
UMNO Bahagian Cheras menyambut baik cadangan pakar undang-undang supaya penahanan tanpa bicara diserapkan ke dalam Akta Anti-Keganasan yang akan diperkenalkan kerajaan bagi membanteras aktiviti keganasan.
Ketuanya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, penahanan tanpa bicara yang sebelum ini perkenalkan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum dimansuhkan dilihat amat berkesan memulihara kestabilan dan kemananan negara.
Menerusi ISA, tempoh penahanan tanpa bicara meksimunnya adalah selama dua tahun bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Beliau berkata, penahanan tanpa bicara menerusi Akta Anti-Keganasan akan memantapkan lagi Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Undang-Undang Pencegahan Jejayah (Poca) yang diperkenalkan kerajaan selepas ISA dimansuhkan.
"Pada hemat saya, penahanan tanpa bicara amat perlu sepertimana pernah diamalkan menerusi ISA bagi membendung dan membanteras aktiviti yang boleh memudharatkan kestabilan dan kemananan negara," tegasnya.
Beliau bersetuju dengan pandangan Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Ahamd Martadha Mohamed yang mencadangkan Akta Anti Keganasan turut menyerapkan penahanan tanpa bicara, sepertimana dilaporkan oleh agensi berita BERNAMA hari ini.
Ahmad Martadha juga menjelaskan bahawa Amerika Syarikat, menerusi Akta Patriot turut menggunakan penahanan tanpa bicara dan pesalah akan ditahan di Guantanamo Bay dalam satu tempoh lama sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Ini berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN) , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan memperkenalkan akta berkenaan bagi memerangi kegiatan keganasan dan mencegah usaha merekrut sukarelawan kononnya atas nama 'jihad'.
Menurut Syed Ali lagi, cadangan tersebut bertepatan dengan situasi semasa dan perkembangan politik global yang menyaksikan kewujudan golongan ekstrimis dan pelampau agama yang boleh memberi kesan negatif kepada keamanan negara dan ketenteraman awam.
"Kita kena melihat secara menyeluruh kewujudan golongan militan dan mereka yang cenderung melakukan keganasan melampau, kegiatan ini sewajarnya ditangani secara lebih aggresif sepertimana kerajaan lakukan sewaktu ISA dikuatkuasakan," ujarnya.
Beliau mendakwa, sejak akhir-akhir ini wujud satu golongan yang cenderung mencetuskan keadaan tidak stabil dalam negara dengan berselindung disebalik kegiatan politik, agama, fahaman liberalisma dan hak serta kebebasan.
Beliau tidak menafikan sejak pemansuhan ISA, kegiatan jenayah berat termasuk kumpulan ekstrim semakin berleluasa sehingga mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat awam.
Sehubungan itu katanya, cadangan mewujudkan Akta Anti-Keganasan adalah langkah tepat kerajaan bagi memelihara dan menjamin keamanan negara.
Bagaimanapun tambah beliau, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci mekanisma pelaksanaan akta tersebut agar ianya benar-benar dapat memberi manfaat kepada keselamatan rakyat sepertimana ketika ISA diperkenalkan.
"Kerajaan perlu bertindak tegas dan lebih aggresif dalam menangani pelbagai isu keselamatan khususnya membabitkan kegiatan puak pelampau yang mencetuskan keadaan tidak stabil dalam negara," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan