Halaman

Rabu, 13 Mei 2015

“ Perkukuhkan UMNO, kekalkan keyakinan rakyat “ – Syed Ali


DATUK Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin dan akar umbi UMNO harus memikirkan bagaimana untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terutama orang Melayu terhadap perjuangan dan masa depan parti.

Ini katanya, kerana UMNO sejak kebelakangan ini terhimpit dengan pelbagai isu politik termasuk yang sengaja diprovokasikan oleh pihak pembangkang.

"Jika kita sayangkan UMNO, maka kita perlu mempertahankan parti walaupun dalam apa jua keadaan dan situasi," tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berpendapat, tindakan tersebut perlu segera dilakukan berikutan senario politik masa ini yang menyaksikan parti terheret dengan pelbagai isu kontroversi yang boleh menggugat keyakinan rakyat.

“Kita kena fikirkan bagaimana untuk kuatkan kedudukan UMNO, cari jalan bagi menyelamatkan parti,” tegasnya sambil menjelaskan sebarang permasalahan yang berlaku sewajarnya diselesaikan secara musyawarah.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak akan berlaku tunding-menunding jari sesama pemimpin UMNO di atas sebarang isu yang berlaku.

“Pemimpin perlu dengar rintihan rakyat, akar umbi UMNO perlu bingkas menjelaskan apa juga isu berbangkit tanpa selindung,” ujarnya.

Rakyat katanya, sedang memerhati sejauhmana kemampuan UMNO untuk meleraikan segala kekusutan yang berlaku.

“Saya bimbang, jika kekusutan itu dibiarkan berlarutan, orang Melayu akan terhakis sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN),” tambahnya.

Beliau mengingatkan, jika UMNO dan BN hilang kuasa sebagai parti yang membentuk kerajaan pemimpin parti juga akan hilang jawatan.

Syed Ali tetap berkeyakinan, UMNO yang selama ini menjadi parti dominan membentuk kerajaan bagaimanapun tetap menjadi pilihan majorirti orang Melayu di negara ini.

“Walaupun begitu, UMNO tidak semestinya sentiasa berada di zon selesa, kita terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman  sama ada bersifat dalaman mahupun luaran,” tegasnya.

Beliau berkata, ujian getir pasti akan dilalui oleh UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang kerana pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk menguasai Putrajaya.

“PRU ke-13 lalu telah menjelaskan segala-galanya, walaupun BN menang dan berjaya membentuk kerajaan secara sah tetapi tidak memberikan keputusuan yang selesa,” katanya.

Mengulas saranan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang agar Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tunduk kepada tekanan supaya meletak jawatan, Syed Ali menjelaskan pandangan tersebut boleh ‘dibaca’ daripada pelbagai tafsiran yang berbeza.

“Kita boleh terima pandangan Haji Hadi itu dengan bersangka baik dan kita juga boleh melihat daripada sudut lain,” katanya.

Berhubung dakwaan sesetengah pihak kononnya UMNO kini berpecah kepada dua kumpulan, beliau menjelaskan sangkaan itu sengaja dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Inilah persepsi negatif yang mula dicanangkan oleh pihak yang cuba menangguk di air keruh,” katanya.

UMNO tambah beliau, tidak ada kem-kem tertentu kerana semuanya berpegang kepada falsafah perjuangan parti.

Katanya, Presiden dan Timbalan Presiden termasuk Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipilih menerusi mandat ahli-ahli secara demokrasi.

“Pemimpin dipilih oleh ahli-ahli di peringkat bahagian UMNO, maka kepimpinan itu tetap kita pertahankan demi kepentingan parti,” tegasnya lagi.


2 ulasan:

  1. Senang je, suh najib letak jawatan, leps tu siasat

    BalasPadam
  2. Tolong jangan nak buat sesuka hatilah dengan negara ini..Datuk Najib lupa kot...Dia dengan ketua ketua bahagian kah yang kuat atau akar umbi yang paling kuat

    BalasPadam