Halaman

Rabu, 8 Oktober 2014

Tohmahan Lim Guan Eng Ahli PAS 'Talam Dua Muka', Mahu Tendang Keluar Parti itu - Syed Ali


KUALA LUMPUR, 8 OKTOBER : PAS lebih rela membiarkan dirinya dibuli, dihina dan dicabul oleh rakan sekutunya DAP dari membuat keputusan drastik keluar dari Pakatan Rakyat.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu temubual bersama ‘The Malaysian Insider’ secara terbuka meminta ahli PAS yang anti-pakatan menunjukkan diri dan jangan menjadi ‘talam dua muka’.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee mengulas isu ini berkata, kenyataan terbaru Lim Guan Eng secara psikologinya mahu menendang keluar PAS dari Pakatan Rakyat.

Justeru itu katanya, sebelum PAS ditendang keluar dari Pakatan Rakyat ada baiknya parti itu mengambil keputusan tinggalkan DAP dan PKR yang jelas tidak sependapat dalam gabungan tersebut.

“Kita sama-sama tengok sampai bila PAS mahu menjadi bacul dan sanggup menerima tohmahan Lim Guan Eng yang disifatkan sudah sampai tahap merendah-rendahkan maruah parti tersebut.

“Kalau Lim Guan Eng tak sebut pun rakyat sudah tahu siapa dimaksudkan talam dua muka dalam PAS. Siapa lagi kalau sesetengah pihak dalam parti itu secara terbuka menolak pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar (MB) Selangor baru-baru ini.

“PAS kena sedar diri dan sampai bila mahu membiarkan parti itu diejek dan dihina oleh DAP dan PKR yang tidak senang dengan PAS sejak kebelakangan ini.

“Kini terdapat anggota PAS sudah dilabelkan talam dua muka atau pembelot dalam Pakatan Rakyat takkan Hadi Awang mahu berdiam diri. Tindakan Hadi Awang berdiam diri menampakkan sikap sebenar Presiden PAS yang gagal mempertahankan anggota sendiri bila ditohmah oleh Lim Guan Eng,” katanya.

Menurut Syed Ali, kalau melihat kepada tindak tanduk DAP dan PKR selepas kemelut Menteri Besar (MB) Selangor memang mahu menendang PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

Kalau dilihat kepada penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR bukan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat sebaliknya persefahaman politik mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum.

“Kini PAS sudah dilihat sebagai sampah dan langsung tidak berguna kepada perjuangan Pakatan Rakyat. PAS kena membuat keputusan muktamad keluar dari Pakatan Rakyat dan membuktikan parti itu berpegang kepada prinsip serta tidak gadai kepentingan Islam.

“Kalau saya tidak cakap pun, rakyat sudah nampak bahawa sampai bila-bila pun DAP tidak akan menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. DAP hanya memandang PAS sebagai keldai politik bagi meraih undi Melayu.

“Selagi PAS bersama Pakatan Rakyat selagi itulah PAS akan menjadi batu penghalang DAP menghapuskan keistimewaan Melayu dan menghalang parti itu mempertikaikan perlembagaan negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Negeri Selangor membuat kejutan bersama 30 ADUN menyatakan sokongan kepada Wan Azizah sebagai MB Selangor jelas memalukan Hadi Awang dan Dewan Ulama PAS. Ini bermakna ada wakil rakyat PAS tidak menghormati kredibiliti Hadi Awang dan Nik Aziz.

Kata Syed Ali, PAS kena keluar dari pakatan kepura-puraan dengan DAP dan PKR sebelum terus dilabelkan sebagai bacul dan ‘malukut di tepi gantang’.

“Tohmahan terbaru Lim Guan Eng kepada PAS adalah satu peringatan kepada pimpinan PAS agar menasihatkan anggotanya agar jangan cuba campurtangan dalan pentadbiran DAP di Pulau Pinang dan menerima bulat-bulat keputusan Pakatan Rakyat berkenaan apa sahaja termasuk dalam isu MB Selangor,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan