Halaman

Selasa, 23 September 2014

Azmin MB Selangor, PKR , Pakatan Rakyat Tetap Menanti Belah -Syed Ali

 

KUALA LUMPUR, 23, SEPTEMBER : Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baru tidak mampu menyelamatkan PKR dan Pakatan Rakyat sedang retak menanti belah sekarang ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Azmin Ali tidak lebih dari ‘budak suruhan’ Anwar yang tidak akan mampu menyelesaikan kemelut perpecahan PKR dan Pakatan Rakyat sudah sampai tahap kronik.

Semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyokong Azmin sebagai MB, membidas empat Exco PAS sebagai ‘pengkhianat’ kerana gagal menunjukkan kesetiaan bersama enam Exco yang dipecat oleh Khalid Ibrahim.

Exco Agama Selangor, Sallehin Mukhyi pula menyifatkan Lim Guan Eng mungkin tidak faham Undang-undang Tubuh Negeri.

Kata Syed Ali, pelantikan Azmin Ali sebagai MB Selangor bukan sahaja mencetuskan konflik perpecahan Pakatan Rakyat yang baru juga menimbulkan kemarahan penyokong Dr Wan Azizah juga puak ulama dalam PAS yang mahu pemimpin parti itu mengganti tempat Khalid.

“Saya yakin kata mengata antara pemimpin PKR, DAP dan PAS tidak akan reda dengan pelantikan Azmin. Mereka akan terus serang menyerang bagi menegak benang basah. Inilah contoh parti yang tamak kuasa dan tidak fikir soal kepentingan rakyat.

“Saya juga percaya puak-puak yang menyokong Wan Azizah dalam PKR tidak akan senang dengan Azmin akan melakukan sabotaj dalam parti itu.

“Saya mahu tanya di sini mana Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Badrul Hisham Shaharin akan letak muka bila Azmin dilantik MB?

 “Begitu juga puak ulama dalam PAS yang rata-rata mahukan anggota parti itu menjadi MB Selangor tidak akan duduk diam. Ini senario yang selalu berlaku dalam parti itu,” katanya.

Syed Ali tidak menolak kemungkinan Azmin Ali atas nasihat Anwar Ibrahim akan ‘mempermainkan’ PAS pula dalam pelantikan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ini dilakukan kerana PAS pernah menunjukkan bantahan secara terbuka Wan Azizah sebagai calon MB sebelum ini.

“Kalau PKR boleh membelakangkan PAS dalam membuat keputusan besar antaranya isu Langkah Kajang dan calon MB Selangor tidak mustahil parti itu akan melantik mana-mana wakil rakyat PAS yang senada dengan parti itu sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas ini,” katanya.

Semasa kemelut MB Selangor, PAS menerima tamparan hebat apabila dua wakil rakyat PAS Selangor membuat kejutan untuk bersama-sama 30 ADUN menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.

Ini menunjukkan dua wakil rakyat PAS itu tidak menghormati kewibawaan Hadi Awang dan keputusan Dewan Ulama parti itu.

Menurut Syed Ali, PKR dan DAP pada bila-bila masa akan menendang PAS keluar dari Pakatan Rakyat lantaran sering bertentangan pandangan dengan kedua-dua parti tersebut.

“PKR dan DAP seolah-olah melihat PAS sebagai sampah dan langsung tidak berguna kepada perjuangan Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi dalam krisis politik di Selangor baru-baru ini,” katanya.
 

Perjuangan PAS bukan lagi untuk kepentingan anggota akar umbi parti itu sebaliknya memperjuangkan agenda politik pemimpin tertentu.

Menurut Syed Ali, Pakatan Rakyat bukannya sebuah pertubuhan yang berdaftar tetapi sekadar persefahaman politik untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum.

“Dalam Pakatan Rakyat tidak mempunyai dasar yang jelas untuk membangun rakyat dan negara selain bercita-cita besar mahu menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Walau apapun, pelantikan Azmin sebagai MB tidak mampu memperkukuh PKR dan Pakatan Rakyat sebaliknya akan menimbulkan krisis politik berpanjangan dalam parti itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan