Halaman
▼
Rabu, 1 Oktober 2014
PAS Dayus dan Lacurkan Prinsip -Syed Ali
KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER : Jangan dituduh dayus dan lacurkan prinsip perjuangan lantaran sikap PAS yang masih terus berdegil untuk bersama-sama Pakatan Rakyat yang dilihat hanya menjadikan parti itu sebagai alat atau keldai politik.
Kalau pemimpin PAS berasakan Pakatan Rakyat sebuah parti yang dilihat mencabul prinsip perjuangan PAS selepas kemelut Menteri Besar (MB) Selangor maka parti itu kena isytihar keluar dari Pakatan Rakyat.
Tindakan sesetengah pemimpin PAS yang menyerang bertubi-tubi Pakatan Rakyat tanpa keluar dari parti itu dilihat seolah-olah melumurkan PAS dengan najis.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menyifatkan PAS sebuah parti yang tidak mempunyai semangat keberanian dan penakut sejak berlaku kemelut Menteri Besar (MB) Selangor.
Meskipun empat Exco PAS menyokong Khalid Ibrahim dituduh pengkhianat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan tindakan PKR menggugurkan seorang exco PAS dalam rombakan Exco Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini, PAS terus dilihat sebagai tunggul mati.
Menurut Syed Ali, kalau dalam istilah perkahwinan, PAS terus dilihat dayus kerana terus bersama-sama PKR dan DAP yang terus melakukan kecurangan kepada parti itu.
PAS terus merelakan parti itu ditelanjang oleh PKR dan DAP semata-mata mahu merealisasikan hasrat besarnya mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14).
“Sejak kemelut MB Selangor saya melihat sesetengah pemimpin PAS terus menyerang PKR dan DAP dengan bermacam-macam tohmahan dan cacian.
“Malah Presiden PAS, Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di muktamar parti itu menyifatkan dua exco PAS yang menyokong Wan Azizah sebagai calon MB sebagai barua dan broker politik.
“Kalau sudah tahap itu kemarahan Hadi Awang terhadap dua exco PAS buat apa parti itu masih mahu bersama-sama Pakatan Rakyat. Walaupun kecaman demi kecaman PAS terhadap Pakatan Rakyat namun PAS tidak keluar dari parti itu,” katanya.
Semalam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka sebagai Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) yang pro-PKR menggesa PAS menasihatkan semua pimpinan parti itu untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh memudaratkan hubungan sesama rakan Pakatan Rakyat.
LENSA turut berpendirian sekiranya PAS gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam PAS yang terus menerus mewujudkan konflik sesama Pakatan Rakyat maka badan NGO itu mencadangkan PAS mengambil langkah berundur dari parti itu.
Apa yang difahamkan, LENSA turut menghantar memorandum bantahan di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur. LENSA turut menuduh PAS menjadi punca dan menyebabkan krisis MB Selangor yang mengundang perpecahan Pakatan Rakyat.
Koordinator LENSA , Ekhsan Bukharee berkata, PAS menjadi faktor utama menyebabkan krisis Selangor terheret sehingga hampir lima bulan sedangkan perkara ini boleh diselesaikan lebih awal jika PAS menghormati semangat setiakawan menyokong calon MB Selangor yang sudah disetujui oleh PKR dan DAP.
Kata Syed Ali, sudah terbukti LENSA menuduh PAS sebagai punca keretakan dalam Pakatan Rakyat. PAS juga dituduh sebagai parti yang melengah-lengahkan pertukaran MB Selangor.
“Bagi saya tuduhan LENSA amat keterlaluan dan sudah menjatuhkan air muka Hadi Awang dan PAS sendiri. Ternyata PAS yang dipersalahkan atau cuba dijadikan scapegoat dalam kemelut MB Selangor. Walaupun terdapat tangan ghaib Anwar Ibrahim dalam kemelut MB Selangor, namun PAS juga yang dipersalahkan.
“Maka PAS kena buat keputusan muktamad keluar dari Pakatan Rakyat dan bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan agama, rakyat dan semua institusi terpenting di dalam negara ini. Sanggupkah PAS melihat Islam dan Melayu terus diperkotak katikkan oleh PKR dan DAP?
“Sanggupkah PAS melihat DAP menghapuskan hak keistimewaan Melayu di negara ini? Sanggupkah PAS membiarkan Anwar Ibrahim menjadi dalang perpecahan Melayu di negara ini? Apa yang berlaku di negeri Selangor merupakan satu pengkhianatan PKR dan DAP kepada PAS yang cukup besar dan tidak boleh dimaafkan. Maka sudah tiba masanya PAS mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat,” katanya.
Kata Syed Ali, hanya parti dayus sahaja sanggup bersama-sama PKR dan DAP. Kalau PKR tunduk kepada arahan Anwar Ibrahim manakala PAS sebuah parti yang terus tundukn dan mengalah kepada Nik Aziz.
“Zaman Nik Aziz sudah berlalu dan PAS kena mempunyai pendirian sendiri dalam menentukan kekuatan dan masa depan parti itu. Tapi kalau sudah sampai peringkat dihina, dimaki dan dicaci oleh PKR dan DAP maka PAS kena isytihar keluar Pakatan Rakyat,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan