
HANYA kerana kepentingan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR sanggup khianati mandat dan amanah rakyat di DUN Kajang, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Menurut beliau, tindakan Lee Chin Cheeh meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang jelas membelakangkan kepentingan pengundi di kawasan berkenaan.
"Dia letak jawatan kononnya ingin beri laluan kepada Anwar, ini satu penipuan kepada pengundi yang telah memberi kemenangan kepada PKR pada PRU ke-13 yang lalu," tegasnya.
Katanya, pengundi di DUN Kajang juga telah diperbodohkan oleh permainan politik PKR yang lebih mementingkan agenda Anwar.
"Mereka (pembangkang) juga tidak memperdulikan masalah pengundi yang diwakili, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan politik Anwar," ujarnya.
Justeru kata beliau, pengundi di DUN Kajang perlu menghukum pengkhianatan yang telah dilakukan oleh PKR di kawasan tersebut.
Bagaimanapun kata Syed Ali, bukan laluan mudah bagi Anwar untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan jika disahkan beliau bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan perletakan jawatan Lee.
"Kita nak tengok sejauhmana kemampuan Anwar mengekalkan kerusi DUN Kajang setelah pengundi di kawasan berkenaan diperbodohkan," tegasnya.
Tambah beliau, pengundi di DUN Kajang sudah dapat menilai sejauhmana keikhlasan parti pembangkang dalam usaha membela nasib mereka.
"PKR sanggup lakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu poltik Anwar," katanya.
Bagaimanapun kata Syed Ali, beliau kurang yakin bahawa Anwar akan bertanding di DUN Kajang menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Lee.
Anwar jelas beliau, sedar dirinya sukar diterima oleh pengundi di Selangor khususnya berikutan kemelut peribadi beliau yang tercalar dengan pelbagai isu moral.
Lee dilaporkan telah meletakkan jawatannya semalam dan disahkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.
Hannah memberitahu bahawa Lee telah datang ke pejabatnya di Bangunan Annexe DUN Selangor dan menyerahkan surat perlepasan keahliannya.
Selaras dengan Undang-Undang Tubuh Perkara 68 bahawa seseorang ADUN boleh melepaskan keahliannya melalui surat dibawah tandatangannya yang ditujukan kepada Speaker.
Hannah juga dipetik sebagai berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini. (Selasa)
Pada PRU ke-13, Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan majoriti 6,824 undi mengalahkan empat calon Bebas dan seorang calon BN, Lee Ban Seng.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata perletakan jawatan Lee juga dilihat sebagai konspirasi untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
"Ia sengaja dilakukan bagi memberi laluan kepada Anwar dilantik sebagai Menetri Besar menggantikan Khalid," ujarnya.
"Isu Azmin Ali dan PKNS merupakan sebahagian daripada konflik yang menyebabkan wujudnya kemarahan penyokong Khalid kepada Awar," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhububngan UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah jika Anwar bertanding di DUN Kajang.
"BN akan menentang sesiapa sahaja termasuk Anwar di DUN Kajang, senario PRU ke-13 sudah berubah dan kita menjangkakan satu kejutan akan berlaku di DUN berkenaan jika PRK diadakan," tegasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan