Halaman

Jumaat, 28 Mac 2014

Dakwaan pembangkang kerajaan sembunyikan ‘banyak rahsia’ tragedi MH370 tidak berasas – Syed Ali


KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menolak dakwaan pihak pembangkang kononnya kerajaan menyembunyikan ‘ banyak rahsia’ berhubung tragedi  kehilangan pesawat MAS MH370.

Menurut beliau, pihak pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas berhubung insiden malang tersebut yang kemudiannya turut dimanipulasi oleh media asing.

Malah katanya, pihak pembangkang turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak serius menangani isu tersebut.

“Tuduhan tersebut tidak berasas, mereka kata kononnya kerajaan Malaysia menyembunyikan banyak rahsia disebalik kejadian kehilangan pesawat MH370, tetapi pembangkang lupa usaha tersebut mendapat kerjasama masyarakat antarabangsa,” tegasnya.

Katanya, negara-negara yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) merupakan negara yang mempunyai aset dan kepakaran yang canggih dan diperakui dunia.

“Apa yang hendak disembunyikan, ini membabitkan nyawa manusia, kerajaan telah melakukan yang terbaik,  tuduhan pihak pembangkang keterlaluan dan tidak masuk akal,” tegasnya.

Oleh sebab itu jelas beliau, dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyembunyikan rahsia disebalik tragedi tersebut merupakan persepsi liar untuk kepentingan politik pembangkang.

Dalam hal ini kata Syed Ali, kesediaan kerajaan untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung perkara itu pada Isnin depan membuktikan tidak ada rahsia yang hendak disorok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengatur pertemuan antara pihak pembangkang dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Isnin depan.

“Ini bukti bahawa kerajaan telus, tidak ada rahsia yang hendak disembunyikan daripada pengetahuan rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap pertemuan tersebut akan melenyapkan tanggapan negatif pihak pembangkang berhubung kejadian sebenar kehilangan pesawat MH37.

Agensi berita BERNAMA melaporkan bahawa Shahidan memberitahu satu pertemuan akan diadakan pada malam Selasa (Isnin) depan antara anggota Parlimen Pembangkang dengan Pemangku Menteri Pengangkutan.

“Setakat ini semua (anggota pembangkang) setuju untuk hadir kecuali Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang daripada DAP,” kata Shahidan ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan menjelaskan pada sesi pertemuan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan dan wakil daripada pihak terlibat akan menerangkan secara terperinci mengenai tregedi MH370.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah meninggalkan lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis data satelit oleh pengendali satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di UK.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali turut menyelar media asing yang cuba mengaitkan kehilangan pesawat tersebut dengan  kumpulan pelampau dan pengganas Islam di rantau ini.


Beliau kesal kerana media barat terutamanya laporan agensi berita CNN cuba memanipulasikan kehilangan pesawat tersebut dan mempersendakan usaha serius kerajaan Malaysia melancarkan operasi SAR.

“Tuduhan dengan mengaitkan dengan elemen keganasan pelampau Islam adalah tidak masuk akal, ianya satu penghinaan terhadap kredibiliti dan keupayaan negara kita,” tegasnya.

Beliau juga mahu pihak tertentu tidak menggunaklan laman-laman sosial untuk memburukkan lagi keadaan dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan kecaman tidak berasas terhadap kerajaan.

“Mereka boleh luahkan perasaan dan berikan pandangan, tetapi bukannya dengan kata-kata kesat dan tuduhan melulu seolah-olah kerajaan yang bersalah dalam kejadian tersebut,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan