Halaman

Jumaat, 17 Oktober 2014

Syed Ali Cadang Akta Hasutan 1948 Dibahas Dalam Perhimpunan Agung UMNO November ini


KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabsee berkata, pihaknya menerima pelbagai respons dan reaksi orang ramai berkenaan ura-ura kerajaan mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Akta Hasutan 1948 yang besar signifikannya kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO November ini bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap pemansuhannya. 

“Kalau lebih banyak yang baik melalui akta seumpama ini maka kerajaan diharapkan memikirkan semasak-masaknya sama ada memansuh atau meneruskannya.

“Saya lebih melihat dalam konteks perpaduan rakyat pelbagai kaum dengan adanya Akta Hasutan ini. Dengan adanya akta ini semua pihak kena berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan berkenaan isu perkauman dan agama misalnya.

“Sekarang ini saya melihat kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia sudah banyak disalahgunakan dalam laman sosial dan terbuka sehingga sampai peringkat mencabar perlembagaan negara, institusi istana dan keistimewaan Melayu.

Maka kerajaan kena memikirkan tentang kebaikan akta ini dalam memelihara nilai perpaduan majoriti rakyat di negara ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan-kemungkinan suara minoriti rakyat menggesa kerajaan memansuhkan akta ini disebabkan oleh kepentingan tertentu,’’ katanya. 

Semalam, Majlis Peguam Malaysia bangkit menentang Akta Hasutan 1948 dan menuntut kerajaan memansuhkan undang-undang tersebut dalam satu himpunan kecil Padang Merbok, di sini. 

Majlis peguam turut menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong antara lain menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Hasutan sepertimana dijanjikan pada 2012. 

Syed Ali turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak Akta Hasutan digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan aktivis masyarakat. 

Jelasnya, akta ini merupakan akta yang adil dan saksama kepada semua rakyat di negara ini. Tidak benar mengatakan akta ini digunakan untuk menakut-nakutkan pemimpin pembangkang dan aktivis masyarakat serta menghalang kebebasan bersuara dan pemikiran sesetengah pihak. 

“Bagi saya kebebasan bersuara dalam sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia ada had dan batasnya. Kalau sudah sampai peringkat mengancam keselamatan awam, boleh mewujudkan ketegangan kaum dan pecah belah di kalangan rakyat maka wajar dicegah,’’ katanya. 

Bagi mempastikan keputusan kerajaan dilihat tepat dalam memansuh atau meneruskan akta ini, maka beliau mencadangkan perkara ini dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO November ini. 

Cadangan ini timbul selepas Syed Ali menerima ‘feed back’ anggota UMNO dan aktivis masyarakat tidak bersetuju dengan pemansuhan akta ini selepas kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

“Memandangkan UMNO merupakan tunjang kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) maka saya mencadangkan isu Akta Hasutan 1948 ini dibincangkan dalam perhimpunan kali ini. 

“Ini bagi memberi ruang pucuk pimpinan UMNO dan BN mendengar sendiri pandangan, nasihat-nasihat dan idea-idea segar berkaitan akta ini. Kita tidak mahu kerajaan membuat satu keputusan silap boleh mengundang perkara–perkara tidak baik pada masa depan,’’ katanya. 

1 ulasan:

  1. As Salam Datuk Seri,
    saya setuju perkara ini di bahaskan di AGM UMNO tapi saya kira tak ada kesan kalau Datuk Seri Najib buat deeek saja. Sekarang Najib dengar kata adviser dia saja, suara UMNO dah di pekakkan. Jadi kita bolih cuba kerana itu kemahuan majority rakyat. Saya adalah Ahli UMNO bahagian Datuk Seri. ini kemahuan kami.

    BalasPadam