Halaman

Rabu, 12 Februari 2014

Isu UEC : Tuntutan Dong Zong berasaskan semangat kiasu, rasis – Syed Ali


TUNTUTAN Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong) supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jelas berasaskan kepada semangat kiasu dan rasis semata-mata, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

“Tuntutan Dong Zong dalam isu UEC dilihat melangkau sempadan pendidikan, ia merupakan agenda penghakisan jati diri, perpaduan antara kaum dan semangat nasionalisma di kalangan rakyat negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata, perkara yang dituntut oleh Dong Zong bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bertentangan dengan Perlembagaan  Persekutuan terutamanya dalam Perkara 152 dan 153.

“Dong Zong dilihat sebagai Ngo pelampau, menolak usaha kerajaan menyatukan rakyat menerusi sistem persekolahan satu bahasa,” tegasnya.

Sebaliknya tambah beliau, tuntutan pertubuhan tersebut banyak berkisar kepada pengasingan antara kaum di sekolah, memperkasakan bahasa ibunda mereka dengan cuba mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Dong Zong sudah melampau batas apabila menuntut kerajaan memberikan pengecualian kepada pelajar-pelajar lulusan UEC sekolah persendirian China supaya tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Tuntutan tersebut kata beliau, amat tidak masuk akal kerana pra-syarat di negara ini bahawa setiap pelajar diwajibkan lulus dalam mata pelajaran bahasa Malaysia bagi melayakkan mereka mendapat kelulusan SPM.

“Jika kerajaan memenuhi tuntutan tersebut, akan menggalakan lebih ramai lagi masyarakat China menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan China atau vernakular,” katanya.

Malah tegas beliau, jika kerajaan memenuhi desakan Dong Zong bermakna kerajaan sendiri yang akan dipersalahkan kerana mencabuli prinsip dan dasar pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, kewujudan sekolah vernakular dan pengiktirafan UEC akan melebarkan lagi jurang antara kaum dan menyemarakkan sikap perkauman.

Malah tambah Syed Ali, tuntutan Dong Zong hanya akan menyuburkan lagi budaya perkauman di kalangan bukan Melayu dan turut menjejaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) kesal kerana Dong Zong mengemukakan pelbagai tuntutan termasuk isu UEC apabila setiap kali berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Baru-baru ini, Dong Zong sekali lagi membangkitkan isu tuntutan UEC ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan dengan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN Kajang, pertengahan Mac ini.

Pada PRU ke-13 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan ruang kepada Dong Zong mengadakan pertemuan dengan beliau berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Menurut Syed Ali lagi, Dong Zong tidak menggambarkan sebagai sebuah NGO yang mahu membina tamadun masyarakat Malaysia sebaliknya cuba merosakkan perpaduan di kalangan rakyat.

“Aspirasi Dong Zong tidak mencerminkan sikap bertanggungjawabnya untuk membantu kerajaan memupuk masyarakat berbilang bangsa yang  harmoni menerusi sistem pendidikan,” tegasnya.

Serentak itu juga, beliau mahu kerajaan mengakaji semula peruntukan bantuan yang disalurkan kepada sekolah jenis kebangasaan.

“Kerajaan disarankan suaya tidak terlalu ingin mengambil hati kerana agenda mereka jelas untuk menyuburkan dasar pendidikan rasis untuk kepentingan satu kaum sahaja,” ujarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan