Halaman

Khamis, 10 Julai 2014

Syed Ali bidas pembangkang provokasi isu kaum

PARTI-parti politik disarankan supaya tidak menjadikan isu kaum dan agama sebagai agenda meraih sokongan rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, perbuatan memperalatkan isu agama dan kaum boleh menjerumuskan negara ke dalam keadaan tidak terkawal.

“Mana-mana pihak boleh berpolitik untuk dapatkan kuasa, tetapi jangan sengaja peralatkan isu agama dan kaum,” tegasnya.

Katanya, ada sesetengah pihak sengaja mengeksploitasikan isu perkauman dan agama untuk mendapat sokongan.

Syed Ali turut menyelar tindakan pembangkang sengaja melakukan provokasi terhadap isu agama dan kaum.

Pembangkang ujar beliau, perlu memahami sensitiviti masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini.

Beliau mendakwa, pembangkang sengaja memprovokasikan isu agama dan kaum bagi membangkitkan perasaan curiga di kalangan rakyat.

“Mereka buat provoaksi, hasut rakyat supaya keadaan masyarakat jadi tidak tenteram,” ujarnya.

Beliau menegaskan, negara boleh menjadi kacau bilau dan rakyat bertelagah sesama sendiri kerana isu berkenaan.

Oleh sebab itu katanya, kerajaan berusaha mengekalkan semangat perpaduan dikalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan  etnik.

Menurut beliau lagi, perpaduan rakyat pelbagai kaum menjadi teras kejayaaan pembangunan negara.

Kerana itu katanya, kerajaan memandang serius terhadap gerakan memecahbelahkan perpaduan rakyat yang dilakukan pembangakng.

“Oleh sebab itu, saya minta polis bertegas terhadap mana-mana pihak yang mainkan sentimen perkauman,” katanya yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian Sumbangan Ramadhan anjuran YPC kepada 665 orang pelajar miskin dan OKU daripada sekolah-sekolah angkat YPC, di Cheras pagi tadi.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Syed Ali sekali lagi menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan isu 13 Mei 1969 yang diputarbelitkan pembangkang.

Beliau menjelaskan, pembangkang tidak meneliti sepenuhnya maksud sebenar daripada kenyataan tersebut.

“Muhyiddin hanya memperingatkan bahawa insiden 13 Mei tidak mustahil boleh berulang jika perpaduan dikalangan rakyat tidak kukuh,” katanya.

Pembangkang katanya, tidak faham dan berniat jahat sengaja putrabelitkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri kerana agenda politik.

“Mereka (pembangkang) ini bersifat perkauman, cuba cetuskan kekeliruan dan keresahan rakyat.

ROSMAH SERU JAGA KEAMANAN

Sementara itu, Rosmah dalam ucapan perasmiannya menyeru supaya keamanan negara dijadikan fokus utama oleh segenap lapisan masyarakat.

“Generasi muda bermula di peringkat pra-persekolahan perlu diasuh dengan nilai cintakan kemananan negara,” katanya.

Beliau mengingatkan tanpa kemananan, negara tidak akan stabil dan rakyat tidak mampu menikmati kesenangan seperti yang ada hari ini.

“Rakyat hidup aman damai, boleh nikmati pelbagai kemudahan serta kesenangan, ini berlaku kerana negara kita aman yang ditadbir oleh pemimpin bertanggungjawab,” tegasnya.

“Kerana negara kita aman, kita masih boleh bersedekah, membantu golongan tidak bernasib baik sepertimana kita lakukan setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadhan.

Oleh sebab itu katanya, semua pihak termasuk ahli-ahli politik perlu berperanan untuk menjaga keamanan negara.

Rosmah turut menyentuh mengenai nasib umat Islam di Tebing Gaza, Palestin yang sekarang ini menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

“Di sana (Palestin) negara mereka tidak aman, tragedi terbaru di bulan Ramadhan amat menyayat hati, kita perlu ambil iktibar.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana masih ada segelintir rakyat negara ini yang tidak tahu menyanyikan lagi ‘Negaraku’.


“Bunyinya mudah…lagu Negaraku, tetapi itu simboliknya kita sayangkan negara kita, tanahair kita,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan