Halaman

Jumaat, 28 November 2014

Muhasabah diri, perkasakan UMNO dan jangan beri tekanan kepada presiden parti - Syed Ali


KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, peranan wanita, sedia bermuhasabah diri dan menangani isu semasa perlu diberikan perhatian kearah pengukuhan parti.

Selain itu tindakan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 juga merupakan antara isu yang menarik perhatian rakyat dan perlu diperjelaskan secara menyeluruh.

Beliau menyebut bahawa Pergerakan Wanita UMNO sebagai sayap penting parti perlu lebih realistik dan mendahulukan agenda rakyat.

Katanya, soal diberikan jawatan penting dalam hiraki kepimpinan pati bukan perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan.

"Wanita UMNO tidak perlu menyuarakan kehendak mereka, ianya seperti satu desakan dan tekanan kepada Presiden UMNO," tegasnya.

Sebaliknya beliau menekankan bahawa UMNO sentiasa megiktiraf peranan yang dimainkan oleh sayap parti itu berkenaan.

Itu antara rumusan yang dilontarkan oleh Syed Ali dalam program 'Bual Bicara' Bernama TV Astro 502 malam tadi.

Beliau menekakan mana-mana pemimpin menjadi liabiliti kepada parti perlu berundur atau digugurkan serta merta untuk menghadapi PRU ke-14.

"Mereka yang memberi beban kepada parti kena undur, termasuk daripada kalangan Wanita UMNO," tegasnya.  

Katanya lagi, UMNO merupakan satu-satunya parti yang selama ini mengiktiraf dan menghargai jasa serta peranan wanita di negara ini. 

Beliau menolak dakwaan mengatakan parti lain termasuk pembangkang lebih mengiktiraf kaum hawa dalam bidang politik kalau melihat barisan kepimpinan tertingginya. 

Sebelum ini Syed Ali mempertikaikan cadangan pertambahan kerusi Naib Presiden UMNO kononnya mendapat sokongan 89 peratus atau 171 daripada 192 bahagian Wanita UMNO seluruh negara.

"Ianya  hanya datang dari anggota pergerakan itu semata-mata dan bukannya persetujuan sebulat suara keseluruhan dari anggota parti terutamanya. 

Jelas beliau lagi, jika ada mana-mana pemimpin Wanita UMNO mahu menyandang jawatan dalam parti termasuk Naib Presiden UMNO perlu melalui proses pertandingan.  

Ini kerana UMNO mengamalkan sikap terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak yang mendapat mandat perwakilan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

“Kalau Wanita UMNO mahu menjadi Naib Presiden UMNO maka mereka kena bertandinglah secara sihat," katanya.

Beliau berkata, jika Wanita mempunyai calon yang layak, berkebolehan serta mendapat kepercayaan seluruh anggota perwakilan maka tawarkan diri bersama-sama calon lelaki untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO atau Naib Ketua Bahagian. 

“Buat apa nak meminta-minta atau mohon pucuk pimpinan agar mempertimbangkan kerusi tambahan bagi jawatan Naib Presiden UMNO bakal ditandingi kalangan Wanita UMNO," ujarnya.

"Kalau minta kerusi tambahan ini bermakna parti terpaksa ‘menyediakan’ satu kerusi Naib Presiden UMNO yang khusus untuk wanita. 

“Saya menafikan UMNO bersikap zalim dan tidak mengiktiraf wanita sebagai tulang belakang parti. Ya, buat masa memang tidak ada pemimpin Wanita UMNO dilantik sebagai menteri penuh. Tapi anggota pergerakan kena tanya sendiri Ketua Pergerakan Wanita UMNO kenapa perkara ini berlaku?

Syed Ali turut mengingatkan setiap pemimpin UMNO di semua peringkat perlu bermuhasabah diri demi kebaikan parti.

Beliau berkata, mana-mana pemimpin yang sudah lama memegang jawatan sepatutnya berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada golongan muda.

"Kalau dah lama pegang jawatan, berundurlah secara terhormat, beri peluang dan ruang kepada anak muda, ini penting untuk kelangsungan perjuangan UMNO," tegasnya.

Beliau juga turut menyentuh mengenai langkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948.

"Saya menyokong penuh ketegasan Najib dalam hal ini, akta berkenaan cukup penting bagi memulihara keamanan negara dan kesejahteraan rakyat," tegasnya.

Beliau berkata, langkah itu juga membuktikan Perdana Menteri sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

"Najib yang juga Presiden UMNO mendengar suara akar umbi, tindakan beliau amat bijak dengan mengekalkan Akta Hasutan 1948 walaupun berlaku sedikit penambahan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan