Halaman

Sabtu, 18 Oktober 2014

Biar Kuno Asal Jangan Guna Hukum Rimba Pertahan Hidup Mati Anwar -Syed Ali


KUALA LUMPUR,18 OKTOBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menegaskan beliau akan terus mempertahankan kestabilan dan keharmonian rakyat di negara ini walau dikutuk dan dikeji oleh mana-mana pihak sekalipun. 

Katanya, tindakannya menasihatkan Anwar berundur dari politik merupakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dalam memastikan semua rakyat di negara ini patuh kepada undang-undang dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan rakyat dan negara.   

Menurutnya, pihaknya tidak sesekali merasa gentar dengan sebarang tribulasi yang cuba dicetuskan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) temasuk menuduhnya kuno atau tidak memahami perlembagaan negara.

Beliau sebagai menjawab tuduhan Naib Ketua AMK Fahmi Fadzil dalam portal berita Malaysiakini yang menuduhnya mengamal budaya politik kuno. Tegasnya, AMK sebenarnya yang mengguna hukum rimba demi mempertahankan hidup dan mati Anwar Ibrahim. 

“Saya tidak pernah tengok dan ini mungkin ini pertama kali berlaku di Malaysia anak muda seperti AMK mengajak orang ramai berhimpun di jalan raya untuk mempertahankan hidup dan mati seorang individu, Anwar Ibrahim. 

“Bagi saya kes Anwar adalah kes jenayah biasa. Biarlah mahkamah buat keputusannya dengan adil. Maka tidak perlulah AMK mengheret orang ramai berkumpul dan berhimpun sehingga boleh mengancam keselamatan negara. 

“Saya memang tidak menafikan hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara rakyat di negara ini sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi perhimpunan yang dianjurkan untuk mempertahankan Anwar yang disabitkan dengan kes liwat II menjadi bahan ketawa orang luar,’’ katanya. 

Tambah Syed Ali, AMK dan PKR sendiri seharusnya menasihatkan Ketua Umum Keadilan berundur dari politik kerana sudah banyak kali melakukan kecederaan kepada kestabilan rakyat di negara ini. 

“Sejak Anwar dipecat sudah banyak kali menyalahgunakan kebebasan bersuara dan mengheret rakyat berhimpun di jalanraya demi kepentingan dirinya.

“Saya tidak tahulah akta undang-undang rimba manalah yang AMK dan PKR gunakan untuk mengajak rakyat berkempen ‘Rakyat Hakim Negara’ pada 28-29 Oktober ini. 

“Kalau sudah sampai peringkat AMK guna ayat ‘Rakyat Hakim Negara’ ini membuktikan AMK tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara sedia ada dan sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang rimba untuk berdemonstrasi secara haram pada hujung bulan ini kerana mahu menyelamat Anwar,’’ katanya.

Kata Syed Ali, kenapalah kolot sangat pemikiran AMK sehingga sampai peringkat tidak tahu membezakan antara himpunan yang dibenarkan atau himpunan boleh membawa padah kepada negara. 

Menurut Syed Ali, tindakan AMK dan PKR mengajak rakyat berhimpun di Mahkamah Persekutuan menjelang keputusan rayuan kes liwat II Anwar pada 28-29 Oktober ini seharusnya dihalang dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana boleh mengancam keselamatan awam kalau ianya gagal dikawal. 

Pada ketika yang sama, Syed Ali turut menukilkan rasa kebimbangan kemungkinan-kemungkinan lain kes liwat II ditangguhkan lagi disebabkan oleh masalah teknikal dan sebagainya sepertimana berlaku sebelum ini. 

Namun pihaknya yakin dengan kewibawaan mahkamah dalam mempastikan semua pesalah jenayah di negara ini mendapat keadilan dan menerima hukuman yang setimpalnya. 

Tegasnya, mahkamah perlu memuktamadkan kes liwat II pada hujung bulan Oktober ini bagi mengelakkan Anwar mengheret rakyat dalam himpunan–himpunan jalan raya boleh mengancam keselamatan negara.

“Selagi kes ini tidak selesai selagi itulah Anwar akan memperalatkan kesnya untuk menuduh kerajaan zalim, mahkamah kononnya tidak adil bagi menegak benang basah. UMNO Bahagian Cheras mahu kes liwat II ini dimuktamadkan pada hujung bulan Oktober ini juga,’’ katanya. 

Dalam perkembangan yang lain pula, UMNO Bahagian Cheras mengajak anggota UMNO seluruh negara agar mengutuk sekeras-kerasnya ura-ura PKR mahu membawa kes perbicaraan Anwar Ibrahim dan Akta Hasutan ke Parlimen Australia. 

Kata Syed Ali, tindakan segelintir pemimpin PKR membawa masalah politik dalaman negara ini kepada pengetahuan pemimpin negara luar adalah petualang negara dan wajar digantung kerakyatan. 

Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan negara malah tidak ubah seperti memburuk-burukkan dan mencemar nama baik negara. 

“Saya menyarankan kerajaan menggunakan apa sahaja insrumen bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab di negara ini berdiskusi perkara-perkara yang berkaitan isu politik dalaman negara kepada pihak luar,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan