Halaman

Selasa, 2 September 2014

Lim Guan Eng Dicabar Letak Jawatan, Pulau Pinang Tidak Perlu PPS Samseng -Syed Ali


KUALA LUMPUR, 2 September : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dicabar meletakkan jawatan jikalau tidak berpuas hati dengan prestasi institusi negara ini termasuk institusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang selama ini berkorban untuk menjaga keselamatan awam dan negara tercinta ini.

Gesaan ini dibuat Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang memandang serius tindakan Lim Guan Eng yang terbukti tidak beradab dan terus menunjukkan sikap samseng mencabar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid supaya mengambil tindakan terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang.

Kata Syed Ali, pihaknya memuji langkah PDRM yang bertindak pantas serta cekap menahan dan memburu saki baki anggota PPS yang didapati terlibat dengan budaya ugutan dan samseng di negeri itu sejurus isu ini diperdebatkan umum.

Langkah ini perlu bagi mengelakkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan ‘undnag-undang sendiri’ tanpa menghormati peraturan dan undang-undang sedia ada.

Lim Guan Eng dalam satu kenyataan baru-baru ini memberi amaran kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khald Abu Bakar berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil sebarang tindakan kepada PPS.

Beliau juga turut memberi amaran sebarang tindakan menahan anggota PPS hanya ‘memalukan’ PDRM kerana seluruh dunia melihat polis menahan pihak yang kononnya menjaga keselamatan awam.

Menurut Syed Ali, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kena menunjukkan sikap yang baik dan tidak mengajak rakyat mempertikaikan mana-mana institusi yang mempunyai peranan menjaga keselamatan awam di negara ini. Tindakan mempertikaikan kuasa PDRM samalah tidak menghormati institusi tersebut.

“Apa hak Lim Guan Eng mencabar PDRM dan Ketua Polis Negara? Malah tindakan dia mencabar Ketua Polis Negara dan mahu PDRM dibubarkan jelas mempunyai maksud yang jahat. Ianya membuktikan seolah-olah Lim Guan Eng buta dengan peraturan dan undang-undang negara ini. Beliau juga tidak faham peranan dan fungsi PDRM yang sentiasa bekerja keras untuk menjaga keselamatan orang awam,’’ katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian Tenggara, Johor Bahru memberitahu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah melihat beberapa klausa Akta Pertubuhan 1966 mendapati PPS merupakan pertubuhan haram tidak berdaftar.

Kata Menteri Dalam Negeri, soal berkaitan keselamatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan mendapati ROS sendiri tidak berdaftar. Kata Dr Ahmad Zahid penubuhan PPS Pulau Pinang perlu mengambil kira undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Syed Ali, PPS tidak wajar mengganti tugas dan peranan polis memandangkan terdapat anggota PPS yang terbabit dengan gengsterisme, kongsi gelap, samseng jalanan, penagihan najis dadah, ugut, keganasan dan aktiviti jenayah lainnya.

PPS yang mempunyai 9,002 orang merupakan pertubuhan haram yang wajar dibubarkan bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku kepada orang awam. Cukuplah dengan peranan PDRM dan tidak wajar mana-mana pihak cuba mewujudkan anggota keselamatan tidak berdaftar di negara ini seperti PPS yang mencabar kewibawaan pihak polis.

Kata Syed Ali, tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menyediakan perkhidmatan guaman kepada anggota PPS dan anggota keluarga mereka yang terjejas kerana ditahan juga seolah-olah menggambarkan parti itu tidak menghormati undang-undang negara ini.

Seolah-olah wujud motif tertentu di sebalik penubuhan PPS yang perlu dicegah lebih awal sebelum berlaku sesuatu perkara yang boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara.

“Kerajaan DAP Pulau Pinang jangan bersikap angkuh dan cuba menggugat keselamatan awam dengan PPS jelas bertindih dengan tanggungjawab yang dimainkan oleh PDRM. Tindakan kerajaan DAP menyediakan khidmat guaman kepada anggota PPS seolah-olah cuba menunjukkan keangkuhan parti itu yang terkenal dengan sikap rasis yang mencapai tahap melampau,’’ katanya.

Tambah Syed Ali, ternyata DAP bukanlah sebuah parti yang berjaya menyatupadukan rakyat negara ini. Penubuhan PPS sejak tiga tahun yang lalu menggambarkan parti yang terkenal dengan sentimen perkauman itu tidak manpu menjadi sebuah kerajaan yang baik dan cuba mengajak rakyat melakukn perkara yang buruk jika tidak dibendung boleh menggugat kesejahteraan rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, Syed Ali mahu kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya terhadap Lin Guan Eng cuba mengugut Ketua Polis Negara termasuk mengheret beliau ke muka pengadilan. Katanya, Lim Guan Eng sudah menghina Polis DiRaja samalah menghina institusi DiRaja merupakan payung kepada rakyat.
Beliau mahu pihak berkuasa mengambil tindakan keras tanpa kompromi kepada Lim Guan Eng. Jika ini tidak dilakukan tidak mustahil selepas ini terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengulang kejadian sama cuba bersikap biadap dan tidak menghormati mana-mana institusi yang mempunyai tanggungjawab yang besar peranannya di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan