Halaman

Khamis, 7 Ogos 2014

Guling MB Selangor : Ketegasan Haji Hadi, Nik Aziz tentang kemungkaran politik Anwar harus disokong - Syed Ali



KUALA LUMPUR, 7 OGOS : Ketegasan PAS mempertahankan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam krisis politik di Selangor mempunyai hikmah kearah perpaduan orang Melayu, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurut beliau, PAS telah menunjukkan kematangannya apabila para pemimpin termasuk Dewan Ulama parti itu menentang keras Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menggulingkan Khalid daripada kerusi Menteri Besar.

Dalam kes ini kata beliau, pujian harus diberikan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertegas bahawa sebarang cubaan untuk menjatuhkan Khalid sebagai satu bentuk kezaliman.

Tambah beliau lagi, kesedaran pemimpin PAS untuk tidak selamanya bersekongkol dengan kemungkaran politik dilakukan Anwar membuktikan Pakatan Rakyat (PR) kini berada di penghujung jalan. 

"Krisis tersebut telah membuka satu lembaran baru dalam senario politik khusunya di Selangor, secara peribadi saya menyokong penuh ketegasan pemimpin PAS khususnya Haji Hadi dan Nik Aziz menentang cubaan Anwar menjatuhkan Khalid sebagai Menteri Besar," tegasnya.

Beliau berpendapat, tidak ada alasan konkrik untuk PKR terutama Anwar melakukan tekanan ke atas Khalid supaya melepaskan jawatan Menteri Besar.

"Khalid bukan penjenayah, tidak melakukan kes moral sepertimana Anwar yang pernah disabitkan dengan kes meliwat, maka tidak ada sebab munasabah mengapa beliau perlu meletakkan jawatan," katanya.

Sepatutnya kata beliau, Anwar yang perlu berundur daripada arena politik termasuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana pernah diheretkan ke mahkamah.

"Olehs ebab itu, saya bersetuju dengan Nik Aziz yang kesal dengan pemimpin PKR melemparkan pelbagai tuduhan salah laku ke atas Khalid, kerana ternyata tuduhan tersebut tidak berasas," tambahnya.

Beberapa akhbar harian hari ini melaporkan kenyataan keras pemimpin kanan PAS yang secara terbuka menentang sebarang usaha dilakukan Anwar untuk menyingkirkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Nik Aziz dilaporkan turut membidas pemimpin PKR yang membuat pelbagai tuduhan salah laku terhadap Khalid.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, sebarang tuduhan sesama sendiri membawa kesan tidak baik. Tidak elok buka keaiban seseorang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasaruddin Hassan pula melebelkan tindakan Anwar sebagai satu bentuk kezaliman yang mengaibkan dan menjadi kewajipan PAS untuk membela Khalid.

Haji Hadi sebelum ini turut mempertahankan Khalid kekal sebagai Menteri Besar berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurut Syed Ali lagi, senario politik yang berlaku dalam pakatan pembangkang itu juga dilihat sebagai 'penunjuk jalan ' kepada PAS keluar daripada PR.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan menambah, PAS tidak pernah dihormati oleh PKR dan DAP selama parti itu berada dalam PR.

"Demi kepentingan orang Melayu, umat Islam dan rakyat Selangor khususnya, saya berharap PAS akan mengambil langkah lebih kerani keluar daripada pakatan tersebut," ujarnya.

Lagipun kata beliau, Anwar selama ini bertanggungjawab terhadap perpecahan rakyat dan mencetuskan sikap hilang hormat, penghinaan dan cercaan bukan Melayu terhadap institusi Melayu di negara ini.

Menurut Syed Ali, PAS perlu meletakkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam melebihi daripada agenda politik.

Justeru kata beliau, konflik politik di Selangor dalam isu penyingkiran Khalid sebagai Menteri Besar oleh Anwar merupakan perintis kearah penyatuan seluruh orang Melayu dan umat Islam.

"Apabila PAS dan UMNO boleh duduk semeja atas nama kepentingan Melayu dan umat Islam, pada hemat saya masa depan orang Melayu dan Islam di Malaysia akan bertambah kuat dan dihormati ," tegasnya.

1 ulasan:

  1. but bro.. KO kata Khalid patut letak jawatan
    http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2014/07/sultan-selangor-murka-khalid-samad.html

    BalasPadam