Halaman

Khamis, 20 November 2014

UMNO perlu dekat dengan rakyat, tiada jaminan Melayu sokong selama-lamanya – Syed Ali


UMNO perlu lebih berperanan menyelami masalah rakyat terutama orang Melayu bagi memastikan parti itu terus mendominasi keputusan PRU akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan, tidak ada jaminan mutlak memastikan orang Melayu selama-lamanya menyokong perjuangan UMNO.

“Kita kena ingat UMNO kekal relevan sehingga sekarang kerana mendapat sokongan sebilangan besar orang Melayu,” katanya.

Tambah beliau, walaupun peratusan orang Melayu memihak kepada UMNO pada PRU ke-13 ada peningkatan tetapi sokongan itu boleh berubah

Beliau menjelaskan bahawa sokongan itu tidak akan bertahan jika pendekatan parti tidak berubah sejajar dengan senario politik masa kini.

Bagaimanapun katanya, orang Melayu amat mengharapkan UMNO mampu bertahan kerana kekuatan tersebut akan memberi jaminan kepada masa depan mereka.

“Orang Melayu sebenarnya amat bimbang jika UMNO hilang kuasa politik, mereka khuatir terhadap nasib  generasi Melayu akan datang,” tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, UMNO perlu membuktikan bahawa parti itu berperanan  besar untuk melindungi kepentingan orang Melayu.

Secara jujur beliau memberitahu penguasaan orang Melayu dalam sektor ekonomi  masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

“Oleh sebab itu, mereka mengharapkan UMNO  kekal berkuasa kerana dengan kuasa politik itu akan menjamin hak dan masa depan orang Melayu,” tegasnya.

Justeru itu kata beliau, pemimpin UMNO perlu  mengambil tanggungjawab tersebut sebagai satu amanah untuk perjuangan agama, bangsa dan negara.

“UMNO hanya memerlukan pemimpin komited, amanah dan ikhlas,” tegasnya sambil berkata pemimpin kemaruk kuasa dan tidak mahu menerima teguran akan merosakkan kredibiliti parti.

Menurut beliau lagi, mana-mana pemimpin UMNO yang menunjukkan ketidakupayaan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat sepatutnya memilih jalan untuk berundur.

Beliau bimbang sikap degil pemimpin parti yang enggan berundur dengan alasan ‘hanya tunggu arahan’  akan menimbulkan kebencian orang Melayu.

“Kalau prestasi sudah merundum, rakyat juga mula berkata-kata, lebih baik undur dan memberi laluan kepada mereka yang lebih berkemampuan, tak perlu nak tunggu arahan” katanya.

Apa yang penting menurut beliau, UMNO perlu disegarkan dengan pemimpin berjiwa rakyat dan tidak menjadikan parti sebagai platform meraih kepentingan peribadi.

Sehubungan itu tegas Syed Ali lagi, menjadi tangungjawab setiap pemimpin UMNO menjiwai keluh kesah golongan akar umbi disamping memberi keutamaan untuk mendengar pandangan golongan muda.

Jelas beliau, rakyat dibawah terutama orang Melayu hanya mahu melihat pemimpin sentiasa mendampingi mereka dan bersedia mendengar keluhan dan masalah yang dihadapi.

“Manakala golongan muda pula mahu suara dan kegiatan mereka diiktiraf oleh pemimpin UMNO, mereka mahu dilibatkan bersama,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu Perhimpunan Agung UMNO minggu depan akan menjadi gelanggang pemerkasaan halatuju parti untuk berdepan PRU ke-14 akan datang.

Perwakilan katanya, membawa suara rakyat akar umbi dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menyuarakannya secara terbuka dan berhemah.


2 ulasan:

  1. datuk, di bahagian cheras ada ker muka2 baru yang nak menganti datuk? kalau dah ada datuk bolih serahkan jawatan datuk biar mereka bertanding sesame sendiri.

    BalasPadam
  2. Syed ali muda lagi lah! Takade syed ali takut nanti longlai umno bah. Cheras

    BalasPadam