Halaman

Selasa, 7 Oktober 2014

Sekolah Satu Aliran, UMNO Bukan Jadi Hero Tetapi Utamakan Perpaduan Rakyat -Syed Ali

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER : Kerajaan perlu melihat dan mengkaji semula penubuhan sekolah satu aliran boleh membantu ke arah pemupukan perpaduan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

Sekolah satu aliran diharapkan mampu menjadi pemangkin usaha kerajaaan dalam melahirkan perpaduan nasional yang asli, tulen dan harmoni di kalangan rakyat yang sudah tentu selari dengan matlamat 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menegaskan perkara ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee mengajak pemimpin parti komponen agar melihat penubuhan sekolah satu aliran ini sebagai satu wadah  ke arah membentuk jati diri dan satu identiti rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira  kaum. 

Tegasnya, bila timbul cadangan agar sekolah satu aliran dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada November ini bukan bermakna parti itu mahu menjadi hero tetapi lebih mengutamakan soal perpaduan rakyat yang berjaya dipertahankan sehingga kini.

Katanya, memang dasar perjuangan UMNO sejak ditubuhkan pada 1946 akan berbuat apa sahaja demi memastikan rakyat semua kaum di negara ini dapat hidup aman damai dan mendapat pembelaan sewajarnya.

Malah di bawah teraju UMNO tiada mana-mana bangsa dipinggirkan atau dianak tirikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin kepada kepentingan rakyat semua kaum di negara ini. 

Sejajar dengan hasrat kerajaan mahu memupuk perpaduan sejati dan integrasi nasional rakyatnya tanpa mengira kaum sudah tentu digarap melalui sistem pendidikan di sekolah yang mempunyai satu aliran bahasa iaitu bahasa Malaysia.

“Apabila saya mempertahankan sekolah satu aliran bukannya UMNO mahu menganiaya atau bertindak zalim kepada mana-mana kaum di negara ini sebaliknya UMNO berpendapat hanya sistem pendidikan di sekolah sahaja mampu mencorakkan perpaduan nasional rakyatnya. 

“Ini adalah kerana sekolah boleh memainkan peranan  yang lebih luas dalam mendidik dan memberikan penghayatan perpaduan nasional mengikut acuan Malaysia kepada pelajar-pelajarnya,’’ katanya. 

Kata Syed Ali, sekolah satu aliran bukan bertujuan membunuh bahasa ibunda kaum-kaum lain malah mereka boleh mempelajari  bahasa tersebut di sekolah-sekolah.

Penubuhan sekolah satu aliran, sebelum ini pernah dicetuskan bekas Penasihat Pelajaran Negara, Allahyarham Aminuddin Baki sejak 48 tahun lalu. Pada waktu itu beliau sudah dapat menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul pada masa depan lantaran semua kaum mendapat pendidikan di sekolah berlainan.

Pada masa yang sama Syed Ali tidak menolak kemungkinan terdapat sebilangan guru-guru tanpa mengira kaum yang cuba meniupkan api perkauman di kalangan pelajar-pelajarnya.

“Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berleluasa, hanya melalui sekolah satu aliran ini diharapkan mampu menjadi medium terbaik bagi memulakan langkah ke arah pemupukan perpaduan kaum yang lebih jelas dan tulen jati dirinya.

“Sekolah satu aliran ini juga akan menyediakan satu persekitaran atau mempunyai ruang secukupnya untuk pelajar berbilang kaum berinteraksi dan saling memahami sensitiviti masing-masing selain mampu menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial rakyat negara ini,’’ katanya. 

Syed Ali turut melahirkan rasa kesal tindakan sesetengah pihak termasuk pemimpin MCA terutamanya menentang pelaksanaan sekolah satu aliran kerana merasa bimbang bahasa dan identiti kaum mereka akan terhakis merupakan pandangan bersikap persepsi semata-mata. 

“Bagi saya pemimpin MCA boleh memberikan pandangan berkenaan sekolah satu aliran ini tetapi kenalah mengikut saluran yang betul. Ini bagi mengelakkan sesetengah kenyataan atau pandangan disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda politik kepentingan diri. 

“Kalau boleh semua pihak tak kira pemimpin parti komponen kena bercakap soal kebaikan sekolah satu aliran ini yang membawa manfaat  kepada hubungan rakyat antara kaum. Bukannya kita menolak sekolah satu aliran ini kerana semata-mata mahu menjaga kepentingan kaum masing-masing. Ini sudah tidak sesuai lagi dalam masyarakat kita yang  sentiasa mementingkan perpaduan rakyatnya mengatasi kepentingan lainnya,’’ katanya. 

Syed Ali turut memberikan contoh negara Singapura yang mempunyai majoriti penduduk Cina menggunakan satu aliran bahasa sistem pendidikannya berjaya mewujudkan  perpaduan nasional rakyat berbagai kaum di negara  tersebut. Di negara tersebut tidak terdapat satu sekolah pun mempunyai aliran bahasa Cina. 

Manakala negara Thailand dan Indonesia yang mempunyai penduduk berketurunan pendatang juga telah menghapuskan sekolah berasaskan perkauman demi menyatupadukan rakyatnya. 

Ini termasuklah Sekolah Victoria Institution (Sekolah VI) merupakan contoh model sekolah satu aliran boleh dianggap terbaik di negara ini. Ramai ibu bapa Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak belajar di sekolah ini. 

Manakala pelajar semua bangsa di sekolah berkenaan saling  berlumba-lumba dan bersaing secara sihat dalam pelajaran tanpa mengira agama dan kaum. Tidak ada sebab mengapa sekolah –sekolah lain mempraktikkan sekolah satu aliran yang membawa banyak kebaikan kepada rakyat negara ini. 

Tidak keterlaluan kalau dikatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pendidikan pelbagai aliran. Mungkin sudah tiba masanya kerajaan Malaysia memansuhkan sekolah vernakular yang dianggap sebagai platform dalam meniupkan sentimen perkauman yang menebal di kalangan rakyat. Serta boleh membawa perpecahan di kalangan rakyat negara ini. 

Sekolah vernakular memang tidak sesuai lagi dipraktikkan di negara ini memandangkan ianya dicetuskan oleh dasar penjajahan British yang sememangnya mahu memecahbelahkan rakyat negara ini. 

Menurut Syed Ali, sekolah satu aliran mampu menjadi elemen ke arah penyatuan rakyat pelbagai bangsa di negara ini. Sememangnya pendidikan sejak dulu lagi sudah dianggap medium terbaik bagi melahirkan satu acuan rakyat Malaysia yang bersatu padu, bertolak ansur dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. 

“Pada pandangan saya idea ‘1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diuatamakan’ merupakan satu ilham yang cukup baik cuma kenalah diseragamkan dengan sekolah satu aliran yang mampu menyatukan semua rakyat di negara ini,’’ katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan