Halaman

Jumaat, 30 Januari 2015

Ramesh Rao Jangan Bermain Api -Amaran Syed Ali



KUALA LUMPUR, 30 JANUARI : Presiden Pertubuhan Minda Dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao jangan cuba bermain api dan menjadi hero dalam mempertahankan tiga portal berita freemalaysiatoday, malaysiakini, malaysiainsider dan media talibarut lainnya yang melaga-lagakan pemimpin UMNO.

Amaran tegas ini dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merujuk kenyataan Ramesh Rao dalam freemalaysiatoday (FMT) yang bertajuk ‘Syed Ali, Puad Zarkashi Diminta Berhenti Mengampu UMNO’.

Kata Syed Ali sebagai pemimpin sudah berada dalam parti ini sejak usianya belasan tahun lagi, beliau merasa cukup tersentuh apabila terdapat sesetengah pihak yang cuba meruntuhkan UMNO dengan melaga-lagakan pemimpin tertinggi dalam parti itu.

Tegasnya UMNO bukan sahaja sebagai sebuah parti malah mempunyai tanggungjawab besar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini. UMNO juga sebuah parti yang mempunyai dasar perjuangan yang jelas dalam memastikan negara kekal aman dan rakyat dapat hidup sejahtera sehingga ke hari ini.

“Apabila saya menegur ketiga-tiga portal berita itu bukan bermakna saya mengampu UMNO tetapi saya mempertahankan sebuah parti yang sudah banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini. Apa yang UMNO lakukan selama ini bukan sahaja menjaga kepentingan rakyat malah memastikan negara terus aman sejahtera dan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni di negara ini.

“Saya beri amaran kepada Ramesh Rao kalau awak sendiri bukan anggota UMNO jangan cuba bermain api dengan membuat kenyataan melulu. Saya tidak pernah menuduh ketiga-tiga portal berita itu sebagai pro pembangkang , sebaliknya saya hanya menasihatkan portal berita itu lebih bertanggungjawab dan adil dalam menyiarkan berita mereka.

“Ramesh turut mempersoalkan kenapa saya tidak membuat aduan kepada Peguam Negara berkenaan ketiga-tiga portal berita ini. Saperti mana saya jelaskan tadi saya hanya mempertahankan sebuah parti yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara. DI sini saya nak cabar Ramesh kalau tindakan saya menegur ketiga –tiga portal berita ini salah dan tindakan saya mempertahankan UMNO salah buatlah aduan kepada Peguam Negara,” ujarnya.

Pada masa yang sama Syed Ali turut menyelar Ramesh yang membuat tuduhan kononnya kekalahan UMNO di tiga negeri dalam PIlihan Raya Umum 2008 disebabkan sikap pengampu pemimpin UMNO.

Tegas Syed Ali, sejak pilihan raya umum yang sudah-sudah, UMNO tidak pernah kalah sebaliknya pengundi bukan Melayu tidak menyokong Barisan Nasional (BN). Kekalahan BN di tiga negeri pada 2008 bukan disebabkan oleh UMNO sebaliknya kerana ramai pengundi yang berfikiran seperti Ramesh yang tidak tahu membezakan mana sikap mengampu dan mempertahankan parti yang banyak berjasa kepada rakyat.

Menurut Syed Ali, pihaknya tidak pernah mengongkong kebebasan mana-mana media termasuk portal berita di negara ini asalkan apa yang dilaporkan tepat dan bersikap melaga-lagakan pemimpin. Beliau juga mahukan portal berita bersikap adil dan saksama dalam menyiarkan laporannya.

Tetapi katanya, beliau berasa amat kesal bila ketiga-tiga portal berita ini cuba menarik rating membaca dengan melaga-lagakan pemimpin tertinggi UMNO. Malah portal berita ini juga sering menyiarkan kenyataan-kenyataan bertentangan pemimpin UMNO dengan tujuan mengeruhkan lagi keadaan sehingga sampai peringkat boleh memecahbelahkan.

Justeru Syed Ali memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memperkotak katikkan kepemimpinan UMNO seperti Ramesh agar hentikan sebarang kenyataan yang disifatkannya cuba menanamkan kebencian rakyat kepada UMNO.

“Saya bukan mengampu atau taksub kepada UMNO tetapi saya mahu menunjukkan kepada Ramesh kalau kita sayangkan parti kita maka kita kena sanggup bermati-matian mempertahankan parti kita. Saya pertahankan UMNO sebab parti ini mempunyai track record amat jelas dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

1 ulasan: