Halaman
▼
Rabu, 17 September 2014
Sampai masa PAS ditalqinkan -Syed Ali
KUALA LUMPUR, 17 SEPTEMBER : Matlamat perjuangan parti yang hanya berlandaskan kepada kuasa dan hanya mahu memenangi pilihan raya umum dengan memperdagangkan soal agama tidak akan kekal lama sepertimana dilalui oleh PAS.
Malah PAS tidak lagi dianggap berwibawa dalam memperjuangkan kepentingan Islam apabila parti itu sanggup bersekongkol dengan dua parti iaitu DAP dan PKR yang jelas tidak menghormati Perlembagaan Negara dan Institusi Beraja negara ini.
Menegaskan perkara ini, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengajak rakyat agar melupakan asal usul PAS dan menolak parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
“PAS bukan sebuah parti yang benar-benar tulen semangat perjuangan Islamnya apabila bersekongkol dengan parti DAP yang terang-terang menolak hukum hudud.
“Orang Melayu sebenarnya sudah muak dan bosan dengan telatah pemimpin PAS yang sanggup menjadi keldai kepada DAP dan PKR dari mempejuangkan kepentingan umat Islam.
“Pergeseran hebat yang berlaku dalam kepimpinan PAS dalam kemelut politik di Selangor, membuktikan matlamat perjuangan PAS yang cukup rapuh dan tidak layak menjadi kerajaan. Sudah sampai masa PAS ditalqinkan kerana sudah hilang wibawa dan tidak mampu membawa panji-panji Islam,” katanya.
Syed Ali tetap menyatakan PAS akan terus mengkhianati masa depan orang Melayu dan Islam apabila bersubahat dengan DAP yang secara terang-terang bersikap rasis dan sering mempertikaikan kepentingan Melayu, institusi istana dan perlembagaan.
Beliau turut memberikan contoh kemelut Menteri Besar (MB) Selangor yang menampakkan sikap pemimpin tertinggi PAS yang sanggup membelakangkan Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS yang sebelum ini mahukan Tan Sri Khalid dikekalkan sebagai MB.
“Ini sudah membuktikan Dewan Ulama PAS sudah hilang peranan dan fungsinya. Dewan Ulama tidak lebih hanya sebagai patung-patung bernyawa yang mengikut telunjuk Anwar dan DAP.
“PAS bukan lagi membangun bersama Islam sebaliknya berjuang untuk kuasa politik dan kepentingan peribadi semata-mata. Dalam kemelut MB Selangor, Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS sudah tiada taring untuk menyanggah kerakusan DAP dan Anwar.
“Malah Presiden PAS dilihat oleh sesetengah pihak tidak mempunyai pendirian yang kekal dan mengamalkan sikap flip flop dalam membuat keputusan siapa MB Selangor,” kata Syed Ali.
Syed Ali turut mengulas, tindakan anggota parti itu yang keluar dewan semasa Timbalan Presiden PAS, Mohamd Sabu menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-55 di Dewan Choon Moi semalam, jelas membuktikan wujud kumpulan sekular dan Anwarinas dalam PAS berjaya mendominasi hala tuju perjuangan parti itu.
“Akhirnya rakyat dapat melihat sendiri PAS sanggup menjadi sampah sarap dalam Pakatan Rakyat dan menampakkan prinsip perjuangan yang tidak jelas. Ini semua penipuan dan pengkhianatan ketara dilakukan oleh parti yang kononnya berorientasikan Islam pada ketika yang sama hanya mendatangkan mudarat kepada kepentingan Islam dan Melayu,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras juga menegaskan, tindakan keluar dewan yang dilakukan oleh perwakilan Pemuda PAS semasa Mohamad Sabu menyampaikan ucapan, menunjukkan kepimpinan parti itu semakin kucar kacir dan berpuak-puak.
Sememangnya wujud kumpulan silent majority dalam parti itu yang tergila-gilakan kuasa sehingga sanggup menggadai maruah diri demi kelangsungan politik jahat DAP dan Anwar.
Tegasnya, golongan ulama dalam PAS sudah tidak mempunyai suara sebaliknya dicengkam kumpulan sekular yang berkiblatkan kepada Anwar. Suara Dewan Ulama PAS sudah tidak bernilai lagi dan kini rakyat dapat melihat wajah sebenar parti itu yang hanya mempergunakan Islam untuk meraih sokongan rakyat.
“Hari ini rakyat dapat melihat sendiri bagaimana PAS sanggup menggadaikan prinsip, korbankan harga diri dan maruah semata-mata kerana politik murahan DAP dan PKR yang sanggup menggadaikan kepentingan agama dan bangsa semata-mata mahu meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Datuk tak perlu komen PAS, betulkan UMNO dulu,
BalasPadam