KUALA LUMPUR, 30 JANUARI : Presiden Pertubuhan Minda Dan
Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao jangan cuba bermain api dan menjadi hero
dalam mempertahankan tiga portal berita freemalaysiatoday, malaysiakini,
malaysiainsider dan media talibarut lainnya yang melaga-lagakan pemimpin UMNO.
Amaran tegas ini dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Cheras,
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merujuk kenyataan Ramesh Rao dalam
freemalaysiatoday (FMT) yang bertajuk ‘Syed Ali, Puad Zarkashi Diminta Berhenti
Mengampu UMNO’.
Kata Syed Ali sebagai pemimpin sudah berada dalam parti ini
sejak usianya belasan tahun lagi, beliau merasa cukup tersentuh apabila
terdapat sesetengah pihak yang cuba meruntuhkan UMNO dengan melaga-lagakan
pemimpin tertinggi dalam parti itu.
Tegasnya UMNO bukan sahaja sebagai sebuah parti malah
mempunyai tanggungjawab besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat semua
kaum di negara ini. UMNO juga sebuah parti yang mempunyai dasar perjuangan yang
jelas dalam memastikan negara kekal aman dan rakyat dapat hidup sejahtera
sehingga ke hari ini.
“Apabila saya menegur ketiga-tiga portal berita itu bukan
bermakna saya mengampu UMNO tetapi saya mempertahankan sebuah parti yang sudah
banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini. Apa yang UMNO lakukan selama ini
bukan sahaja menjaga kepentingan rakyat malah memastikan negara terus aman
sejahtera dan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni di negara ini.
“Saya beri amaran kepada Ramesh Rao kalau awak sendiri bukan
anggota UMNO jangan cuba bermain api dengan membuat kenyataan melulu. Saya
tidak pernah menuduh ketiga-tiga portal berita itu sebagai pro pembangkang ,
sebaliknya saya hanya menasihatkan portal berita itu lebih bertanggungjawab dan
adil dalam menyiarkan berita mereka.
“Ramesh turut mempersoalkan kenapa saya tidak membuat aduan
kepada Peguam Negara berkenaan ketiga-tiga portal berita ini. Saperti mana saya
jelaskan tadi saya hanya mempertahankan sebuah parti yang banyak berjasa kepada
rakyat dan negara. DI sini saya nak cabar Ramesh kalau tindakan saya menegur
ketiga –tiga portal berita ini salah dan tindakan saya mempertahankan UMNO
salah buatlah aduan kepada Peguam Negara,” ujarnya.
Pada masa yang sama Syed Ali turut menyelar Ramesh yang
membuat tuduhan kononnya kekalahan UMNO di tiga negeri dalam PIlihan Raya Umum
2008 disebabkan sikap pengampu pemimpin UMNO.
Tegas Syed Ali, sejak pilihan raya umum yang sudah-sudah,
UMNO tidak pernah kalah sebaliknya pengundi bukan Melayu tidak menyokong
Barisan Nasional (BN). Kekalahan BN di tiga negeri pada 2008 bukan disebabkan
oleh UMNO sebaliknya kerana ramai pengundi yang berfikiran seperti Ramesh yang
tidak tahu membezakan mana sikap mengampu dan mempertahankan parti yang banyak
berjasa kepada rakyat.
Menurut Syed Ali, pihaknya tidak pernah mengongkong kebebasan
mana-mana media termasuk portal berita di negara ini asalkan apa yang
dilaporkan tepat dan bersikap melaga-lagakan pemimpin. Beliau juga mahukan
portal berita bersikap adil dan saksama dalam menyiarkan laporannya.
Tetapi katanya, beliau berasa amat kesal bila ketiga-tiga
portal berita ini cuba menarik rating membaca dengan melaga-lagakan pemimpin
tertinggi UMNO. Malah portal berita ini juga sering menyiarkan
kenyataan-kenyataan bertentangan pemimpin UMNO dengan tujuan mengeruhkan lagi
keadaan sehingga sampai peringkat boleh memecahbelahkan.
Justeru Syed Ali memberi amaran kepada mana-mana pihak yang
cuba memperkotak katikkan kepemimpinan UMNO seperti Ramesh agar hentikan
sebarang kenyataan yang disifatkannya cuba menanamkan kebencian rakyat kepada
UMNO.
“Saya bukan mengampu atau taksub kepada UMNO tetapi saya
mahu menunjukkan kepada Ramesh kalau kita sayangkan parti kita maka kita kena
sanggup bermati-matian mempertahankan parti kita. Saya pertahankan UMNO sebab
parti ini mempunyai track record amat jelas dalam menyatukan rakyat pelbagai
kaum di negara ini,” katanya.

Ramesh rao hang diam ...
BalasPadam