Halaman

Jumaat, 17 Oktober 2014

Bersaralah Anwar, Jangan jadi Perosak Heret Rakyat Ke Jalan Raya -Syed Ali


KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER : Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengheret rakyat untuk kempen ‘Rakyat Hakim Negara’ yang akan diadakan selama dua hari pada 28-29 Oktober ini.

Kempen tersebut dianjurkan Angkatan Muda Keadilan akan diadakan pada tarikh mendengar keputusan rayuan terakbir Anwar di Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat II, dijangka bakal mengheret rakyat sekali lagi dalam himpunan jalanan.

Terbaru kumpulan belia yang pro kepada Pakatan Rakyat, Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) menggesa Anwar Ibrahim bersara dari politik.  Ini bagi mengelakkan rakyat diheret sekali lagi ke jalan raya setiap kali Ketua Umum Keadilan itu menghadapi kes mahkamah.

Jurucakap LENSA, Ekhsan Bukharee antara lain berkata, “Apa yang kami harapkan ialah demi rakyat, Datuk Seri bersaralah, berhijrahlah. Nyata semakin ramai tidak menggemari Datuk Seri sebab setiap kali Datuk Seri disumbat ke dalam penjara setiap kali itu juga rakyat akan diheret ke jalan raya.”

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee ketika mengulas isu ini, menjelaskan pihaknya sendiri sudah beberapa kali menasihatkan Anwar Ibrahim bertaubat dan bersara dari politik selepas melihat banyak kerosakan dilakukan pemimpin tersebut yang melibatkan perpaduan dan keselamatan orang awam terutamanya.

Syed Ali turut melahirkan rasa kehairanan kenapa setiap kali kes mahkamah Anwar dibacakan maka modus operandinya tetap sama mengheret dan memperkeldaikan rakyat tidak berdosa ke jalan raya tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada keselamatan awam.

“Sepertimana sudah saya jelaskan berkali-kali dalam kenyataan saya sebelum ini, bersaralah Anwar. Jangan jadi perosak mengheret rakyat tidak berdosa ke jalan raya.

“Masyarakat sudah muak dengan lakonan Anwar yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk sanggup mencederakan keamanan negara  demi cita-cita politik mahu menjadi Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar membenarkan Angkatan Muda Keadilan kempen mengedarkan risalah memburuk-burukkan kerajaan sehingga tarikh kemuncak keputusan mahkamah berkenaan kes rayuan liwat II sudah menjadi kebencian kebanyakan rakyat yang cintakan aman di negara ini.

“Dakwaan yang dikaitkan kepada Anwar bukan merupakan kes kecil malah  dakwaan seks songsang atau luar tabii amat dibenci oleh orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini,” katanya.

Kata Syed Ali, Anwar kena insaf dan membuat keputusan berhenti berpolitik apabila terdapat kumpulan belia seperti LENSA menasihatkannya agar bersara dan berundurlah dari politik sebelum lebih banyak kerosakan berlaku di negara ini.

Syed Ali yakin dan percaya ramai anak-anak muda lainnya tidak akan terikut-ikut dengan rentak politik Anwar sudah ketinggalan zaman. Ramai yang sudah bosan dan tidak mahu membuang masa menyertai demonstrasi jalanan tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Menurutnya lagi, sejak Anwar dipecat dalam UMNO sehingga kini, sudah berbagai kerosakan dilakukan oleh Ketua Pembangkang termasuk membawa budaya demonstrasi jalanan rakyat dalam melunaskan cita-cita besarnya menjadi Perdana Menteri.

Kesan tindakan Anwar membuatkan kebanyakan bukan Melayu di negara ini berani mempersoalkan institusi istana, perlembagaan negara dan hak keistimewaan Melayu.

Syed Ali turut menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terbabit atau menganjurkan kempen ‘Rakyat Hakim Negara’ bakal diadakan pada hujung bulan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan