KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar tindakan sesetengah pihak yang sengaja memutarbelitkan ucapan Perdana Menteri berkaitan isu kumpulan pengganas di Iraq.
Menurut beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut supaya mencontohi perjuangan Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan jajahannya (Isil) yang berjaya mengalahkan tentera Iraq.
"Pembangkang sebenarnya tidak memahami intipati ucapan Najib dan sengaja diputarbelitkan bagi menjatuhkan reputasi Perdana Menteri," tegasnya.
Dalam hal ini, beliau mendakwa pihak pembangkang terlalu cetek akal dan tidak mampu berfikiran secara positif.
Beliau berkata, dalam ucapan perasmian sambutan ulangtahun ke-20 UMNO Bahagian Cheras Isnin lalu, Najib memberikan contoh yang membawa maksud betapa 'strategi yang betul' akan menjanjikan kemenangan.
Maksud ucapan Najib tambah beliau, ialah untuk mencapai kejayaan maka UMNO perlu mempunyai strategi yang berkesan untuk mengalahkan musuh terutama parti pembangkang.
"Tidak bermakna Perdana Menteri mahukan supaya ahli-ahli UMNO bergerak secara militan, beliau sekadar mengambil contoh apa yang berlaku di Iraq," jelasnya.
Tambahnya, Najib yang juga Presiden UMNO mahu ahli-ahli parti merangka dan mempunyai strategi yang berkesan untuk meraih kemenagan besar terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Lagipun jelas beliau, pembangkang termasuk beberapa penganalisis politik yang menyerang Najib tidak hadir pada majlis berkenaan.
"Bagaimana mereka boleh mereka-rekakan cerita yang tidak betul," katanya sambil mendakwa kecaman terhadap Najib sebagai tohmohan jahat.
"Ini bermakna mereka hanya mengutip cerita daripada sumber tidak bertanggungjawab dan prejudis yang kemudiannya diputarbelitkan untuk mencalarkan imej Perdana Menteri sebagai pemimpin Islam yang sederhana.
Beliau mendakwa pihak berkenaan sebagai berniat jahat dan tidak memahami intipati sepenuhnya gesaan Najib terhadap ahli-ahli UMNO.
"Najib yang juga Presiden UMNO mahukan ahli-ahli parti supaya mencontohi bagaimana strategi merupakan elemen terpenting untuk beroleh sesuatu kemenangan atau kejayaan," tegasnya.
Dalam ucapan pada majlis tersebut, Najib mahu ahli-ahli UMNO melihat kepada kejayaan Kumpulan Isil yang hanya mempunyai 1,300 orang tetapi berjaya mengalahkan 30,000 tentera Iraq.
"Najib tidak suruh kita (UMNO) ikut cara mereka, tetapi bermaksud supaya kita melihat kepada strategi yang betul mampu mengalahklan bilangan musuh yang besar.
Syed Ali berkata, strategi yang berkesan dapat dijadikan contoh bagaimana tentera Islam yang kecil bilangannya berjaya mengalahkan tentera Quraish semasa Perang Badar.
"Jelas dakwaan pembangkang itu tidak berasas dan hanya memutarbelitkan fakta untuk kepentingan politk mereka," ujarnya.
Selaku Perdana Menteri katanya, Najib tetap berpendirian bahawa Malaysia menolak sebarang gerakan militan dan tindakan sejawarnya dikenakan terhadap mereka yang terbabit.
"Malaysia ada undang-undang dan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana anasir militan atau kumpulan pengganas termasuk pelampau agama," tegasnya.
Beliau berkata, imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam menjadi agenda utama pentadbiran Najib.
Menerusi portal berita The Malaysian Insider hari ini, beberapa pemimpin pembangkang dan penganalisis politik memutarbelitkan kenyataan Najib berhubung ucapannya pada majlis berkenaan.
Mereka menuduh Najib menggesa ahli-ahli UMNO supaya mencontohi gerakan Isil di Iraq sedangkan Perdana Menteri hanya mahukan ahli parti itu melihat daripada sudut strategi bagaimana kumpulan berkenaan berupaya mengalahkan tentera Iraq.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan