Halaman

Jumaat, 15 Ogos 2014

Daripada dijadikan ‘sampah’ lebih baik PAS keluar Pakatan Rakyat – Syed Ali



KUALA LUMPUR, 15 OGOS : PAS bila-bila masa boleh keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) kerana pakatan tersebut bukannya sebuah pertubuhan berdaftar, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurut beliau, penyertaan PAS dalam PR bersama DAP dan PKR sekadar persefahaman politik untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, PAS tidak mempunyai alasan kukuh untuk terus bersama PR setelah keputusan pucuk pimpinan dan Majlis Syura yang mahu Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor ditentang oleh PKR dan DAP.

“Tamparan lebih hebat apabila dua wakil rakyat PAS Selangor membuat kejutan bersama 30 ADUN menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah,” tegasnya.

Tindakan tersebut ujar beliau, jelas memalukan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini menolak sebarang cubaan PKR menggulingkan Khalid.

“Perkembangan terbaru di Selangor menunjukkan wakil rakyat PAS tidak menghormati kredibiliti Haji Hadi dan Nik Aziz,” tegasnya.

PKR dan DAP ujar beliau, seolah-olah melihat PAS sebagai sampah dan langsung tidak berguna kepada perjuangan PR khususnya dalam krisis politik di Selangor.

Sehubungan itu jelas beliau, jalan terbaik bagi PAS ialah keluar daripada PR dan membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu berpegang kepada prinsip.

“Daripada terus dijadikan sampah dalam PR, adalah lebih bermaruah bagi PAS memilih jalan untuk keluar daripada PR,” katanya lagi.

Tambah Syed Ali, Haji Hadi dan Dewan Ulama PAS sepatutnya berasa malu apabila PKR dan DAP termasuk dua wakil rakyatnya di Selangor memperlekehkan pendirian mereka.

Katanya, PAS sewajarnya belajar daripada pengalaman betapa liciknya Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup mengorbankan kepentingan rakyat kerana kuasa politik.

“Putarbelit dan sandiwara Anwar bukan sekali, banyak sudah beliau malukan PAS dalam beberapa isu politik yang akhirnya menjadikan parti yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai sampah dalam PR,” tegasnya.

Begitu juga DAP kata beliau, hanya memandang PAS seperti ‘melukut ditepi gantang’ dan sekadar dijadikan keldai politik bagi meraih undi Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata tindakan Wan Azizah ‘mengumpul’ 30 wakil rakyat bagi menyatakan pendirian menyokong beliau sebagai Menteri Besar dilihat bercanggah dengan keputusan Sultan Selangor yang dibuat sebelum itu.

Katanya, Sultan Selangor telah memperkenan Khalid sebagai Menteri Besar setelah Majlis Diraja Selangor mengadakan mesyuarat khas bersabit kemelut politik di negeri berkenaan baru-baru ini.

“Berdasarkan itu, apakah tindakan (Wan Azizah) tersebut tidak boleh disifatkan sebagai satu penderhakaan kepada istana Sultan Selangor,? soal beliau.

Beliau mengingatkan, seseorang Menteri Besar semestinya mempunyai hubungan rapat dan mendapat perkenan Sultan bagi melicinkan pentadbiran negeri.

“Apabila seseorang Menteri Besar dilihat tidak mendapat restu Sultan, lazimnya pentadbiran negeri menjadi tidak lancar,” ujarnya.

Mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa kemelut politik di Selangor didalangi oleh Anwar bersama DAP, beliau menjelaskan ‘kegilaan politik’ Anwar sudah berada ditahap menyusahkan rakyat.

“Apa lagi yang mereka ini (Anwar dan Wan Azizah) kejar sangat, apakah kerana kerusi Menteri Besar, mereka sanggup mengkhianati amanah rakyat,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan