DATUK Seri Syed Ali Alhabshee berkata, PRU-14 merupakan 'ibu' segala pilihan raya di negara ini tetapi tetap optimis Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah besar untuk membentuk kerajaan.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu bagaimanapun mengakui tentangan bakal diterima UMNO dan BN amat perit dengan terjahan pelbagai isu dimanipulasikan pembangkang.
Beliau berkata, PRU-14 bakal berlaku dalam masa terdekat ini juga menarik perhatian dunia dengan banyak pihak mensasarkan perhatian kepada kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan.
Oleh sebab itu kata beliau, media berpengakalan di luar negara sejak kebelakangan ini seperti sengaja menyerang pentadbiran Perdana Menteri dengan menularkan isu-isu tidak relevan.
"Media barat seperti sengaja mencalarkan reputasi pentadbiran Najib dan saya percaya ada dalang disebalik gerakan tersebut," tegasnya.
Syed Ali mengulangi keyakinan beliau bahawa UMNO dan BN akan terus membentuk kerajaan dengan mendapat majoriti lebih 2/3 dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri.
Sekaligus beliau menolak ramalan pihak tertentu mendakwa UMNO bakal kecundang kerana tidak lagi menadapat sokongan orang Melayu terutama pengundi di luar bandar seperti Felda.
"Ada pihak melontarkan pandangan UMNO sedang meniti zaman kejatuhan, tetapi apakah orang Melayu akan mempercayai dakwaan tersebut ?, soal beliau.
"Tentunya tidak sama sekali, kerana saya juga boleh mendakwa selepas PRU -14 parti-parti serpihan dalam blok pembangkang akan berkubur.
Tanpa menamakan parti serpihan itu, tetapi dipercaya merujuk kepada kehadiran parti BERSATU, serpihan UMNO ditunjang mereka yang kecewa dan berdendam terhadap Najib termasuk parti AMANAH.
Menurut beliau lagi, parti-parti serpihan itu hanya 'hidup' semasa musim PRU dan selepas itu akan berkubur.
"Parti serpihan yang berkubur itu hanya akan dikenang dalam sejarah sebagai parti yang bertanggungjawab meruntuhkan perpaduan orang Melayu di negara ini," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berpendapat, parti pembangkang tidak memberi ancaman sepertimana pada awal penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Seperti PKR katanya, telah hilang pedoman dan sekadar menjadi pelengkap dalam gabungan Pakatan Harapan yang didominasi DAP.
"Memang lumrah, awalnya menarik perhatian banyak pihak, tetapi kesudahannya orang ramai bosan dengan cerita retorik berkisar kepada fitnah terhadap kepimpinan Najib," tegasnya.
Tambah Syed Ali lagi, cerita fitnah yang dikitar semula bukan faktor utama menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terutama orang Melayu terhadap UMNO.
Sebaliknya kata beliau, rakyat semakin benci dan menolak pemimpin pembangkang Melayu yang suka memfitnah dan melancarkan serangan politik bersifat peribadi.
"Budaya memfitnah, adu domba bukan cara hidup orang Melayu dan UMNO semestinya tidak terkesan dengan perbuatan sedemikian," katanya.
Orang Melayu katanya, tetap yakin dengan perjuuangan UMNO kerana awal penubuhannya berpaksikan kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Kerana berpegang kepada prinsip itu tegas beliau, sehingga kini UMNO tetap menajdi sandaran kepada orang Melayu.
"Inilah bezanya dengan pembangkang, perjuangan politik mereka kerana dendam, kecewa dan gilakan kuasa,"tegasnya.
Syed Ali juga turut mengingatkan mana-mana individu khususnya pemimpin UMNO yang tidak terpilih sebagai calon PRU supaya jangan mudah merajuk.
Secara berterus terang beliau berkata, isu merajuk dan 'cah keting' lazim kedengaran sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan secara arsmi oleh Najib selaku presiden parti.
"Sebagai pejuang UMNO, sama ada terpilih sebagai calon atau tidak, bukan jadi ukuran, yang penting bekerja keras membantu parti memenangi PRU-14 dengan peratusan undi semakin meningkat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan