Halaman

Khamis, 6 Mac 2014

Jawatan MB Selangor : Anwar kempunan lagi - Syed Ali


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kempunan lagi untuk menduduki kerusi Menteri Besar Selangor apabila Tan Seri Khalid Ibrahim berterus-terang mendakwa beliau akan memegang tersebut selepas Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.


Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, pengakuan Khalid itu sekaligus memberi tamparan hebat kepada Anwar yang sebelum ini beria-ia untuk menduduki kerusi Menteri Besar selepas impian dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada PRU ke-13 lalu tidak kesampaian.

"Nampaknya Anwar kempunan lagi apabila Khalid secara terbuka mendakwa dirinya akan terus kekal sebagai Menteri Besar selepas PRK DUN Kajang," tegasnya.

Beliau berkata, umum mengetahui Anwar sememangnya menagih kerusi Menteri Besar Selangar apabila secara drastik menamakan dirinya sebagai calon pakatan pembangkang pada PRK DUN Kajang, 23 Mac ini.

Oleh sebab itu jelas beliau, Anwar sanggup mengetepikan suara rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung soal calon yang akan bertanding di DUN Kajang sehingga mencetuskan rasa kurang senang daripada PAS dan DAP.

Katanya lagi, Anwar menawarkan diri bertanding di DUN Kajang bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar dan sekaligus menamatkan sengketa antara Khalid dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Pengakuan tebaru Khalid itu tambah Syed Ali, menunjukkan PKR Selangor tidak memperdulikan kedudukan Anwar sebaliknya tetap dengan pendirian mereka mahukan Khalid kekal sebagai Menteri Besar.

"Pengakuan Khalid itu juga turut memberi pukulan hebat kepada penyokong Azmin di Selangor yang sebelum ini cuba menyingkirkan Khalid," ujarnya.

Tambah Syed Ali lagi, Anwar tiadk layak untuk memegang jawatan Menteri Besar kerana beliau terpalit dengan pelbagai isu moral seperti kes meliwat yang masih di bicarakan di mahkamah.

"Bagaimana seorang yang didakwa meliwat boleh diangkat sebagai Menteri Besar, pada hemat saya ini tidak akan berlaku di Selangor," tegasnya.

Dalam slot soal jawab anjuran TV3 malam tadi yang dipengerusikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar, Khalid berkata beliau akan terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor selepas PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini 'jika diterima' oleh semua pihak.

"Insyaallah kalau saya diterima semua, saya akan terus menjadi Menteri Besar" kata Khalid yang dilihat banyak pihak sebagai mematikan spekulasi mengatakan tindakan Anwar bertanding di PRK Kajang adalah untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar bagi meredakan hubungan kerajaan negeri dengan PKR Selangor.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata Anwar terpaksa melalui jalan sukar untuk menduduki kerusi Menteri Besar Selangor kerana ianya memerlukan sokongan majoriti wakil rakyat peringkat DUN disamping terlebih dahulu mendapat perkenan istana Sultan Selangor.

"Oleh sebab itu, saya tidak menolak kemungkinan keyakinan Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar walaupun Anwar bertanding di DUN Kajang berdasarkan faktor tersebut," ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan  'kemarahan' Anwar terhadap Khalid berhubung isu perjanjian persefahaman (Mou) bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di Selangor dengan suntikan dana RM2 bilion oleh Putrajaya bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.

Sebelum ini Anwar mendakwa bahawa beliau tidak dimaklumkan berhubung Mou tersebut manakala Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendesak Mou itu didedahkan.

"Khalid selaku Menteri Besar mempunyai hak untuk berbuat demikian walaupun tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Anwar, lagi pun isu air adalah melibatkan kepentingan rakyat," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan