Halaman

Khamis, 25 September 2014

Syed Ali Bidas 'Cikgu Mala'



KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee membidas bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman yang mempertikaikan tindakan isteri calon Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Khairos Husin yang mengambil cuti sebagai guru bagi membantu kempen suaminya.

Kata Syed Ali, perbuatan Normala yang menuduh Kementerian Pendidikan bersikap double standard atau pilih bulu adalah keterlaluan. Dia sepatutnya tahu membezakan mana kempen yang dibolehkan atau sebaliknya.

Semalam, Normala atau ‘Cikgu Mala’ dalam satu portal berita mendakwa Khairos Husin guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan tidak mematuhi etika perkhidmatan perguruan apabila dilapor menyambung cuti seminggu untuk membantu kempen suaminya dari rumah ke rumah di Pengkalan Kubor.

Sehubungan itu, Normala yang juga Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat dan jangan mengamalkan sikap double standard kepada Khairos Husin.

Dia juga turut membandingkan situasi tersebut dengan apa yang berlaku kepada suaminya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tiga tahun lalu.

Pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menyiasat dakwaan suami Normala, Ma’arof Abd Talib yang menyalahgunakan sijil sakit selama 21 hari untuk membantu isterinya ‘berkempen’.

“Dia (Normala) tidak boleh menuduh Kementerian Pendidikan bersikap double standard kepada suaminya yang jelas menyalahgunakan cuti sakit selama 21 hari semata-mata membantu dia berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang. Ini jelas bertentangan dengan etika perguruan.

“Suami Normala bekerja dengan Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Malaysia yang dimenangi oleh BN maka dia kena taat setia kepada kerajaan. Dia kena ikut prosedur kerajaan. Perbuatan suami Normala secara jelas bertentangan dan melanggar etika profesionalisme perguruan yang sepatutnya membantu kerajaan dan bukannya membantu kempen pembangkang,’’ katanya.

Syed Ali turut membidas Normala yang sewenang-wenangnya menuduh kerajaan bersikap pilih bulu kerana kerajaan tidak pernah bersikap zalim dan menekan kakitangannya yang melaksanakan tanggungjawabnya jika mengikut peraturan atau etika bekerja.

Cuma pihaknya kesal kerana dewasa ini terdapat ramai kakitangan kerajaan atau penjawat awam tidak setia dan sanggup menikam kerajaan dari belakang semata-mata terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

Sebagai kakitangan awam termasuklah guru-guru mestilah melaksanakan segala dasar kerajaan dan dasar pendidikan negara selagi ianya tidak bertentangan dengan undang-undang. Penjawat awam kena menyokong kerajaan dan bukannya bersikap anti kerajaan.

“Bagi saya Cikgu Mala sudah ketandusan isu sehingga sanggup membesar-besarkan isteri calon BN Pengkalan Kubor yang mengambil cuti kerana menemankan suaminya pergi berkempen. Dia kena ingat kementerian pelajaran menyiasat suaminya pada waktu itu kerana menyalahgunakan 21 hari cuti sakit.Kesnya sudah tentu berbeza dengan Khairos Husin yang mengambil cuti kerana menemankan suaminya berjumpa orang ramai,’’ katanya.

Tegas Syed Ali, kerajaan sentiasa menghormati dan menghargai profession perguruan dan melayan warga pendidik dengan adil dan saksama. Tidak timbul isu Kementerian Pendidikan berpihak-pihak atau memilih bulu. Cuma tegasnya warga pendidik kena patuh dan jangan melakukan perbuatan yang jelas melanggar peraturan termasuk memberikan sokongan kepada pembangkang.

Beliau seterusnya menasihatkan NGO PENDIDIK lebih memberikan tumpuan dalam membantu kementerian meningkatkan tahap profesionalisme guru dan bukannya membuat kenyataan-kenyataan yang berbaur politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan