Halaman

Isnin, 21 Julai 2014

PAS tolak hasrat Anwar mahukan Wan Azizah jadi MB Selangor – Syed Ali

PAS akan terbukti memperolok-olokkan pejuangan agama jika parti itu bersetuju dengan cadangan perlantikan ADUN Kajang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, PAS selama ini menentang keras pemilihan wanita sebagai pemimpin utama atau ketua kerajaan dengan alasan agama.

Sekarang ini kata beliau, PAS telah menyatakan persetujuan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilucutkan jawatan Menteri Besar selepas Aidil Fitri.

PAS dan DAP katanya, difahamkan bersetuju supaya Khalid dilucutkan jawatan Menteri Besar tetapi mereka masih belum menamakan siapakah yang layak mengisi kekosongan tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin pemimpin PAS akan menolak hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beria-ia mahukan isterinya, Wan Azizah dilantik sebagai Menteri Besar.

“Saya difahamkan Majlis Presiden PR akan bersidang tidak lama lagi dan percaya Anwar akan mengumumkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru,” katanya.

Tindakan Anwar itu katanya, akan mencetuskan kemarahan pemimpin PAS dan menjadikan PR berada dalam keadaan retak.

“Kita nak tengok sejauhmana pendirian PAS berhubung kedudukan Wan Azizah di Selangor, dulu mereka tentang keras wanita diangkat jadi pemimpin utama,” tegasnya,

Isu pertukaran Menteri Besar Selagor heboh diperkatakan sejak bermulanya persidangan peringkat bahagian PKR dan dijangka berlaku selepas Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Selain Wan Azizah, ‘budak suruhan’ Anwar, Azmin Ali juga disenaraikan sebagai calon Menteri Besar selepas PAS dan DAP yang masing-masing mempunyai 15 kerusi DUN menolak jawatan tersebut.

“Kemelut politik pembangkang akan terus meruncing jika Azmin dilantik sebagai Menteri Besar kerana timbul penentangan daripada penyokong Khalid,” ujarnya.

Khalid dalam reaksi spontannya baru-baru ini telah menegaskan bahawa beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Kata Syed Ali lagi, Anwar menjadikan Wan Azizah sebagai batu loncatan untuk menjayakan projek ‘Langkah Kajang’ selepas PKR memenangi pilihan Raya Kecil  (PRK) DUN  Kajang baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang difahamkan menentang keras projek ‘Langkah Kajang’ yang dilihat sebagai strategi menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata pergolakan yang berlaku dalam PR berhubug isu Menteri Besar Selangor membuktikan agenda sebenar pembangkang.

“Mereka (di Selangor) tidak ada agenda untuk membela nasib rakyat sejak PRU ke-13, masing-masing dalam PR ketagih nak jadi Menteri Besar,” tegasnya.

Anwar pula kata Syed Ali, mahu menjayakan impian politiknya untuk mengusai Selangor selepas hasratnya bertanding di PRK DUN Kajang terhalang dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa beliau bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tambah beliau lagi, dalam percaturan antara Anwar dan sekutunya berhubung isu Menteri Besar menjadikan rakyat Selangor berada dalam kedaaan tersepit dan ‘mangsa kerakusan politik’ PR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan