Halaman

Rabu, 29 Januari 2014

Syed Ali cadang SPR adakan undang-undang halang pilihan raya kecil


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan satu undang-undang bagi menghalang berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan perletakan jawatan wakil rakyat tanpa sebab dan alasan yang munasabah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, badan bebas itu boleh mengemukan cadangann tersebut kepada kerajaan dan dibahaskan di peringkat Dewan Rakyat.

Beliau berkata, sudah sampai masanya undang-undang tersebut dikuatkuasakan bagi mengelak seseorang wakil rakyat melakukan tindakan di luar jangkaan disamping mendidik mereka menghormati prinsip demokrasi dan mandat yang diberikan pengundi.

Katanya, wakil rakyat terutama daripada parti-parti pembangkang dilihat tidak menghormati proses pilihan raya dan sengaja meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang tidak berasas.

Malah kata beliau, langkah tersebut juga bagi mengelak berlakunya pembaziran wang rakyat apabila SPR difahamkan terpaksa membelanjakan hampir RM2 juta semata-mata bagi mengadakan PRK di kawasan berkenaan.

"Jika dalam setahun berlaku empat atau lima PRK, cuba bayangkan berapa banyak wang telah dibazirkan sedangkan jumlah tersebut boleh digunakan untuk kepentingan rakyat," tegasnya.

Justeru katanya, sudah sampai masanya SPR meminda atau mewujudkan mekanisma undang-undang bagi menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen meletakkan jawatan sesuka hati mereka.

Menurut Syed Ali, menerusi undang-undang baru tersebut setiap wakil rakyat dihalang daripada mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen yang dimenangi menerusi proses Pilihan Raya Umum (PRU) kecuali atas sebab faktor kesihatan, kematian atau  perlucutan jawatan disebabkan pengistiharan mahkamah.

"Malah jika seseorang itu meletakkan jawatan sebelum dua tahun tamatnya tempoh Dewan Rakyat atau DUN, maka dicadangkan tidak perlu diadakan PRK sehingga tempoh PRU berikutnya diadakan," katanya.

Bagi mengisi kekosongan tersebut, beliau berkata parti yang memenangi kerusi DUN atau Parlimen diberikan kuasa untuk melantik wakil mereka bagi mewakili pengundi di kawasan berkenaan.

"Wakil tersebut diberikan kuasa memainkan peranan seperti wakil rakyat dalam usaha mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi yang diwakili oleh wakil rakyat yang telah meletakkan jawatan.

Selain hanya membuag masa, beliau berkata PRK tanpa sebab munasabah juga dilihat tidak berupaya mendidik seseorang wakil rakyat supaya mematuhi dan menghormati amalan pilihan raya di negara ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang menyifatkan perletakkan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh tanpa sebarang alasan sebagai sesuatu yang tidak wajar, membazirkan wang rakyat serta membuang masa dan tenaga.

Abdul Aziz dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata, tindakan tersebut menyebabkan SPR terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi melaksanakan PRK untuk DUN Kajang.

Mengulas lanjut, Syed Ali menyifatkan perbuatan ADUN Kajang tersebut sebagai 'tidak senonoh' , mencemarkan sistem pilihan raya dan mengecewakan pengundi yang diwakilinya sebelum ini.

"Lee sepatutnya menghormati proses pilihan raya kerana menyertai sesuatu pilihan raya bukan perkara main-main dan untuk berseronok," tegasnya.

Perkembangan itu bagaimanapun kata beliau, membuktikan bahawa kredibiliti parti pembangkang di negara ini masih berada bawah paras yang amat rendah.

Menyifatkan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, beliau berkata Lee secara tidak langsung telah membohongi pengundi di kawasan DUN berkenaan.

"Sepatutnya, selepas memenangi kerusi DUN Kajang, Lee berusaha keras memberikan perkhidmatan sehinga cukup lima tahun seperttimana termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Beliau seterusnyan menyelar tindakan Lee yang sanggup merendahkan maruahnya semata-mata ingin memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN Kajang.

"Saya tidak tahu apa yang telah dijanjikan oleh Anwar kepada Lee sehingga beliau sanggup mengosongkan kerusi DUN berkenaan," tegasnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan