Halaman
▼
Isnin, 15 September 2014
Syed Ali bimbang anak muda anti establishment
KUALA LUMPUR, 15 SEPTEMBER : Sebarang usaha parti pembangkang terutamanya DAP untuk menarik anak-anak muda menyertai parti itu kena diberikan perhatian ibu bapa merupakan ahli UMNO.
Sebagai ibu bapa, mereka kena memaklumkan dengan anak-anak muda ini tentang peranan dan tanggungjawab UMNO merupakan satu-satunya parti yang mampu mempertahankan kepentingan agama, bangsa, Perlembagaan Negara dan institusi beraja di negara ini.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap menggulung perbahasan Persidangan UMNO Bahagian Pekan baru-baru ini mengakui, menjadi kepantangan beliau apabila mengetahui terdapat anak orang UMNO yang terlibat dengan pembangkang menjadi calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Antara lain katanya, “Jangan sesekali ada anak orang UMNO yang tidak jadi UMNO ini saya pantang sangat bila mendengar ada orang macam Dyana Sofya. Mak UMNO, bapa UMNO, tetapi anak masuk DAP. ‘Berbulu saya’.”
Mengulas isu ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut melontarkan rasa bimbang anak-anak muda terjebak ke dalam dunia anti establishment, menentang semua polisi dan dasar kerajaan sehingga sanggup memutarbelitkan segala fakta kebenaran berkaitan asal usul negara demi kerakusan untuk berkuasa.
Kata Syed Ali, golongan anti establishment ini sanggup membuat cerita fitnah tentang kewujudan negara ini kerana sudah digula-gulakan golongan politikus yang mahu mempergunakan mereka bagi mendapatkan pengaruh di kalangan anak-anak muda.
“Pada hari ini saya melihat seolah-olah wujud trend DAP umpamanya memerangkap wanita-wanita muda Melayu menyertai parti itu semata-mata mahu mendapatkan pengaruh di kalangan anak-anak muda.
“Ini jelas terbukti semasa PRK Parlimen Teluk Intan, DAP meletakkan wanita muda Melayu Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon di situ. Ini dilakukan semata-mata mahu menambat lebih ramai wanita muda Melayu menyertai parti itu.
“Selepas mempertaruhkan Dyana Sofya sebagai calon PRK Parlimen Teluk Intan, kini seorang lagi gadis Melayu, Syefura Othman menjadi taruhan DAP. Malah gadis ini turut memberitahu antara sebab menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang bersuara untuk wanita-wanita muda Melayu.
“Syefura Othman turut dipergunakan oleh DAP bercakap tindakan kerajaan mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948, walaupun perkara ini baru di peringkat perbincangan. Semasa menyerahkan borang ahli DAP, gadis ini turut berikrar akan menghapuskan status Melayu bumiputera.
“Bagi saya, kita tidak boleh menyalahkan wanita muda Melayu ini kerana mungkin ibu bapa mereka yang merupakan ahli UMNO tidak menerangkan secara jelas tentang misi dan matlamat perjuangan parti ini.
“Ibu bapa kena menerangkan kepada anak-anak hanya UMNO yang mampu memartabatkan nasib orang Melayu dan bumiputera menjadi bangsa yang dihormati dan disegani di negara ini,” katanya.
Apa yang menghairankan Syed Ali, golongan anak-anak dan wanita muda anti establishment merupakan golongan yang tidak pernah melalui zaman kepayahan dalam kehidupan dan mendapat pendidikan melalui biasiswa kerajaan.
Malangnya selepas masuk pusat pengajian tinggi maka mulalah mereka ‘menggigit tangan’ dan menganggap seolah-olah kerajaan tidak pernah membantu mereka.
“Saya sendiri merasa cukup kesal apabila Dyana Sofya yang ibu bapanya merupakan ahli UMNO sanggup menjadi calon DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan.
“Bukanlah kita mengungkit, tetapi kita merasa sangat kecewa apabila anak-anak muda yang mendapat pinjaman pendidikan dari kerajaan sanggup berpaling tadah dan membakar kelambu UMNO banyak berjasa kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Syed Ali menasihatkan ibu bapa agar tidak lokek dalam menyampaikan maklumat berkenaan kebaikan UMNO kepada anak-anak muda ini dalam memastikan kelangsungan keamanan negara ini dapat diteruskan sampai bila-bila.
Syed Ali menegaskan, pihaknya tidak mahu lebih ramai ‘Dyana Sofya’ dilahirkan oleh DAP bagi memancing sokongan anak-anak muda agar menyokong perjuangan parti itu.
Malah DAP sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan kuasa. Syed Ali tidak menolak kemungkinan lebih ramai anak-anak muda Melayu akan ditambat DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU -14) dengan memberikan mereka peluang sebagai calon bertanding.
Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku, Syed Ali menggesa orang UMNO agar sentiasa waspada taktik parti pembangkang yang cuba mempengaruhi anak-anak muda ini. Orang UMNO kena memastikan anak-anak mereka menjadi anggota parti sekaligus mendaftar sebagai pemilih.
“Kalau boleh kita tidak mahu kes ‘Dyana Sofya’ berlaku dalam PRU-14. Kita tidak mahu anak orang UMNO masuk DAP, PKR atau PAS akibat kelalaian ibu bapa mereka memberitahu bahawa parti inilah yang selama ini memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat.
“Apa yang paling penting UMNOlah yang cukup memahami dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan Negara sama ada yang tersirat dan tersurat. Cuba bayangkan kalau UMNO tidak lagi berkuasa antaranya di Pulau Pinang dan Selangor?
“Di negeri Selangor umpamanya, PKR dan DAP secara terang-terangan tidak memahami peruntukan perlembagaan dan derhaka arahan Sultan Selangor. Manakala di Pulau Pinang orang Melayu terus terpinggir dan diabaikan oleh pentadbiran DAP yang kita tahu mengamalkan politik perkauman yang tebal,” katanya.
Syed Ali berkata, masalah anak-anak muda terjebak dalam politik anti establishment ini boleh dicegah jika anggota UMNO dapat memberikan gambaran sebenar kepada anak-anak muda ini apa akan berlaku kepada masa depan agama, bangsa, institusi raja-raja dan negara kalau parti tidak lagi berkuasa di negara ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan