DATUK Seri Syed
Ali Alhabshee mendakwa, PAS sanggup menggadaikan prinsipnya terhadap hukum hudud
kerana kepentingan politik di Permatang Pauh.
“Semuanya gara-gara untuk menang di Pilihan Raya Kecil (PRK)
Permatang Pauh, sanggup permainkan hukum hudud,” tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras
itu.
Beliau menyifatkan, tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang melakukan ‘u-turn’ secara mengejut
dengan kembali menyokong calon PKR di Permatang Pauh sebagai tidak bermoral.
Sebelum ini tegasnya, pemimpin PAS termasuk golongan ulama
mendakwa sesiapa yang menentang cadangan pelaksanaan hukum hudud harus ditolak walaupun sekutu politik mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).
Ia merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail
yang sebelum ini mengeluarkan arahan supaya wakil rakyat PKR Kelantan tidak
menyokong pindaan undang-undang syariah bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di
negeri berkenaan.
Wan Azizah adalah calon pembangkang di PRK Permatang Pauh bagi mengisi
kekosongan ditinggalkan oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini
meringkuk di dalam penjara Sungai Buloh kerana disabit bersalah meliwat.
Presiden PKR itu juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kajang, Selangor.
“Bila Wan Azizah diumumkan sebagai calon di PRK Permatang Pauh, Pemuda PAS buat kenyataan boikot kerana PKR tolak hudud di Kelantan,” ujarnya.
“Tetapi semalam ubah pendirian pula, buat kenyataan sokong Wan
Azizah, ini memalukan.
Beliau mempersoalkan bagaimana pendirian PAS boleh berubah-ubah
terhadap hukum Islam hanya disebabkan tekanan politik.
“Makna yang tersirat daripada keputusan ‘u-turn' itu membuktikan
PAS sanggup peralatkan agama untuk agenda politik apabila kedudukkannya sudah tersepit,” tegasnya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan
menegaskan, perbuatan ‘u-turn’ itu sebagai tidak bermaruah bagi sebuah parti politik yang kononnya mendakwa berjuang untuk menegakkan hukum Islam.
Tambah beliau lagi, PAS tergamak
gadai prinsipnya terhadap hukum hudud yang mereka sendiri cadangkan hanya
disebabkan ingin menjaga kepentingan politik dalam PR.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang itu tidak memberikan ancaman besar kepada UMNO dan BN di Permatang Pauh.
“Ada pemimpin PAS kata (u-turn) itu satu pukulan maut kepada
UMNO, ini satu teori tidak waras kerana rakyat sedang melihat sandiwara mereka
(PAS),” ujarnya.
“Bukan pukulan maut tetapi satu perbuatan keji, seperti orang meludah
ke langit, jatuh ke muka sendiri.
Lagipun tambah beliau, keputusan itu tidak memberi sebarang kesan kepada jentera pilihan raya UMNO.
Pengundi di Permatang Pauh ujar beliau, tidak begitu mudah digula-gulakan
dengan permainan politik murahan.
“Apabila mereka gadaikan maruah dan prisip hukum hudud, apakah itu satu
perbuatan mulia?, rasanya PAS lagi teruk kerana sanggup persendakan cadangan hukum
hudud,” tegasnya.
Beliau menyangkal dakwaan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man kononnya kerjasama semula Pemuda PAS dengan PKR di Permatang Pauh
merupakan pukulan maut kepada UMNO dan BN.
"Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang membuat
keputusan yang tepat membantu jentera Pakatan Rakyat (PR) untuk memastikan UMNO-BN
terus tewas di Permatang Pauh,” kata Tuan Ibrahim seperti yang disiarkan oleh
media tempatan semalam.
Dalam hal ini, Syed Ali menegaskan PAS
sebenarnya yang menerima pukulan maut kerana tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang
bercanggah dengan dasar kepimpinan PAS Pusat.
Sebaliknya kata beliau, tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang itu sebenarnya memberikan masalah besar kepada parti pembangkang di Permatang pauh.
“Untuk elak malu di Permatang Pauh, mereka
pusing cerita kononnya UMNO dan BN akan terkesan, itu semua helah untuk menutup
kepincangan PAS,” tegasnya.
Beliau juga berkeyakinan BN akan berjaya merampas
kerusi Parlimen Permatang Pauh yang selama ini disandang Anwar.
“Berdasarkan kepada senario politik di Permatang
Pauh, BN berpeluang besar untuk merampas kerusi berkenaan,” katanya.
Keyakinan itu ujar beliau, bersandarkan kepada
sikap pengundi di Permatang Pauh yangh sudah berubah setelah sekian lama diperalatkan
oleh wakil rakyat pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan