
(Rencana Datuk Azman Ujang dalam akhbar ‘THE SUN’)
UMNO, yang telah berkuasa terus menerus sejak negara mencapai Kemerdekaan, kini terbabit dalam polemik ekoran satu cadangan oleh Ketua Pergerakan Wanitanya supaya satu jawatan naib presiden parti diperuntukan khusus untuk wanita.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mencetuskan cadangan itu berkata, ini merupakan usaha beliau untuk membawa sayap wanita ke kancah arus perdana tanpa menggugat sistem parti sedia ada.
Reaksi terhadap candangan itu setakat ini, menurutnya, adalah menggalakkan walaupun terdapat pandangan yang berbeza yang sememangnya dijangkakan.
“Ini adalah langkah permulaan. Masih banyak masa lagi untuk memperhalusi perkara ini. Sebagai pemimpin Wanita UMNO yang realistik dan pragmatik, saya mahu membina satu lebuhraya politik untuk Wanita UMNO ke landasan arus perdana badan politik parti dan ini lebih merupakan tindakan bagi membetulkan keadaan,” katanya.
Katanya, sekiranya cadangan ini diterima oleh parti, pemimpin wanita akan bertanding bersama pihak lelaki sambil menambah sudah tiba masanya bagi Wanita UMNO bersama-sama terlibat dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.
“Saya sangat berharap langkah bersejarah ini akan menjadi kenyataan,” kata Shahrizat.
Reaksi daripada ketiga-tiga Naib Presiden UMNO menampakkan sokongan tetapi ini lebih merupakan pengiktirafan yang mereka beri terhadap sayap parti yang Shahrizat sendiri uar-uarkan sebagai tulang belakang parti.
Pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Disember lepas, beliau memeranjatkan para perwakilan kerana memberi amaran bahawa tanpa sokongan wanita, UMNO akan “tutup kedai.’’
Beliau berhujah bahawa kebanyakan daripada bahagian dan cawangan parti tidak akan mempunyai cukup keahlian tanpa penyertaan ahli-ahli wanita.
Dan beliau tidak lupa untuk menegur Majlis Tertinggi UMNO yang didominasi oleh pemimpin lelaki, sambil diberi tepukan gemuruh oleh perwakilan:
“Saya nak ingatkan Majlis Tertinggi. Kalau tidak kerana wanita, jangan harap kita dapat semua ini. Sokongan kepada parti akan bertaburan.’’
Hujah Shahrizat bahawa sudah tiba masanya pemimpin di kalangan Wanita UMNO bertanding bersama pihak lelaki dalam arena arus perdana dan terlibat dalam proses membuat keputusan di semua peringkat sebenarnya boleh disanggah.
Hakikatnya ialah , apakah yang menghalang mereka berbuat demikian selama ini sekiranya wanita menjadi tulang belakang parti?
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kempen pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, ahli-ahli Wanita UMNO bekerja lebih kuat daripada lelaki untuk meraih undi.
Setakat ini, jawatan naib presiden tidak pernah ditandingi oleh wanita walaupun terdapat pemimpin yang berkaliber termasuk yang digelar Iron Lady dan fenomena ini boleh dianggap sebagai satu “misteri tersirat”.
Di pentas Perhimpunan Agung UMNO di mana pemilihan parti diadakan, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada mereka yang mengundi merupakan perwakilan wanita.
Sedangkan rakan komponen parti Barisan Nasional (BN) yang kurang berpengaruh seperti MCA dan Gerakan, pemimpin wanita mereka dipilih sebagai naib presiden sama seperti parti yang jauh lebih muda usianya seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beberapa tahun lepas, pemimpin wanita Tan Sri Dr Ng Yen Yen memecah tradisi di MCA, yang seperti UMNO didominasi oleh pemimpin lelaki, dengan memenangi jawatan naib presiden. Dan trend ini diwarisi oleh Datin Paduka Chew Mei Fun pada pemilihan parti yang lepas.
Dan semua ini berlaku kerana mereka berani bertanding melawan pemimpin lelaki dan menang.
Shahrizat juga sedang meraih sokongan terhadap cadangannya itu di kalangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tetapi difahamkan sambutan daripada mereka adalah dingin.
Walaupun seperti mana diduga ia mendapat respon yang mengalakkan dari kalangan
pemimpin akar umbi Wanita UMNO , tedapat juga sesetengah yang menentangnya.
“Saya melihat ini sebagai meminta satu kuota khas. Apakah Wanita UMNO tak ada kerja lain asyik meminta kuota itu dan ini,” kata seorang Ketua Wanita UMNO Bahagian.
Katanya, beliau telah bercakap mengenai perkara itu dengan beberapa pemimpin wanita di peringkat bahagian yang kecewa dengan situasi sekarang di mana buat pertama kali dalam sejarah, Wanita UMNO tidak mempunyai wakil dalam kabinet, badan pembuat dasar yang tertinggi dalam negara.
Beliau bertanya kepada Shahrizat kenapakah setelah beliau meletakkan jawatannya dalam kabinet pada 2012 ekoran suaminya didakwa terbabit dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC), beliau tidak memperjuangkan jawatan itu diisi oleh pemimpin Wanita UMNO yang lain?
“Bagi kami, ini lebih penting daripada meminta jawatan naib presiden untuk wanita,” tambahnya.
Sharizat apabila diaju soalan ini, enggan mengulas.
Mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Rafidah Aziz apabila ditanya mengenai komen beliau tentang perkara itu, memberi reaksi yang pedas.
“Mengarut! …Jika ada sesiapa yang ya… ya… sangat mahukan jawatan itu, bertandinglah dan dapatkan mandat daripada perwakilan. Jawatan naib presiden adalah untuk semua, bukannya untuk wanita sahaja,’’ katanya.
Rafidah berkata maklum balas yang beliau terima menunjukkan cadangan itu tidak mendapat sambutan baik dan mungkin juga akan “ backfire” , sambil menambah UMNO harus mengambil langkah penyatuan dan bukan berpecah.
Beliau juga berkata tanpa penyertaan dalam kabinet seperti sekarang merupakan satu kerugian besar kepada wanita dan ini disebabkan oleh sikap “mementingkan diri”.
Dan apa yang menjadikan perkara ini lebih “mengaibkan” ialah kedua-dua menteri kabinet wanita yang sedia ada adalah dari Sarawak, satu-satu negeri di mana UMNO tidak wujud.
Satu komen yang menarik mengenai isu itu disuarakan oleh salah seorang naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Setakat ini jawatan naib presiden tidak pernah disandang oleh wanita tetapi sebenarnya mereka boleh menawarkan diri untuk merebut jawatan itu,”katanya.
Seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu Wanita UMNO mendapatkan pandangan dari akar umbi supaya ia tidak hanya menjadi polemik kerana ia memerlukan pindaan kepada perlembangaan parti.
UMNO sebenarnya memerlukan satu lonjakan paradigma yang besar supaya parti itu bersikap lebih terbuka terhadap tindakan para pemimpin wanita untuk naik tangga dalam merebut jawatan penting parti kerana parti tua itu kini dilihat secara lebih keitikal oleh generasi muda atau Generasi Y, lebih-lebih lagi kerana wanita jauh melebihi lelaki dalam institusi-institusi pengajian tinggi negara.
Pada pemilihan UMNO yang lepas, sebahagian besar calon wanita yang bertanding untuk jawatan-jawatan dalam majlis tertinggi tewas.
UMNO sebenarnya tidak perlu satu peruntukan khas untuk wanita memegang jawatan naib presiden semata-mata untuk mencapai matlamat Shahrizat supaya mereka berada di kancah arus perdana bersama-sama pihak lelaki .
Mereka boleh berbuat demikian tanpa kuota khas. Oleh itu, ayuh...bertandinglah dengan keazaman dan semangat yang tabah dan cekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan