keretakajn dalam UMNO, itu kerja mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali mendakwa ‘perang dingin’ PAS-DAP membuktikan pakatan pembangkang sedang menuju kehancuran.

DAP kata beliau, mula mencurigai terhadap kejujuran PAS dalam pakatan pembangkang.

“Kedua-dua parti itu sedang bertelagah, ini menunjukkan mereka hanya mengutamakan agenda politik daripada kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau sekali lagi mencabar PAS supaya segera keluar daripada pakatan pembangkang jika benar parti itu masih mempunyai kredibilti.

“PAS sebenarnya hanya berkokok saja lebih tetapi takut untuk berdepan dengan DAP,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan