Halaman

Isnin, 4 Ogos 2014

Untuk khianat kepada Khalid; sanggupkah Haji Hadi lakukan ‘u-turn’ disaat akhir ?


Analisis SYED ALI ALHABSHEE

RAKYAT Selangor khususnya, sedang menunggu bilakah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang akan membuat ‘u-turn’ menarik balik sokongan beliau kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor  oleh PKR.

Ini kerana Haji Hadi termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dilaporkan berkata tekanan yang dilakukan oleh pemimpin PKR terhadap Khalid supaya meletak jawatan sebagai tidak wajar.

Malah Haji Hadi terdahulu daripada itu dikhabarkan menentang keras penggunaan kuasa diktator Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid.

Presiden PAS itu dikatakan telah menyuarakan sokongan  terbuka kepada Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Kelang sebagai Menteri Besar kerana kepimpinannya dilihat bersih dan disenangi rakyat Selangor.

Berikutan kemelut itu, ada di kalangan pemimpin PAS menyuarakan kemarahan mereka kepada PKR menerusi laman-laman sosial disamping berpendapat sudah sampai masanya  PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dengan mengambilkira kedudukan jumlah ADUN mereka di dalam DUN Selangor.

Sikap Haji Hadi itu ternyata mencetuskan kemarahan penyokong Anwar dalam PKR. Mereka menyifatkan PAS khianat kepada semangat setiakawan dalam PR yang dibentuk bersama DAP, parti rasis yang terlalu curiga kepada orang Melayu di negara ini.

Saya melihat pendirian awal Haji Hadi itu sebagai wajar kerana selaku pemimpin yang dilebelkan sebagai ‘tok guru’ sudah semestinya beliau (PAS) tidak sanggup bersekongkol dengan PKR khususnya Anwar dalam isu Khalid.

Ia seolah-olah menunjukkan Haji Hadi cuba menentang kemungkaran politik yang dilakukan oleh Anwar untuk mengukuhkan kedudukannya selaku Ketua Pembangkang dan menjayakan impian menawan Putrajaya.

Saya berharap Haji Hadi tidak sengaja mencuri populariti daripada krisis Menteri Besar Selangor dan jangan akhirnya berdolak-dalik hanya kerana kepentingan kuasa politik.

Kerenah dan sikap berpura-pura pemimpin PAS ini bukan perkara baru, malah sudah lama berlaku. Mereka hanya ingin menunjukkan kepada orang Melayu kononnya PAS masih bertaring dalam PR walaupun pada hakikatnya parti itu hanya menikus apabila berdepan dengan PKR dan DAP.

Oleh sebab itu, jika PAS masih mempunyai harga diri dan berprinsip, maka parti itu sepatutnya menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah ‘anak jantan’ dengan segera keluar daripada PR.

Dalam isu Khalid, jalan keluar untuk PAS sudah terbuka bagi mereka meninggalkan PR, itu pun jika pemimpin PAS mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

Pada hemat saya, PAS juga tidak perlu untuk terus terhegeh-hegeh mengemis belas ehsan daripada PKR memandangkan kedudukan wakil rakyat mereka di dalam DUN Selangor.

Malah PAS juga berhak dan mempunyai ruang untuk menagih jawatan Menteri Besar Selangor jika diambil kira jumlah bilangan kerusi DUN yang dimenangi oleh mereka.

Anwar menamakan Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang sebagai Menteri Besar bagi merealisasikan projek ‘Langkah Kajang’ setelah rancangan menguasai Putrajaya tidak kesampaian berikutan kekalahan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.

Saya melihat betapa rakus dan tamak halobanya Anwar untuk mengemis kuasa politik sehingga sanggup ‘menikam kawan daripada belakang’ hanya semata-mata mahukan isteri beliau menduduki kerusi Menteri Besar Selangor.

Anwar tergamak ‘menyembelih’ hayat politik Khalid semata-mata ingin memuaskan nafsu isterinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor, walhal jika diambil kira dari segi logiknya adalah kurang tepat kerana Wan Azizah bukannya anak jati Selangor.

Apa yang tersurat ialah walaupun Wan Azizah bakal dinobatkan sebagai Menteri Besar atas kehendak Anwar dengan pemimpin PAS bermasam muka, tetapi kuasa sebenarnya terletak ditangan Anwar.

Wan Azizah sekadar boneka dan patung bernyawa yang tidak boleh melakukan sesuatu atas kehendak hatinya kerana setiap pergerakan dan keputusan ditentukan oleh Anwar secara diktator.

Di sinilah saya berasa curiga apakah Haji Hadi sanggup melakukan ‘u-turn’ dengan membuat ikrar akan menyokong Wan Azizah selaku Menteri Besar setelah kenyataan bersama pemimpin PR dikeluarkan 2 Ogos lalu untuk mengukuhkan persefahaman dan kerjasama PAS,PKR dan DAP.

Jika Haji Hadi berpatah balik menyokong hasrat Anwar mahukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor, bermakna Presiden PAS itu telah berlaku khianat kepada Khalid sepertimana dilakukan oleh Anwar.

Apakah kerana takutkkan Anwar,  Haji Hadi sanggup melakukan khianat kepada Khalid ? sedangkan selama ini mereka (PAS) melaungkan slogan Islam dalam perjuangan mereka.


Seandainya Haji Hadi tunduk dan akur dengan kehendak Anwar menyingkirkan Khalid selaku Menteri Besar, bermakna Haji Hadi juga telah melakukan khianat kepada ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi yang mahukan parti itu keluar daripada PR.

Jika Haji Hadi melakukan ‘u-turn’ akhirnya, bermakna beliau dan Anwar sememangnya berpura-pura dan hanya memikirkan keuntungan peribadi masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan