Halaman

Isnin, 29 September 2014

Bila-bila masa PAS akan ditendang Keluar Pakatan Rakyat -Syed Ali


KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER : Selepas PAS dibuli dalam isu pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor, terbaru DAP menggugurkan Bendahari PAS negeri, Iszuree Ibrahim sebagai Ahli Majlis Jawatankuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) selepas mengkritik kerajaan negeri itu berhubung dasar perumahan.

Iszuree yang mewakili PAS Pulau Pinang pada Muktamar parti itu di Batu Pahat baru-baru ini membangkitkan permasalahan orang Melayu Pulau Pinang dan pengusiran penduduk kampung tradisional untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menggesa PAS mengkaji semula tujuan parti itu bergabung dalam Pakatan Rakyat yang ternyata merugikan parti itu dalam banyak perkara.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bila-bila masa PAS akan ditendang keluar dari Pakatan Rakyat selepas tindakan membuli dan memalukan kepimpinan parti itu. Ini dilakukan kerana PAS dilihat sebagai batu penghalang kepada cita-cita DAP untuk menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan cita-cita PKR untuk meletakkan Ketua Umum PKR sebagai Perdana Menteri.

“Tindakan DAP menggugurkan Iszuree Ibrahim daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP dan membekukan semua peruntukan membuktikan DAP sebuah parti yang tidak boleh ditegur dan mahu menjadi ‘abang besar’ dalam Pakatan Rakyat.

“Apa yang dikatakan oleh Iszuree Ibrahim dalam muktamar parti itu baru-baru ini, jelas mengiyakan pandangan ramai pihak sebelum ini bahawa kerajaan DAP tidak pernah memikirkan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di negeri itu.

“Malah DAP menganggap anggota dan penyokong PAS Pulau Pinang sebagai sampah yang bekerja keras selama ini memenangkan calon DAP dan PKR di negeri ini dalam pilihan raya umum lalu,” kata Syed Ali.

Menurutnya, PAS harus bangkit dari lena bahawa usaha cara halus dan memalukan sedang dirancang oleh kedua-dua parti sekutu DAP dan PKR yang mahu menendang parti itu keluar dari Pakatan Rakyat pada bila–bila masa.

Syed Ali turut melahirkan rasa kehairanan dengan pimpinan PAS yang membatu apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggelarkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang menyokong Khalid Ibrahim sebelum ini sebagai pengkhianat.

“Saya mahu bertanya di sini adakah PAS sudah termakan ‘
nasi kangkang’ DAP dan PKR sampai sudah sampai peringkat diperbodohkan oleh kedua-dua parti sekutu itu masih mahu mendiamkan diri ?

“Sampai bila pemimpin PAS mahu diperkotak katikkan oleh DAP dan PKR sampai tidak berani membuka mulut mempertahankan diri bila dibuli sedemikian rupa.

“Mana maruah PAS sebagai parti yang kononnya mendominasi Pakatan Rakyat selama ini? Apa pendirian Presiden PAS, Hadi Awang bila melihat anggota parti itu diberikan layanan buruk oleh PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang?
Soal Syed Ali.

Kata Syed Ali, sampai bila-bila PAS akan dilihat lemah dan tidak berwibawa apabila terus tunduk di telapak kaki DAP dan PKR yang mula mabuk kuasa.

Malah DAP dan PKR sudah hilang perasaan hormat kepada PAS lantaran tindak tanduk pemimpin PAS yang tidak berani melawan dan mengiyakan semua perbuatan DAP dan PKR walaupun ianya merugikan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Kata Syed Ali, sebelum PAS ditendang keluar kerana tidak sehaluan dengan DAP dan PKR dalam serba serbi ada baiknya parti itu bekerjasama dengan UMNO memperjuangkan kepentingan umat Islam dan orang-orang Melayu di negara ini.

Ujar Syed Ali, tindakan mengecilkan exco PAS di negeri Selangor dibuat semata-mata kerana mahu mengecilkan peranan PAS bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

“Saya melihat PAS hanya dijadikan paria untuk memenangkan DAP dan PKR dalam pilihan raya kecil dan umum. DAP dan PKR memang tahu kelemahan PAS yang tidak akan bekerjasama dengan UMNO selagi ikut nasihat bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz. Itu sebabnya PAS akan terus dibuli jika masih bersama-sama Pakatan Rakyat,
katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan