Halaman

Jumaat, 10 Oktober 2014

Syed Ali Gesa MAS Tidak Lantik CEO Asing


KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER : Sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) tidak wajar melantik Pegawai Eksekutif (CEO) di kalangan warga asing kerana terdapat ramai rakyat negara ini yang berkaliber dan berpotensi dilantik jawatan tersebut.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee, sebarang penstrukturan semula MAS sepertimana diumumkan oleh kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) baru-baru ini termasuk pelantikan CEO baru kena mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia dan juga kepentingan nasional.

Kata Syed Ali, negara mempunyai ramai orang Melayu yang mempunyai kredibiliti dan pakar dalam bidang perniagaan boleh diketengahkan sebagai CEO MAS.

“Jika orang Melayu tidak layak sebagai CEO MAS, maka pihak KHAZANAH boleh melantik orang Cina, India, Benggali atau lain-lain bangsa dari tokoh perniagaan atau individu tempatan menyandang jawatan tersebut. Apa yang penting CEO MAS adalah orang Malaysia dan bukannya dipilih di kalangan orang luar,” katanya.

Baru-baru ini sepertimana dilaporkan, KHAZANAH sedang menjalankan pencarian antarabangsa untuk CEO MAS daripada kalangan tokoh tempatan dan warga asing.

Satu portal berita melaporkan CEO Aer Lingus iaitu Syarikat Penerbangan Irish, Christoph Mueller disebut-sebut bakal mengetuai syarikat penerbangan MAS selepas penstrukturan semula.

Syed Ali menegaskan pihaknya mengalu-alukan langkah kerajaan yang memberikan fokus terhadap usaha pengukuhan MAS terutamanya mengurangkan margin kerugian dan mendapatkan kembali keuntungan.

Sebagaimana diketahui, MAS mengalami kerugian sejak beberapa tahun ini dan keadaan menjadi lebih teruk apabila dua tragedi berlaku dalam tempoh lima bulan antara Mac dan Julai lalu.

Ini termasuklah 12 langkah Pelan Pemulihan MAS seperti yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah penstrukturan tersebut adalah wajar dan bertepatan dalam usaha kerajaan dan KHAZANAH khususnya memulihkan kembali imej syarikat penerbangan tersebut selepas terjejas teruk dengan insiden kehilangan pesawat MH 370 dan tragedi MH 17 ditembak jatuh di timur Ukraine yang menyebabkan 295 penumpang terbunuh.

“Cuma apa yang dikesalkan adalah langkah kerajaan untuk melantik CEO warga asing seolah-olah mengambil langkah berundur ke belakang yang langsung tidak sesuai dengan inspirasi nasional, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Sepatutnya dalam keadaan seperti sekarang, kerajaan atau pihak KHAZANAH sendiri kena lebih sensitif dengan keupayaan dan kemampuan anak tempatan dalam mengendalikan syarikat penerbangan gergasi negara ini.

“Kalau syarikat tambang murah seperti Air Asia boleh memberikan kepercayaan kepada anak tempatan sebagai CEO syarikat tersebut maka tiada sebab MAS harus mendewa-dewakan orang luar yang mungkin tidak mempunyai semangat patriotik dalam meningkatkan wibawa dan imej syarikat penerbangan tersebut yang dikecam teruk sebelum ini.

“Pada pandangan saya, langkah mengukuhkan MAS melalui penstrukturan semula syarikat tersebut memang dialu-alukan. Ini adalah kerana MAS merupakan syarikat penerbangan nasional menjadi kebanggaan negara dan seluruh rakyat di negara ini. Namun janganlah kita memandang rendah keupayaan rakyat Malaysia sebagai CEO syarikat berkenaan,” kata Syed Ali.

Menurut Syed Ali, MAS kena meningkatkan kecekapan di samping mampu menjadi syarikat penerbangan yang unggul di negara ini. MAS juga kena berani membuat pembaharuan dan mempelbagaikan operasi pemasaran dalam memastikan syarikat penerbangan ini mampu bersaing dengan syarikat dalam dan luar negara.

Sejajar dengan cita-cita mengembalikan semula era kegemilangan MAS di negara ini, Syed Ali berharap ianya kenalah diseragamkan dengan pengurusan yang benar-benar melambangkan identiti dan imej Malaysia yang bakal menjadi kebanggaan kita semua.

1 ulasan:

  1. “Jika orang Melayu tidak layak sebagai CEO MAS, maka pihak KHAZANAH boleh melantik orang Cina, India, Benggali atau lain-lain bangsa dari tokoh perniagaan atau individu tempatan menyandang jawatan tersebut. Apa yang penting CEO MAS adalah orang Malaysia dan bukannya dipilih di kalangan orang luar,” katanya.

    Saya seteju dan menyokong 100% atas penyataan tersebut. Yang penting dia ialah rakyat Malaysia, tak kira bangsa. Carilah orang yang berkalibur untuk jawatan tersebut.

    BalasPadam