Halaman

Khamis, 16 April 2015

Syed Ali sangkal dakwaan ada pakatan sulit Dr. Mahathir - Anwar jatuhkan Najib


DATUK Seri Syed Ali Alhabshee menyangkal desas-desus kononnya berlaku pakatan sulit mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Bahagian Cheras itu menyifatan penyebaran khabar angin tersebut sebagai kempen fitnah untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Katanya, desas-desus itu sengaja disebarkan pihak pembangkang menerusi laman-laman sosial termasuk portal berita.

“Dalam keadaan hubungan mereka agak kurang selesa, ada pihak ambil kesempatan sebarkan fitnah kononnya berlaku pakatan Dr. Mahathir dan Anwar,” tegasnya.

Penyebaran fitnah itu juga kata beliau, akan meruncingkan lagi hubungan antara Dr. Mahathir dengan Najib.

Katanya, andaian dan desas-desus itu tidak berasas sama sekali kerana Najib tidak berdepan dengan masalah besar untuk mentadbir negara dan parti.

“Kita tidak boleh tolak ada juga yang ambil peluang untuk pecahbelahkan perpaduan UMNO dari dalam,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun tegas Syed Ali, beliau yakin ahli-ahli UMNO tidak mudah terpedaya dengan penyebaran fitnah tersebut.

“Ahli-ahli UMNO yang berikan mandat kepada Najib, sudah tentu mereka akan mempertahankan kedudukan presiden parti selaku Perdana Menteri,” tegasnya.

Khabar angin itu ekoran Dr. Mahathir menziarahi bapa Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang meninggal dunia 4, April lalu.

Dr. Mahathir diringi Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berada di rumah Allahyarham Ibrahim di Kajang sebelum Anwar tiba dari Penjara Sungai Buloh.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO.

Syed Ali kesal kerana kunjungan Dr. Mahathir ke rumah bapa Anwar telah disalah ertikan oleh pihak tertentu.

“Saya sedih kerana (Dr. Mahathir) menziarahi orang yang meninggal dunia telah dipolitikkan, ini perbuatan tidak baik,” katanya.

Menurut beliau, kesannya bukan setakat menjejaskan nama baik Dr. Mahathir tetapi  juga turut dirasai oleh keluarga Allahyarham Ibrahim.

Beliau tidak menolak prasangka jahat itu sengaja disebarkan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan melaga-lagakan Dr. Mahathir dengan Najib.

Malah beliau tidak percaya Dr. Mahahthir akan mengadakan pakatan sulit dengan Anwar untuk menjatuhkan Najib.

“Ini semua andaian dan prasangka jahat pihak tertentu, saya tidak nampak mengapa perlu pakatan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, permusuhan politik bukan bermakna terputus hubungan silaturahim.

“Bagi saya, kunjungan Dr. Mahathir itu sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham yang sebelum ini pernah aktif dalam UMNO,” tegasnya.

Menurut Syed Ali lagi, tidak ada kewajaran bagi Dr.Mahathir untuk berpakat dengan Anwar yang beliau sendiri memecatnya daripada UMNO dan kerajaan.

“Ada yang kata politik itu serba mungkiin, tetapi dalam isu ini, agak mustahil bagi Dr. Mahathir,” katanya.


Anwar katanya, dipecat daripada UMNO berikutan kes penyalahgunaan kuasa dan pernah dipenjara di zaman pemerintahan Dr. Mahathir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan